#520 Wang Derma Masjid Disimpan dalam Akaun “Fixed Deposit” Bank

Soalan

Apakah hukum jika wang yang didermakan kepada masjid disimpan dalam simpanan tetap (fixed deposit)?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Simpanan tetap, atau lebih dikenali sebagai “Fixed Deposit” adalah sejenis simpanan di bank atau akaun pelaburan yang menjanjikan pelabur kadar faedah yang tetap. Sebagai balasan, pelabur bersetuju untuk tidak mengeluarkan dana tersebut dalam jangka masa yang ditetapkan. Dalam pelaburan simpanan tetap, faedah hanya akan dibayar pada penghujung tempoh pelaburan. Ini berlainan dengan akaun simpanan biasa di mana faedah dikira setiap hari dan selalunya dibayar di hujung setiap bulan. Oleh kerana tempoh dan kadar faedah sudah ditetapkan, lebih mudah untuk anda mengira jumlah faedah yang bakal diperolehi pada hujung tempoh pelaburan simpanan tetap.[1]

Hukum Menyimpan Duit Derma Di Dalam Akaun Simpanan Tetap

Perbuatan menderma dan memberi merupakan satu amalan yang mulia. Lebih-lebih lagi jika didermakan kepada jalan-jalan Allah seperti didermakan kepada masjid-masjid dan surau, dimana penggunaan wang tersebut adalah untuk mengimarahkan kerja agama itu sendiri, sudah tentu perbuatan tersebut terlebih baik dan afdhal. Ini jelas berdasarkan kepada firman Allah SWT :

الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُم بِاللَّيْلِ وَالنَّهَارِ سِرًّا وَعَلَانِيَةً فَلَهُمْ أَجْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

Maksudnya:  Orang-orang Yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, Dengan cara sulit atau terbuka, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian Yang tidak baik) terhadap mereka, serta mereka pula tidak akan berdukacita.

(Surah Al-Baqarah: 274)

Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: Allah SWT menjelaskan tentang pahala orang-orang yang berinfaq dan pahala berinfaq dalam setiap keadaan dan waktu. Barangsiapa yang bersedekah – baik pada waktu malam atau siang hari, dengan cara sembunyi-sembunyi atau terang-terangan, dalam keadaan dirinya sendiri memerlukan atau tidak – maka baginya pahala yang sempurna di sisi Tuhan. Tidak ada ketakutan baginya di akhirat dan tidak pula dia merasa khuatir dan bersedih. Maksudnya tidak ada ketakutan baginya ketika menghadapi kedahsyatan hari Kiamat dan tidak pula dia bersedih dan khuatir terhadap keadaan anak-anaknya setelah dia meninggal dunia. Dia juga tidak merasa sedih dan menyesali atas apa yang dia tidak mampu raih dari kehidupan dunia dan keindahannya. Ini kerana dia telah menjumpai apa yang jauh lebih baik daripada itu semua. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 2/105)

Dengan adanya golongan penderma ini, pengurusan masjid akan dapat dijalankan dengan lebih sempurna dan mudah. Melihat kepada persoalan di atas, hukum memasukkan wang yang didermakan tersebut ke dalam simpanan tetap (fixed deposit) adalah dibenarkan sama sekali jika mencukupi beberapa syarat dibawah :

  • Wang yang didermakan bukanlah diniatkan khusus untuk sesuatu perkara
  • Pihak masjid mestilah menyimpan wang tersebut dalam simpanan (fixed deposit) bank yang patuh syariah.
  • Wang yang disimpan tersebut mestilah wang lebihan dari perbelanjaan dan bukanlah wang keperluan semasa bulanan.
  • Pihak masjid mestilah melantik orang yang amanah dan bertanggungjawab untuk menguruskan dana tersebut.

Masjid adalah satu tempat untuk menyatu padukan umat Islam di sesuatu kawasan. Oleh itu, keperluan kepada dana yang mencukupi amatlah diperlukan bagi melihat sesuatu aktiviti itu berjalan dengan lancar. Pihak masjid mungkin mengalami masalah kekurangan dana disebabkan para Jemaah yang kurang menderma pada sesuatu ketika. Ini adalah bersesuaian dengan firman Allah SWT seperti berikut :

قُل لَّوْ أَنتُمْ تَمْلِكُونَ خَزَائِنَ رَحْمَةِ رَبِّي إِذًا لَّأَمْسَكْتُمْ خَشْيَةَ الْإِنفَاقِ ۚ وَكَانَ الْإِنسَانُ قَتُورًا

MaksudnyaKatakanlah (Wahai Muhammad): “Jika kamu memiliki perbendaharaan rahmat Tuhanku pada ketika itu tentulah kamu akan berlaku bakhil kedekut kerana takut kehabisan; dan sememangnya manusia itu bertabiat bakhil kedekut”.

(Surah al-Isra’: 100)

Melihat kepada tafsiran di atas, pihak masjid seharusnya mengambil satu langkah inisiatif untuk mengembangkan wang dana yang sedia ada untuk kegunaan pada masa-masa akan datang. Oleh itu, idea seperti ini harus dilaksanakan dengan teliti supaya objektif yang ingin dicapai berjaya dikecapi.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulannya, kami memandang baik usaha yang ingin dilaksanakan oleh pihak masjid untuk menyimpan duit derma ke dalam akaun simpanan tetap bank yang patuh syariah. Seharusnya semua masjid menjadikan perkara ini sebagai satu contoh untuk menjana ekonomi sesebuah masjid. Kami mendoakan semoga segala usaha baik pihak tuan dibalas dengan sebaiknya oleh Allah SWT.

Akhirnya, semoga Allah SWT menjauhi kita semua dari segala perkara-perkara yang dimurkai oleh Allah SWT. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 18 Februari 2022 bersamaan 16 Rejab 1443H

 

[1] Lihat https://www.imoney.my/articles/apakah-simpanan-tetap-bagaimana-simpanan-tetap-berfungsi-bm

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *