Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya berkenaan dengan seorang isteri yang sering kali menolak untuk bersetubuh dengan suaminya. Suaminya telah memberitahu isteri berkenaan hukuman Allah kepada isteri yang menolak persetubuhan, akan dijadikan Ahli Neraka dan dikosongkan amal ibadahnya. Jadi persoalan saya, benarkah amal ibada isteri akan dikosongkan kerana menolak ajakan suami untuk bersetubuh, adakah apa-apa cara untuk isteri atau suami lakukan untuk Allah tidak jadikan isteri tersebut sebagai ahli neraka?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Sesungguhnya perkahwinan ini dibina dengan sakinah dan mawaddah sebagaimana firman-Nya:
وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ
Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”
(Surah al-Rum: 21)
Sayyid Qutub dalam Fi Zilal al-Quran berkata: “Penjelasan al-Quran yang lemah lembut menggambarkan hubungan lelaki dan perempuan ini dengan gambaran yang amat menarik, seolah-olah gambaran ini diambil dari dalam lubuk hati dan perasaan: “Supaya kamu tenang tenteram bersamanya dan Dia jadikan di antara kamu rasa kemesraan dan kasih sayang.
Kami katakan perkahwinan yang diasaskan kerana Allah SWT akan memberi sakinah, mawaddah, cinta dan rahmat. Di samping itu, ia dapat memelihara seseorang dari keruntuhan moral dan akhlak. Saat yang sama dapat memelihara generasi manusia yang sejahtera di samping menyumbangkan institusi kekeluargaan dan mengeratkan semangat kerjasama. (Lihat Baiti Jannati, hlm. 10-14)
Perkahwinan bertujuan untuk membangunkan institusi kekeluargaan dan ia sangatlah digalakkan di dalam Islam. Ia juga bertujuan untuk memenuhi keperluan fitrah manusia, mengembangkan masyarakat Islam serta mewujudkan ketenangan dan ketenteraman jiwa. Galakan Islam terhadap perkahwinan agar mendapat banyak kebaikan dan faedah daripadanya.
Begitu juga, suami isteri merupakan pasangan yang saling melindungi di antara satu sama lain dan saling perlu memerlukan. Ini diperumpamakan di dalam al-Quran, firman Allah SWT:
هُنَّ لِبَاسٌ لَّكُمْ وَأَنتُمْ لِبَاسٌ لَّهُنَّ
Maksudnya: “Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka.”
( Surah al-Baqarah: 187)
Ibn Kathir menukilkan pandangan Ibn Abbas R.Anhuma, Mujahid, Sa’id bin Jubair, al-Hasan, Qatadah, al-Suddi dan Muqatil bin Hayyan bahawa maksud yang dikehendaki dari ayat di atas “Mereka adalah ketenangan bagi kalian dan kalian pun adalah ketenangan bagi mereka.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/510)
Syeikh Dr. Mustafa al-Khin di dalam kitab beliau telah menyatakan beberapa hikmah perkahwinan, antaranya:
- Memenuhi keperluan fitrah manusia
- Mengembangkan masyarakat islam dengan keturunan
- Mewujudkan ketenangan jiwa dan ketenteraman rohani
- Memelihara akhlak daripada kerosakan dan keruntuhannya.
- Memelihara generasi manusia yang sejahtera
- Mengembangkan kekeluargaan dan mengeratkan semangat kerjasama. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji 4/13-16)
Firman Allah SWT lagi:
وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ
Maksudnya: Dan bergaullah dengan mereka (golongan wanita) dengan cara yang makruf.
(Surah al-Nisa’: 19)
Imam al-Qurtubi ketika menafsirkan ayat ini berkata: (Iaitu) dengan cara yang Allah perintahkan daripada pergaulan yang baik. Dan seruan ini adalah kepada semua, kerana setiap seorang itu mempunyai pergaulan sama ada seorang suami atau seorang wali. Akan tetapi yang dimaksudkan dengan perintah ini secara kebiasaannya adalah para suami. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 5/84)
Syeikh al-Maraghi berkata: “Para suami diwajibkan bergaul dengan isteri-isterinya secara baik. Oleh itu, bergaullah dengan mereka secara yang dapat menyenangkan tabiat mereka. Tetapi tidak pula bertentangan dengan syariat dan adat. Janganlah kamu bersikap bakhil dalam menafkahi mereka dan jangan pula kamu sakiti mereka dengan ucapan dan perbuatan atau kamu menghadapi mereka dengan wajah muram dan kening berkerut. Kalimah mu’asyarah (bergaul) di sini menunjukkan pengertian kebersamaan dan perkongsian iaitu layanilah mereka dengan cara yang baik dan para isteri perlu melayani kamu seperti itu juga. Jadi, suami dan isteri diseru agar saling memberikan kebahagiaan serta menjadi sumber ketenangan dan kebahagiaan dalam melayari rumahtangga. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/1128)
Menjawab persoalan di atas, adalah tidak boleh seorang isteri menolak ajakan suami tanpa sebab dan alasan yang kukuh. Terdapat hadith yang menceritakan akibat atau hukuman yang akan diterima oleh isteri apabila menolak ajakan suaminya untuk bersama sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِذَا دَعَا الرَّجُلُ امْرَأَتَهُ إِلَى فِرَاشِهِ فَأَبَتْ فَبَاتَ غَضْبَانَ عَلَيْهَا لَعَنَتْهَا المَلاَئِكَةُ حَتَّى تُصْبِحَ
Maksudnya: “Apabila seorang suami mengajak isterinya ke katil (dengan tujuan untuk bersama, lalu isteri itu menolaknya. Maka suami tersebut tidur dalam keadaan marah dengan isterinya. Dengan itu, para malaikat akan melaknatnya (isteri) sehinggalah dia bangun (daripada tidurnya) pada waktu pagi.”
Riwayat al-Bukhari (3237) dan Muslim (1436)
Hadith menunjukkan kepada kita bahawa haram bagi seorang wanita untuk menolak, menunda, atau menunjukkan ketidaksenangan terhadap suaminya apabila dia mengundangnya ke tempat tidur untuk tujuan hubungan kelamin. Menolak tindakan ini dianggap sebagai salah satu dosa besar, dan akibatnya malaikat akan melaknatnya hingga pagi.
Oleh yang demikian kewajipan seorang isteri adalah untuk taat kepada suaminya apabila dia memanggilnya ke tempat tidur tanpa penentuan masa. Pengecualian dibuat hanya pada situasi di mana terdapat perkara yang menghalangnya dari menjalankan kewajipannya. (Lihat Taudih al-Ahkam Min Bulugh al-Maram, 5/370)
Dalam isu ini juga Imam al-Nawawi menyatakan bahawa hadith ini menjadi dalil bahawa haramnya seorang isteri itu menolak ajakan suaminya tanpa keuzuran yang syarak dan haid juga bukanlah satu keuzuran yang boleh menghalang ajakan suami kerana suami mempunyai hak untuk istimta’ (berseronok) dengan apa yang terdapat di atas kain (selain daripada faraj). Hadith ini juga bermaksud laknat daripada malaikat akan berterusan sehingga hilangnya maksiat dengan terbitnya fajar dan dengan suami itu merasa memadai atau dengan taubat si isteri apabila menerima ajakan suami tersebut untuk bersama. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 10/7-8)
Justeru, kami katakan perbuatan isteri yang sering menolak hubungan kelamin tanpa adanya keuzuran boleh membawa kepada nusyuz atau derhaka terhadap suami. Dr. Muhammad Zuhaili di dalam kitabnya menyatakan Nusyuz seorang itu berlaku dalam pelbagai keadaan dan gambaran. Seperti seorang isteri tidak taat dan tidak patuh kepada suaminya, sebagai contoh keluar rumah tanpa keizinan suaminya tanpa ada keuzuran yang membenarkannya seperti keluar berjumpa dengan qadi dan mencari nafkah bagi membantu suami yang susah atau enggan bersetubuh dalam keadaan uzur syarie’ dan sakit. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 4/92)
Walaupun begitu, ada masanya Syarak tidak membenarkan suami bersama dengan isterinya yang dikenali sebagai uzur syar’ie, antaranya:
- Pertama: Dengan sebab haid. Benarlah firman Allah SWT:
وَلَا تَقْرَبُوهُنَّ حَتَّىٰ يَطْهُرْنَ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci.”
(Surah al-Baqarah: 222)
Menurut Ibn al-‘Arabi, larangan mendekati membawa maksud tidak dibenarkan untuk mencampuri isteri. (Lihat Ahkam al-Quran, 1/227)
Syeikh al-Maraghi berkata: “Apabila perempuan telah mandi (suci daripada haid), maka datangilah mereka pada tempat yang dikehendaki yang telah diberitahu oleh Sunnatullah untuk memeliharanya, iaitu tempat keturunan (peranakan).” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 1/470)
- Kedua: Qiyas kepada haid juga, iaitu nifas.
Darah nifas ialah darah yang keluar selepas bersalin. Tempoh minimum nifas ialah sekelip mata (لحظة). Kadang-kadang ia berterusan hingga beberapa hari dan biasanya hingga 40 hari. Manakala tempoh maksimumnya pula ialah 60 hari. Berdasarkan kajian Imam al-Syafie, darah yang keluar melebihi tempoh tersebut adalah darah penyakit. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/82)
- Ketiga: Disebabkan sakit, sehingga tidak mampu dari segi kudrat badan fizikalnya untuk melayan suaminya.
- Keempat: Boleh membawa mudarat. Hal ini dengan maksud, jika sabit bahawa dengan sebab persetubuhan boleh membawa kemudaratan dan kesakitan bagi perempuan, maka harus baginya untuk tidak menyahut ajakan suaminya.
- Kelima: Si isteri sedang melaksanakan kewajiban Syarak, seperti sedang solat fardhu, atau puasa fardhu, maka berhak baginya untuk tidak melayan suaminya. Tetapi, berilah alasan dengan penuh kasih sayang dan penghormatan pada suaminya.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa seorang isteri wajib mentaati suaminya pada perkara yang ma’ruf dan juga wajib menerima ajakan suami dalam hal bersetubuh serta tidak boleh ditolak melainkan terdapatnya uzur syar’i yang dibenarkan oleh syara’. Tambahan pula, bersetubuh merupakan hak bersama di antara isteri dan suami dan ia perlu dibincang dan disepakati secara bersama dengan baik. Antara perkara yang penting dalam bersetubuh ini perlu dilihat adalah adab-adab dan hukum-hakam yang perlu diraikan supaya tidak berlaku sebarang kezaliman.
Namun begitu, pendapat si suami yang menyatakan hukuman Allah kepada isteri yang menolak persetubuhan yang akan dijadikan ahli neraka dan dikosongkan amal ibadahnya adalah tidak tepat dan tidak benar sama sekali. Hal ini kerana apa yang disebut dalam hadith adalah isteri akan dilaknat oleh para malaikat sahaja jika si isteri menolak ajakan suami tanpa sebab yang syar’i dan suaminya tidur dalam keadaan marah. Tambahan pula, setiap amalan itu akan dibalas dengan jenis amalan tersebut. Bahkan Allah SWT juga akan mengambil kira setiap amalan kebaikan setiap orang dan tidak akan menghapuskannya walaupun sebesar mana sekali pun. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:
فَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُۥ (٧) وَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍۢ شَرًّا يَرَهُۥ
Maksudnya: “Sesiapa yang melakukan kebaikan walaupun seberat zarah, maka dia akan melihatnya. Sesiapa yang melakukan kejahatan walaupun seberat zarah, maka dia akan melihatnya.”
(Surah al-Zalzalah: 7-8)
Syeikh Abd al-Rahman Nasir al-Sa’di berkata: Yakni, barangsiapa yang mengerjakan seberat zarrah pun, nescaya dia akan melihat (balasannya)nya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarrah pun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya juga.” Hal ini bersifat umum untuk seluruh kebaikan dan kejahatan, kerana apabila manusia dapat melihat amalan seberat biji zarrah yang merupakan sesuatu yang terkecil dan diberi balasannya, maka yang lebih besar, tentu dapat dilihat. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 932)
Selain itu, isu menjadi ahli neraka atau tidak adalah kuasa dan hak mutlak bagi Allah SWT, apa yang penting adalah kita sentiasa berusaha untuk mentaati segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangannya. Tambahan bagi seorang isteri pula adalah diwajibkan mentaati suaminya dalam hal yang makruf. Hal ini sebagaimana hadith Rasulullah SAW:
إِذَا صَلَّتِ الْمَرْأَةُ خَمْسَهَا، وَصَامَتْ شَهْرَهَا، وَحَصَّنَتْ فَرْجَهَا، وَأَطَاعَتْ زَوْجَهَا، قِيْلَ لَهَا أُدْخُلِي الْجَنَّةَ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ شِئْتِ
Maksudnya: “Jika wanita mengerjakan solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, memelihara kemaluannya, mentaati suaminya, maka dikatakan kepadanya (pada hari Kiamat): ‘Masuklah ke dalam Syurga dari pintu mana pun yang kamu mahu.”
Riwayat Ahmad (1664), Ibn Hibban (1296) dan al-Bazzar (7480). Syeikh Syu’aib al-Arnaut menyatakan hadis ini sahih dalam takhrij Sahih Ibn Hibban (4163)
Semoga rumah tangga yang dibina layak mendapat Baiti Jannati. Kami akhiri perbincangan ini dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
Wallahu a’lam.