#5173: Tafsir Ayat 96 Surah al-A’raf

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, tafsir ulama’ berkenaan dengan ayat 96 daripada Surah al-A’raf?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَٰكِن كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

Maksudnya: Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.

(Surah al-A‘raf: 96)

Ibn Kathir berkata: “وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا” (Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa), maksudnya, hati mereka beriman dan membenarkan terhadap apa yang dibawa oleh para rasul, lalu mereka mengikuti rasul dan bertaqwa dengan melakukan ketaatan dan meninggalkan semua larangan. Manakala ayat: “لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ” (tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi) pula bermaksud hujan dari langit dan tanaman dari bumi. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 3/420)

Al-Baidhawi berkata: “لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ” (tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi) bermaksud Allah SWT akan luaskan kebaikan bagi mereka dan mempermudahkannya bagi mereka dalam segenap aspek. Dikatakan maksudnya juga ialah hujan dan tanam-tanaman. (Lihat Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta’wil, 2/294)

Al-Zamakhsyari pula berkata: (لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ) bermaksud Allah SWT akan datangkan kepada mereka kebaikan dalam pelbagai bentuk. Selain itu, dikatakan juga maksudnya ialah hujan dan tanam-tanaman. (Lihat al-Kassyaf, 2/260)

Manakala al-Suyuti berkata: (لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ) bermaksud langit akan memberikan kepada mereka berkatnya, manakala bumi dengan tanam-tanamannya. (Lihat al-Durr al-Manthur fi al-Ta’wil bi al-Ma’thur, 4/274)

Syeikh Abu Bakar al-Jaza’iri berkata: { بركات من السماء والأرض } Iaitu jamak kepada “بركة” dan ia bermaksud berterusan dan berkekalannya kebaikan; ilmu, ilham dan hujan daripada keberkatan langit, manakala tanaman, kesuburan, kemakmuran, keamanan, afiyah daripada keberkatan bumi. (Lihat Aisar al-Tafasir, 1/486)

Dr. Hamka ketika mentafsirkan ayat ini menyatakan bahawa keimanan dan ketaqwaan kepada Allah membukakan pintu rezeki. Sebab kalau orang telah beriman dan bertaqwa, fikirannya sendiri terbuka, ilham pun datang. Hal ini kerana iman dan takwa itu menimbulkan hubungan silaturahim sesama manusia. Lantaran itu timbullah kerjasama yang baik sebagai khalifah Allah di muka bumi. Dengan demikian turunlah berkat dari langit dan menyemburlah berkat dari bumi.

Berkat itu ada dua jenis, iaitu hakiki dan maknawi. Berkat yang hakiki ialah seperti hujan membawa kesuburan bumi, maka teraturlah tumbuhan dan keluarlah segala hasil bumi. Atau terbukalah fikiran manusia menggali harta dan kekayaan yang terpendam dalam bumi itu seumpama besi, emas, perak dan logam yang lain, atau mengatur perkebunan yang luas, menyuburkan ekonomi seumpama kelapa, getah, benang nanas, kelapa sawit dan lain-lain.

Manakala berkat yang maknawi pula ialah timbulnya fikiran-fikiran yang baru dan petunjuk daripada Allah, baik berupa wahyu yang dibawakan oleh rasul atau ilham yang ditumpahkan Allah kepada orang-orang yang berjuang dengan ikhlas. (Lihat Tafsir al-Azhar, 3/16)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ke-takwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *