#5172: Rezeki Dihalang dengan Sebab Dosa

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah rezeki dihalang dengan sebab dosa yang dilakukan?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

وَفِي السَّمَاءِ رِزْقُكُمْ وَمَا تُوعَدُونَ

Maksudnya: “Dan di langit pula terdapat (sebab-sebab) rezeki kamu, dan juga terdapat apa yang telah (ditakdirkan dan) dijanjikan kepada kamu.”

(Surah al-Zariyat: 22)

Ibn Kathir di dalam tafsirnya menyebut: “Dan di langit pula terdapat (sebab-sebab) rezeki kamu” iaitu hujan. “dan juga terdapat apa yang telah (ditakdirkan dan) dijanjikan kepada kamu”, iaitu syurga. Ini merupakan pandangan Ibn Abbas R.Anhuma, Mujahid dan selainnya.

Menjawab persoalan di atas, kami katakan ya. Hal ini berdasarkan hadith daripada Thauban RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الْعَبْدَ لَيُحْرَمُ الرِّزْقَ بِالذَّنْبِ يُصِيبُهُ

Maksudnya: Sesungguhnya seorang lelaki itu akan terhalang daripada rezekinya disebabkan oleh dosa yang menimpanya.

Riwayat Ibn Majah (4022) dan Ahmad (22438).

Al-Syarwani menyatakan, dalam hadith diterangkan, “Sesungguhnya seorang lelaki itu akan terhalang daripada rezekinya disebabkan oleh dosa yang menimpanya.”. Hadith ini menetapkan bahawa melakukan dosa menjadi sebab seseorang terhalang dari rezeki terutamanya pada pembohongan. (Lihat Hawasyi al-Syarwani, 1/238)

Banyak nas yang menunjukkan, dengan sebab bertakwa, rezeki akan diperolehi. Antaranya:

وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا ‎﴿٢﴾‏ وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ ۚ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ ۚ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا

Maksudnya: Dan (ingatlah), sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah memudahkan baginya segala urusannya. Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.

(Surah al-Talaq: 2-3)

Ketika mentafsirkan ayat ini, Imam al-Tabari menyebutkan riwayat daripada Masruq bahawa ia bermaksud sesiapa yang bertaqwa kepada Allah ta‘ala, maka baginya jalan keluar iaitu jalan yang diketahui Allah Taala, jika Dia menghendaki maka boleh untuk diberikan atau ditegah. Manakala ayat selepasnya pula iaitu ‘Allah akan memberinya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangkanya’  bermaksud dari jalan yang tidak diketahuinya.

Di samping itu, dinukilkan juga daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa sesiapa yang bertaqwa kepada Allah SWT maka baginya jalan keluar yakni selamat daripada setiap kesengsaran dan kesusahan di dunia dan akhirat. Manakala Rabi‘ pula berpendapat bahawa maknanya ialah jalan keluar daripada setiap sesuatu yang sempit ke atas manusia. (Lihat Tafsir al-Tabari, 23/446)

Selain itu, Qatadah pula mentafsirkan ‘jalan keluar’ dalam ayat di atas sebagai jalan keluar daripada segala perkara syubhat dan kesusahan ketika mati. Manakala makna ayat “وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لا يَحْتَسِبُ” pula ialah memberinya rezeki daripada sesuatu yang tidak disangka-sangkakan dan tidak diharapkan. (Lihat Tafsir al-Tabari, 23/448)

Menurut al-Husain bin al-Fadhl makna ayat di atas ialah sesiapa yang bertaqwa kepada Allah SWT dengan menunaikan segala kewajipan fardhu, maka akan diberikan kepadanya jalan keluar daripada segala balasan seksa. Begitu juga ‘diberikan rezeki kepadanya’ yakni balasan pahala daripada jalan yang tidak disangka-sangka. Dalam erti kata lain, Allah SWT memberkati setiap apa yang diberikan dan dikurniakan kepadanya.

Bahkan Sufyan bin ‘Uyaynah ketika mentafsirkan ayat “وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لا يَحْتَسِبُ” menyatakan bahawa maknanya:

 هُوَ الْبَرَكَةُ فِي الرِّزْقِ

Maksudnya: “Ia ialah keberkatan dalam rezeki.”

 (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 18/159-160)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

1 thoughts on “#5172: Rezeki Dihalang dengan Sebab Dosa

  1. home says:

    Konklusi yang terus menjawab persoalan tidak dinyatakan secara terang dalam penulisan ini meskipun ada bukti-bukti dibahaskan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *