#5151: Makan Sebelum Bayar Atau Selepas Bayar

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan perihal bayar selepas makan di kedai makan. Adakah ia dibolehkan kerana kita tidak mengetahui harga sebenar yang memungkinkan kita tidak bersetuju dengan nilai harga yang diberikan kelak? Terima kasih

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan ini, kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا ۚ

Maksudnya: “Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”

(Surah al-Baqarah: 275)

Imam al-Qurtubi menjelaskan bahawa lafaz jual beli ini adalah dalam bentuk umum namun pada masa yang sama ia juga khusus, iaitu terkecuali daripada riba dan selainnya yang dilarang dan ditegah syarak. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 3/356)

Urusan jual beli di dalam Islam melibatkan 3 rukun yang utama:

  • Pihak yang melakukan akad, iaitu penjual dan pembeli.
  • Barang yang diakadkan, iaitu barang jualan dan wang yang dijadikan tukaran.
  • Lafaz akad, iaitu lafaz jual dan beli. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/323)

Jual beli di dalam Islam juga mestilah berdasarkan keredhaan antara kedua belah pihak. Ini berdasarkan nas syara‘ yang jelas seperti firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ لاَ تَأْكُلُواْ أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ إِلاَّ أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara rela hati di antara kamu.”

(Surah al-Nisa’: 29)

Begitu juga dalam hal ini telah dinyatakan melalui hadith yang diriwayatkan daripada Abu Sa’id al-khudri bahwa Rasulullah SAW bersabda:

إنَّمَا الْبَيْعُ عَنْ تَرَاضٍ

Maksudnya: Sesungguhnya jual beli itu apa yang diredhai oleh pembeli dan penjual.

Riwayat Ibn Hibban (4967)

Berdasarakan persoalan di atas, para ulama menegaskan bahawa antara rukun yang perlu dipenuhi dalam setiap transaksi ialah harga mesti diketahui oleh pihak-pihak pada masa perjanjian atau perjanjian atau ijab qabul. Hal ini dengan tujuan untuk memberi perlindungan kepada pihak-pihak supaya hak-hak mereka dipenuhi sebagai pembeli atau penjual, dan supaya tidak ada kecewa dan tidak berpuas hati. Sebagai contoh, apabila seseorang itu membeli-belah di sesuatu tempat, tetapi harganya tidak diketahui dan menganggap harganya sebagai RM 100, tetapi apabila ijab qabul dilakukan, ternyata ia berharga RM 150, maka pembeli berpotensi akan terkejut dan merasa terkilan. Atas dasar itu, harga mesti diketahui pada masa transaksi. Atas dasar itulah, harga mesti diketahui pada masa transaksi.

Dalam sesetengah urus niaga ia boleh diterima atau dibenarkan untuk membeli atau menjual pada harga yang tidak diketahui seperti penggunaan Bai’ al-Istijrar. Istilah ini ialah istilah urus niaga dalam perundangan mengenai kontrak yang disebut oleh pakar hukum salaf dan khalaf. Ringkasnya, apa yang dimaksudkan dengan bai’ al-istijrar ialah transaksi yang mana pembeli berurus niaga dengan penjual, membeli barang atau mengambil barang tanpa mengetahui harganya. Harga dimaklumkan dan dipersetujui kemudian, walaupun selepas item itu dipakai atau digunakan atau dimakan (jika makanan).

Dalam menjawab persoalan di atas, sekiranya pembeli mengetahui harga makanan yang dia makan seperti gerai makanan dan restoran tempatan di Malaysia, maka ia dibenarkan. Hal ini kerana jika dia sering makan di gerai dan dia tahu harganya berada dalam julat tertentu, dan dia makan tanpa ada perjanjian harga, maka dia bayar, ia dibenarkan dan tidak termasuk gharar walaupun tidak diketahui atau harga belum dipersetujui terlebih dahulu.

