Soalan
Assalamualaikum ustaz. Boleh jelaskan berkenaan hakikat sebenar Imam Mahdi menurut pandangan Ahli Sunnah? Terima kasih.
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Antara tanda-tanda besar kedatangan Hari Kiamat adalah munculnya Imam Mahdi. Disebut bahawa pada akhir zaman, akan keluar seorang lelaki dari kalangan Ahlul Bait, di mana Allah akan mengukuhkan agama Islam dengannya. Dia akan menjadi pemimpin selama tujuh tahun. Bumi akan dipenuhi dengan keadilan. Seluruh umat akan merasa kenikmatan pada zamannya dengan kenikmatan yang belum dirasakan sebelumnya. Bumi mengeluarkan pelbagai tumbuhan, langit menurunkan hujan dan harta dilimpah-ruahkan tanpa batas. ()Lihat Asyrat al-Sa’ah, Yusuf al-Wabil, hlm. 257
Menurut Ibn Kathir, nama beliau ialah Muhammad bin Abdillah al-‘Alawi al-Fathimi al-Hasani. (Lihat al-Nihayah fi al-Fitan wa al-Malahim, 1/29)
Hal ini sepertimana disebut dalam sebuah hadith daripada Abdullah bin Mas’ud R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لاَ تَذْهَبُ الدُّنْيَا حَتَّى يَمْلِكَ الْعَرَبَ رَجُلٌ مِنْ أَهْلِ بَيْتِي يُوَاطِئُ اسْمُهُ اسْمِي
Maksudnya: “Dunia tidak akan berlalu pergi sehinggalah bangsa Arab akan dikuasai oleh seorang lelaki dari kalangan ahli baitku yang namanya bersamaan dengan namaku.”
Riwayat al-Tirmizi (2230) Beliau berkata: Hasan Sahih.
Al-Munawi berkata: Di dalam hadith ini, terdapat penolakan terhadap golongan Rafidhah. Padanya bangkangan yang keras terhadap pendapat golongan Rafidhah bahawa Mahdi ialah Imam Abu al-Qasim Muhammad al-Hujjah Ibn al-Imam Abi Muhammad al-Hasan al-Khalis, bahawa ia adalah Mahdi yang dinanti. Ini kerana, jika sekiranya namanya bersamaan, tetapi nama ayahnya tidak serupa dengan nama ayah Nabi. (Lihat Faidh al-Qadir, 5/332)
Al-Mubarakfuri menukilkan bahawa al-Tibi berkata: “Tidak disebut al-‘ajam (selain Arab) sedangkan mereka juga dimaksudkan (dalam hadith ini) adalah kerana apabila bangsa Arab memerintah dan bersatu padu, maka mereka akan menguasai seluruh umat.” Menurut al-Qari pula: “Boleh jadi, disebut bangsa Arab sahaja disebabkan penguasaan dan dominasi mereka pada zaman tersebut, atau kerana kemuliaan mereka, atau kerana dalam bentuk lafaz berpada di mana sebenarnya ia juga bermaksud bangsa Arab dan selain Arab.” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 6/485)
Berkenaan tempat kelahiran al-Mahdi, para ulama’ khilaf kepada beberapa pendapat. Dalam kitab al-Tazkirah, al-Imam al-Qurthubi menyebut bahawa kelahiran Imam al-Mahdi adalah di negara Maghrib. Sebahagian pula berkata bahawa al-Mahdi dilahirkan di Andalus.
Adapun pendapat yang paling tepat dan sahih ialah pendapat yang diriwayatkan dari Abu Nu’aim dari Hammad dari Ali bin Abi Thalib R.A bahawa al-Mahdi dilahirkan di Madinah. (Lihat Asyrath al-Sa’ah, Maher, hlm. 36)
Antara sifat-sifat keperibadian al-Imam al-Mahdi AS adalah seperti berikut:
- Beliau merupakan seorang anak Adam.
- Dahinya luas dan hidungnya mancung.
- Kedua-dua matanya bercelak.
- Wajahnya bercahaya seakan-akan beliau adalah bintang yang menyinar.
- Di bahagian bahunya ada tanda seperti yang terdapat pada Rasulullah SAW.
- Warna kulitnya adalah warna orang Arab dan tubuh badannya seperti tubuh orang Israel.
- Umurnya 40 tahun dan dalam sebahagian riwayat 30 hingga 40 tahun.
- Akhlak beliau menyerupai akhlak Nabi SAW. (Lihat al-Isya’ah li Asyrat al-Sa’ah, oleh Muhammad bin Rasul al-Husaini al-Barzanji, hlm. 85)
Menurut Abu Nu’aim pula, antara ciri-ciri yang terdapat pada diri al-Imam al-Mahdi adalah:
- Di bahagian bahunya ada tanda yang sama pada bahu Nabi SAW.
- Beliau akan berkumpul bersama Nabi Isa A.S dan Nabi Isa akan bersolat di belakangnya.
- Penduduk bumi akan merasa cukup pada zaman kekuasaannya dan banyaknya keberkatan dari bumi akan keluar.
- Beliau akan menanam satu batang kayu di atas tanah yang kering lalu ia akan menjadi hijau dan berdaun. (Lihat al-Sa’ah li Asyrat al-Sa’ah, oleh Abu Nu’aim al-Asfahani, hlm. 85)
Dalam kitab al-Fitan wa al-Malahim, Ibn Kathir berkata: Aku mengira bahawa keluarnya al-Mahdi berlaku sebelum turunnya Nabi Isa AS. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdillah R.A beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda:
فَيَنْزِلُ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ صلى الله عليه وسلم فَيَقُولُ أَمِيرُهُمْ تَعَالَ صَلِّ لَنَا . فَيَقُولُ لاَ . إِنَّ بَعْضَكُمْ عَلَى بَعْضٍ أُمَرَاءُ . تَكْرِمَةَ اللَّهِ هَذِهِ الأُمَّةَ
Maksudnya: “Isa bin Maryam SAW turun, lalu pemimpin mereka (al-Mahdi) berkata: ‘Marilah, solatlah mengimami kami.’ Lalu Isa berkata: ‘Tidak, sesungguhnya sebahagian kamu menjadi pemimpin atas sebahagian yang lain, sebagai kemuliaan yang Allah berikan kepada umat ini.”
Riwayat Muslim (247)
Syeikh al-‘Azim Abadi berkata: Pada hadis-hadis ini, telah datang riwayat dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim yang menunjukkan dua perkara:
Pertama: Bahawa ketika turunnya Isa AS dari langit, maka orang yang memerintah urusan umat Islam ketika itu adalah seorang lelaki dari kalangan mereka.
Kedua: Beliau hadir memimpin mereka untuk solat dan mengimami solat kepada seluruh umat Islam. Ini adalah permintaan daripada Nabi Isa AS ketika turunnya untuk menjadi imam solat, lalu ditunjuk kepada lelaki ini kerana kesesuaiannya. Sekalipun tidak dinyatakan dengan jelas lafaz al-Mahdi, tetapi ia menunjukkan sifat lelaki soleh yang menjadi imam bagi umat Islam ketika itu.
Telah datang dalam banyak hadis sama ada dalam al-Sunan atau Musnad dan selainnya, yang mentafsirkan hadith dalam dua kitab sahih. Ini menunjukkan bahawa lelaki yang soleh itu bernama Muhammad bin Abdillah, dan dikatakan itulah al-Mahdi. Sunnah mentafsirkan sebahagiannya dengan yang lain. Daripada hadis-hadis yang menunjukkan demikian itu ialah hadis yang diriwayatkan oleh al-Harith bin Abi Usamah dalam musnadnya, dengan sanadnya daripada Jabir R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
ينزلُ عيسى ابنُ مريمَ فيقولُ أميرُهمُ المهديُّ: تعالَ صلِّ بِنا، فيقولُ: لا إن بعضَهم أميرُ بعضٍ، تَكرِمةُ اللهِ لهذه الأمةِ
Maksudnya: “Isa bin Maryam akan turun dan pemerintah mereka al-Mahdi berkata: “Marilah, solatlah mengimami kami.” Lantas kata Nabi Isa: “Tidak, sesungguhnya sebahagian mereka menjadi pemimpin kepada sebahagian yang lain, sebagai kemuliaan Allah untuk umat ini.”
Riwayat al-Harith dalam al-Musnad sepertimana dalam al-Manar al-Munif (hlm. 147), Abu ‘Awanah dalam al-Musnad (317) dan Abu Ya’la sepertimana dalam Majma’ al-Zawa’id oleh al-Haithami (7/291). Hadis ini seperti kata Ibn Qayyim dalam al-Manar al-Munif, sanadnya baik.
Al-Mahdi akan keluar dari arah timur. Hal ini berdasarkan hadith daripada Thauban R.A, katanya: Rasulullah SAW bersabda:
يَقْتَتِلُ عِنْدَ كَنْزِكُمْ ثَلاَثَةٌ؛ كُلُّهُمْ اِبْنُ خَلِيْفَةٍ، ثُمَّ لاَ يَصِيْرُ إِلَـى وَاحِدٍ مِنْهُمْ، ثُمَّ تَطْلُعُ الرَّايَاتُ السُّوْدُ مِنْ قِبَلِ الْمَشْرِقِ، فَيَقْتُلُوْنَكُمْ قِتْلاً لَمْ يَقْتُلْهُ قَوْمٌ… (ثُمَّ ذكر شَيْئًا لاَ أَحْفَظُهُ، فَقَالَ:) فَإِذَا رَأَيْتُمُوْهُ؛ فَبَايِعُوْهُ، وَلَوْ حَبْوًا عَلَى الثَّلْجِ؛ فَإِنَّهُ خَلِيْفَةُ اللهِ اَلْمَهْدِيُّ.
Maksudnya: “Ada tiga orang yang akan saling membunuh di sisi simpanan kamu; mereka semua adalah putera khalifah, kemudian ia tidak akan kembali kepada salah seorang dari mereka. Akhirnya, muncullah bendera-bendera hitam dari arah timur, lalu mereka akan memerangi kamu dengan peperangan yang tidak pernah dilakukan oleh satu kaum pun.. (lalu Baginda menuturkan sesuatu yang tidak aku fahami, kemudian bersabda): Jika kamu melihatnya, maka bai’ahlah dia. Walaupun dengan merangkak di atas salji, kerana sesungguhnya dia ialah khalifah Allah, al-Mahdi.”
Riwayat Ibn Majah (4084), al-Hakim dalam al-Mustadrak (4/464) dan beliau berkata: “Hadith ini sahih dengan syarat al-Syaikhan.” Hal ini disepakati oleh al-Zahabi. Ibn Kathir berkata: Sanadnya kuat dan sahih. (Lihat al-Fitan wa al-Malahim, 1/29)
Menurut Ibn Kathir, yang dimaksudkan dengan simpanan pada lafaz tersebut ialah simpanan Ka’bah. Tiga orang putera-putera khalifah akan saling berbunuhan di sisinya untuk merebutkannya