Soalan
Bagaimana keadaan iddah isteri yang berada dalam iddah raj’i kemudian secara tiba-tiba suaminya meninggal dunia. Sekiranya iddahnya berubah, bermula dari hari apakah kiraan iddah tersebut?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
‘Iddah dari sudut bahasa bermaksud kiraan,hitungan atau bilangan. Ini kerana ia merangkumi bilangan suci daripada haid dan juga bilangan bulan.
Dari segi istilah, ‘iddah ialah nama bagi tempoh tertentu bagi seseorang perempuan menunggunya, semata-mata mematuhi perintah Allah (ta’abbudi) atau sebagai tanda kesedihan terhadap pemergian suami, atau memastikan rahimnya bersih daripada kandungan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/61)
Talak raj’i bermaksud talak yang boleh dirujuk. Di dalam Hukum Syarak, hak rujuk itu ada dua kali. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
الطَّلَاقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ
Maksudnya: “Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik.”
( Surah al-Baqarah: 229)
Imam al-Mawardi menyebut dalam tafsirnya: “(antara tafsir ayat ini) bahawa ia menerangkan bilangan talak dan penentuannya dengan tiga kali, dan bahawa lelaki itu memiliki hak rujuk pada dua talak dan tidak pula memilikinya pada talak ketiga. Inilah pendapat `Urwah dan Qatadah.” (Lihat Tafsir al-Mawardi, 1/293)
Allah SWT berfirman lagi tentang iddah wanita yang ditalak raj’i sedangkan dia adalah seorang yang berhaid:
وَالْمُطَلَّقَاتُ يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ ثَلَاثَةَ قُرُوءٍ
Maksudnya: “Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid).”
(Surah al-Baqarah: 228)
Imam al-Baghawi menyatakan: “Dan berpendapat sekumpulan ulama bahawa maksud (quru’) ialah waktu-waktu suci dan inilah pendapat Zaid bin Thabit, Abdullah bin Umar, Aisyah, dan ini merupakan pendapat fuqaha yang tujuh dan al-Zuhri, dan juga pendapat Rabi`ah, Malik dan al-Syafie.” ( Lihat Ma`alim al-Tanzil, 1/266)
Manakala bagi wanita yang tiada haid, seperti sudah putus haid atau tidak pernah haid, iddah mereka adalah tiga bulan Hijriyyah. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَاللَّائِي يَئِسْنَ مِنَ الْمَحِيضِ مِن نِّسَائِكُمْ إِنِ ارْتَبْتُمْ فَعِدَّتُهُنَّ ثَلَاثَةُ أَشْهُرٍ وَاللَّائِي لَمْ يَحِضْنَ
Maksudnya: “Dan perempuan-perempuan yang sudah terputus haidnya dari kalangan isteri-isteri kamu sekiranya kamu ragu—ragu (berkenaan iddahnya) maka iddah mereka adalah tiga bulan dan begitu juga perempuan yang tidak ada haidnya (belum sampai tempoh haid).”
(Surah al-Tolaq: 4)
Namun sekiranya seseorang wanita itu kematian suami, dia tetap perlu beriddah namun jumlahnya berbeza’ iaitu empat bulan sepuluh hari sebagaimana firman Allah SWT:
وَالَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَاجًا يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا
Maksudnya: “Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beridah) selama empat bulan sepuluh hari.”
(Surah al-Baqarah: 234)
Berdasarkan persoalan di atas, seorang perempuan yang beriddah dengan iddah talak raj’i, apabila suaminya meninggal dunia ketika dia masih di dalam iddah tersebut maka dalam istilah fiqh ia dipanggil berpindah iddah ( انتقال العدة ), maka iddahnya berpindah kepada iddah kematian suami. Dengan kematian suaminya, maka terbatallah hukum iddah talak raj’i perempuan itu dan sabitlah ke atasnya iddah kematian suami iaitu empat bulan sepuluh hari yang bermula dari saat kematian suami dan bukannya dikira dari iddah raj’i.
Imam al-Nawawi dalam Minhaj al-Tolibin menyatakan:
وَإِنْ مَاتَ عَنْ رَجْعِيَّةٍ انْتَقَلَتْ إلَى وَفَاةٍ أَوْ بَائِنٍ فَلَا
Maksudnya: “Jika seorang (bekas suami) itu mati ketika dalam talak raj’ie maka berubah iddah (bekas isteri) itu kepada iddah wafat, atau sekiranya ia talak ba’in maka tidak berubah”
Fakta ini dihurai lagi oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami dalam Tuhfah al-Muhtaj (8/251) : “Maka gugur bilangan berbaki daripada iddah talak lalu wajib wanita itu berihdad (berkabung) dan gugur nafkahnya. Manakala untuk talak ba’in seperti wanita yang nikahnya difasakhkan… maka tidak berubah iddahnya sebaliknya hendaklah wanita itu menyempurnakan iddah talak atau fasakh kerana dia bukan isteri dan tidak wajib baginya untuk berkabung dan bagi nafkah sekiranya dia hamil.”
Al-Khatib al-Syirbini pula menyatakan: “(Hukum) berpindah daripada iddah talak kepada iddah wafat secara ijmak seperti mana yang diceritakan oleh Ibn al-Mundzir. Maka batallah hukum-hakam iddah talak raj’I dan gugurlah baki iddah tersebut. Maka dengan itu juga gugur nafkahnya dan sabitlah hukum-hakam iddah kematian suami ( empat bulan sepuluh hari ) seumpama berkabung (tinggalkan berhias kerana dukacita ) dan selainnya” (Lihat Mughni al-Muhtaj, 5/95)
Syeikh Muhammad al-Zuhaili juga menyebut dalam al-Mu’tamad (4/256): “Sekiranya seorang lelaki mentalakkan isterinya dengan talak raj`ie, kemudian lelaki itu mati meninggalkannya, sedangkan wanita itu masih dalam iddah, maka berubahlah iddahnya kepada iddah wafat. Sekiranya dia mengandung, maka maka (iddah) sehingga bersalin. Jika dia tidak mengandung, maka iddahnya bermula semula daripada waktu wafatnya suami secaranya ijmak dan gugur daripada iddah talak. Ini kerana wanita yang ditalak raj’ie masih dianggap dalam hukum isteri (daripada sudut ini). Dan apabila suami itu mati meninggalkannya yakni isterinya maka wajib juga ke atas wanita itu untuk berkabung dan wanita itu tak berhak mendapatkan nafkah. Adapun jika talak ba’in maka tidak berubah kepada iddah wafat kerana wanita itu bukan lagi isterinya maka hendaklah wanita itu menyempurnakan iddah talak, tidak wajib baginya berkabung, dan baginya nafkah sekiranya hamil.”
Sebagai penutup, kami nyatakan bahawa iddah raj’i tersebut terbatal dan bertukar menjadi iddah kematian suami, dan iddah tersebut bermula daripada hari kematian suami. Walaubagaimanapun, kami mengesyorkan agar merujuk kepada Mahkamah Syariah yang berdekatan untuk mendapatkan maklumat dan nasihat berkenaan situasi yang berlaku.
Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang benar dalam memahami agama ini. Amin.
Wallahua`lam.
Bertarikh: 18 Februari 2022 bersamaan 16 Rejab 1443H