Justeru, makan dahulu tanpa mengetahui harga dibenarkan dan tidak termasuk gharar selagi dia sedar bahawa harga makanan yang dia makan berada dalam julat harga yang diketahuinya dan diredhai olehnya. Pengamalan muamalat sebegini adalah berdasarkan dalam kaedah Fiqhiyyah menyebut:

الْعَادَةُ مُحَكَمَةٌ

Maksudnya: “Adat itu boleh dijadikan hukum. “ (Lihat Mausu’ah al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, 1/388)

Syeikh Ahmad al-Zarqa’ menjelaskan: “Adat yang umum atau khusus boleh menjadi hukum bagi mensabitkan hukum syar’ie yang tiada nas atas khilaf dengan khususnya itu.” (Lihat Syarh al-Qawaid al-Fiqhiyyah, hlm. 219)

Hal ini kerana kebiasaan dan budaya di Malaysia ini apabila seseorang itu makan di Restoran, maka kebanyakan pihak restoran akan menyajikan pelanggannya dengan makanan dahulu sebelum bayaran dilakukan. Hal ini berbeza di sesetengan tempat seperti di negara Arab atau ditempat lain yang mana kebanyakannya mendahulukan bayaran dahulu sebelum disajikan makanan.

Namun begitu, kami katakan bahawa sebaik-baiknya dalam hal ini adalah dengan meraikan kedua-dua belah pihak bagi pihak penjual dan juga pihak pembeli, iaitu dengan mendahulukan bayaran sebelum makan. Hal ini akan mewujudkan rasa ketenangan antara dua pihak yang mana pihak penjual tidak perlu risau yang pelanggannya akan lari, manakala pihak pembeli pula tidak perlu risau daripada dikenakan harga yang tinggi. Dalam masa yang sama, ia juga boleh mengelakkan rasa tak puas hati antara dua pihak. Inilah syor kami.

Tetapi, sekiranya kedua-duanya bersetuju untuk menggunakan kaedah makan dahulu sebelum bayar, maka bolehlah untuk kembali kepada adat ini namun perlu diikat dengan beberapa syarat:

  • Pihak penjual mestilah mempamerkan dan memaklumkan harga makanan tersebut jelas dan tiada sebarang unsur keraguan padanya.
  • Harga makanan itu mestilah diketahui dengan jelas oleh pelanggan sebelum memakan makanan tersebut
  • Pihak penjual dan pelanggan mestilah berpuas hati dan meredhai kaedah ini.

Justeru, dalam hal ini, kami lebih cenderung dan mengesyorkan kepada Konsep “bayar dulu sebelum makan” kerana ia dapat mengelakkan rasa tidak puas hati daripada pihak pembeli dan penjual. Junjunglah hadith yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:

رَحِمَ اللهُ عَبْدًا سَمْحًا إِذَا بَاعَ , سَمْحًا إِذَا اشْتَرَى سَمْحًا إِذَا اقْتَضَى

Maksudnya: Allah mengasihi hamba yang bermurah hati jika menjual, bermurah hati jika membeli, bermurah hati jika menagih hutang.

Riwayat al-Bukhari (2076), al-Tirmizi (1320), Ibn Majah (2203) dan Ahmad (14699)

Badr al-Din al-‘Aini dalam syarahnya menyebutkan: Pada hadith ini mengajak kita supaya berlapang dada serta melakukan muamalah dengan baik dan juga dengan akhlak yang baik, serta meninggalkan sifat kedekut di dalam jual beli. Hal ini kerana terdapatnya barakah dalam jual beli. Nabi SAW tidak akan mengajak umatnya kecuali pada perkara yang ada manfaat bagi umatnya untuk urusan agama dan keduniaan. Manakala kelebihan di akhirat, Nabi SAW mendoakan kerahmatan dan keampunan bagi mereka yang melakukan kebaikan pada jual beli tersebut. Maka sesiapa yang ingin mendapatkan doa yang didoakan oleh Nabi SAW, maka hendaklah dia mengikuti saranan Nabi SAW dan beramal dengannya. (Lihat ‘Umdah al-Qari Syarh Sahih al-Bukhari, 11/189).

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *