Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apakah hukum memakan buah yang ditanam di tempat awam oleh perbadanan sesebuah bandar. Contoh jambu air atau mempelam yang ditanam di tepi tasik tempat org ramai beriadah ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”

(Surah al-Baqarah : 188)

Ayat di atas boleh difahami bahawa, janganlah sebahagian daripada kamu memakan (mengambil) harta sebahagian yang lain dengan cara yang batil seperti sumpah yang dusta, merampas, mencuri, rasuah, riba dan lain-lain. Selain itu, janganlah kamu menyampaikan hujah-hujah yang batil kepada hakim bagi tujuan memakan harta segolongan manusia dengan cara yang salah sedangkan kamu tahu perkara itu adalah haram ke atas kamu (melakukannya).(Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 29)

Selain itu, Nabi SAW turut bersabda:

كُلُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ حَرَامٌ، دَمُهُ، وَمَالُهُ، وَعِرْضُهُ

Maksudnya: “Hak setiap muslim ke atas muslim yang lain adalah haram (baginya mencerobohi) maruahnya, hartanya dan darahnya.”

Riwayat Muslim (2564)

Hadis ini menunjukkan kewajipan seseorang muslim terhadap saudaranya yang lain, iaitu haram ke atasnya untuk menumpahkan darah saudara muslim yang lain dan mencerobohi hartanya seperti mencuri atau merompak atau menipu dalam urusan jual beli.(Lihat al-Adab al-Nabawi, 1/137)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan seorang muslim diharamkan mengambil buah-buahan dari tanaman orang lain tanpa mendapat keizinan daripada tuannya.  Diriwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:

لَا يَحِلُّ لِامْرِئٍ مِنْ مَالِ أَخِيهِ إِلَّا مَا أَعْطَاهُ مِنْ طِيبِ نَفْسٍ

Maksudnya: “Tidak halal bagi seseorang itu mengambil daripada harta kepunyaan saudaranya kecuali yang diberikan dengan kerelaan hatinya.”

Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (11524)

Imam al-Nawawi selepas menukilkan hadith di atas dalam kitabnya menyatakan, para ashab kami (ulama mazhab Syafi‘i) menyebutkan, jika seseorang melewati (kebun) buah-buahan atau tanaman orang lain, maka tidak boleh baginya untuk mengambil buah (atau hasil) daripadanya, begitu juga tidak boleh untuk memakannya tanpa izin pemiliknya melainkan dalam keadaan terdesak. Ketika itu, dia boleh memakannya, tetapi dia hendaklah menggantikannya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/54).

Dalam isu  mengambil buah yang di tanam oleh perbadanan sesebuah bandar di kawasan awam , kami berpandangan sekiranya mengambilnya dalam jumlah yang sedikit seperti satu atau dua biji maka ia dibolehkan. Namun sekiranya mengambil dalam jumlah yang banyak atau mengambilnya untuk tujuan menjualnya maka perbuatan tersebut tidak dibolehkan.  Diriwayatkan daripada Abdullah Bin Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الناسُ شُركاءُ في ثلاثٍ: الماءُ، والكلأ، والنارُ

Maksudnya: “Manusia itu berkongsi dalam tiga perkara iaitu air, rumput dan api.”

Riwayat Ibn Majah (2472)

Dapat difahami melalui hadith ini adalah tiga perkara yang boleh dikongsi bersama, antara yang disebut adalah rumput kerana tumbuhan seperti rumput merupakan tumbuhan  bumi yang tidak dimiliki oleh sesiapa. Oleh yang demikian, tanaman pokok buah yang ditanam di tempat awam juga boleh dikongsi bersama selagi mana tidak ada larangan khusus oleh perbandaran.

Walaubagaimanapun kita  harus memahami tujuan asal penanaman tersebut oleh pihak perbandaran. Jika tanaman tersebut ditanam dengan tujuan untuk menjual hasilnya dan pendapatan dari hasil tanaman tersebut digunakan untuk kepentingan umum, maka buah dari tanaman tersebut tidak boleh diambil kerana ia ditanam dengan tujuan untuk kepentingan masyarakat.

Begitu juga, jika terdapat larangan berdasarkan papan tanda tidak dibenarkan mengambil buah-buahan, maka ketika itu tidak dibenarkan bagi kita untuk mengambilnya. Tetapi jika sekiranya buah tersebut buruk atau jatuh berguguran tanpa diambil sehingga membawa kepada pembaziran, maka bolehlah ketika itu pihak wakil penduduk meminta kepada pihak bertanggungjawab bagi memberi kebenaran mengambil buah-buahan tersebut.

Justeru, kami nyatakan bahawa mengambil buah dari tanaman yang ditanam di tempat awam dibenarkan sekiranya pihak perbandaran tidak mengenakan larangan khusus. Walaubagaimanapun, tidak dibenarkan mengambil buah tersebut dalam jumlah yang banyak atau untuk tujuan jualan.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

Wallahua’lam

Leave a Reply