#5140: Mandi Wajib kerana Haid Sudah Kering, Kemudian Darah Keluar Semula

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bagaimanakah kalau haid kita dah kering dan mandi wajib tetiba darah keluar semula? Haram atau tidak. Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الْمَحِيضِ ۖ قُلْ هُوَ أَذًى فَاعْتَزِلُوا النِّسَاءَ فِي الْمَحِيضِ ۖ وَلَا تَقْرَبُوهُنَّ حَتَّىٰ يَطْهُرْنَ ۖ فَإِذَا تَطَهَّرْنَ فَأْتُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ أَمَرَكُمُ اللَّهُ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

Maksudnya: “Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: ‘Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat.’ Oleh sebab itu, hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.

(Surah al-Baqarah: 222)

Para ulama menafsirkan ayat di atas dengan menyebutkan bahawa orang-orang beriman bertanya kepada Rasulullah SAW tentang berjimak dengan isteri ketika sedang haid. Lalu Allah SWT memerintahkan agar Baginda menjawab kepada mereka dengan memberitahu bahawa berjimak dengan isteri pada waktu haid adalah sesuatu yang menjijikkan, membahayakan di dunia dan akhirat. Perbuatan ini tidak boleh dilakukan, maka jauhilah perbuatan berjimak dengan isteri pada waktu haid sehingga haid mereka selesai. Jika telah selesai dan mereka telah mandi, maka barulah mereka boleh berjimak dengan isteri-isteri mereka pada tempat (faraj) yang telah dihalalkan oleh Allah SWT. Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang banyak beristighfar kepada-Nya dan menjauhi perbuatan keji dan kotor. (Lihat Tafsir al-Madinah al-Munawwarah, hlm. 142).

Dalam menjawab soalan di atas, pertamanya, haid dari segi bahasa bermaksud mengalir. Dikatakan bahawa, “حَاضَ الوَادِي” apabila lembah mengalir.  Manakala dari segi syarak pula haid diertikan sebagai:

دَمُ جِبِلَّةٍ يَخْرُجُ مِنْ أَقْصَى رَحِمِ الْمَرْأَةِ عَلَى سَبِيلِ الصِّحَّةِ

Maksudnya: “Darah kebiasaan yang keluar dari bahagian paling hujung di dalam rahim seorang perempuan secara sihat.” (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 161).

Keduanya, kita hendaklah mengetahui tempoh masa haid dari segi minimumnya dan juga maksimumnya. Begitu juga tempoh suci dari segi minimumnya dan juga maksimumnya.

Tempoh minimum atau sekurang-kurangnya haid ialah sehari semalam (24 jam). Manakala tempoh maksimum atau sebanyak-banyaknya haid ialah 15 hari 15 malam, dan tempoh kebiasaan haid ialah 6 hari 6 malam atau 7 hari 7 malam.

Seterusnya, tempoh minimum atau sekurang-kurang tempoh suci ialah 15 hari 15 malam, dan tempoh maksimum atau sebanyak-banyak tempoh suci ialah tiada had. Manakala tempoh kebiasaan suci ialah 23 hari 23 malam atau 24 hari 24 malam.

Kebiasaannya dalam tempoh sebulan bagi seorang wanita, dia tidak akan sunyi daripada haid dan suci. Sekiranya tempoh haidnya adalah selama 6 hari, maka tempoh sucinya adalah selama 24 hari. Begitulah juga jika tempoh haidnya adalah selama 7 hari, maka tempoh sucinya adalah selama 23 hari.

Berikut disertakan jadual gambaran haid dan suci dalam tempoh dua bulan supaya lebih jelas:

Justeru, 18 hari tempoh suci dalam bulan pertama ditambahkan dengan 5 hari tempoh suci dalam bulan kedua menjadikan jumlahnya sebanyak 23 hari suci di antara dua kali haid. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 161-162).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada soalan yang diajukan, kami katakan bahawa tidak haram kerana ia berdasarkan kepada waktu tersebut dan seorang perempuan itu adalah lebih tahu berkenaan dirinya dan hal itu. Sekiranya darah yang keluar selepas itu, ia keluar masih dalam tempoh haid yakni belum melebihi tempoh maksimum atau sebanyak-banyaknya haid ialah 15 hari 15 malam, maka ia dikira sebagai darah haid.

Sekiranya ia keluar selepas tempoh maksimum dan sebanyak-banyak haid, maka ia dikira sebagai darah istihadhah. Wanita yang sedang istihadhah hukumnya sama seperti wanita suci. Dalam erti kata lain, darah istihadhah yang keluar itu tidak menghalangnya untuk mengerjakan semua ibadah yang hendak dilakukan, sama ada ibadah tersebut memerlukannya untuk bersuci daripada hadas ataupun tidak. Ini bertepatan dengan apa yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi bahawa wanita yang sedang mengalami darah istihadhah hukumnya adalah seperti wanita yang suci dari sudut ibadah solat, puasa, iktikaf, membaca al-Quran dan lain-lain. (Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/372).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *