#533 Dakwaan Sebagai Imam Mahdi

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Bolehkah seseorang itu mendakwa yang dia merupakan imam mahdi ? Terima kasih.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Nama dan Kelahiran al-Mahdi

Menurut Ibn Kathir, nama beliau ialah Muhammad bin Abdillah al-‘Alawi al-Fathimi al-Hasani. ( (Lihat al-Nihayah fi al-Fitan wa al-Malahim, 1/29)

Hal ini sepertimana disebut dalam sebuah hadith daripada Abdullah bin Mas’ud R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ تَذْهَبُ الدُّنْيَا حَتَّى يَمْلِكَ الْعَرَبَ رَجُلٌ مِنْ أَهْلِ بَيْتِي يُوَاطِئُ اسْمُهُ اسْمِي

Maksudnya: “Dunia tidak akan berlalu pergi sehinggalah bangsa Arab akan dikuasai oleh seorang lelaki dari kalangan ahli baitku yang namanya bersamaan dengan namaku.”

Riwayat al-Tirmizi (2230) Beliau berkata: Hasan Sahih.

Al-Munawi berkata: Di dalam hadith ini, terdapat penolakan terhadap golongan Rafidhah. Padanya bangkangan yang keras terhadap pendapat golongan Rafidhah bahawa Mahdi ialah Imam Abu al-Qasim Muhammad al-Hujjah Ibn al-Imam Abi Muhammad al-Hasan al-Khalis, bahawa ia adalah Mahdi yang dinanti. Ini kerana, jika sekiranya namanya bersamaan, tetapi nama ayahnya tidak serupa dengan nama ayah Nabi. (Lihat Faidh al-Qadir, 5/332)

Ciri-ciri Imam Mahdi

Menurut Abu Nu’aim, antara ciri-ciri yang terdapat pada diri al-Imam al-Mahdi adalah:

  • Di bahagian bahunya ada tanda yang sama pada bahu Nabi SAW.
  • Beliau akan berkumpul bersama Nabi Isa A.S dan Nabi Isa akan bersolat di belakangnya.
  • Penduduk bumi akan merasa cukup pada zaman kekuasaannya dan banyaknya keberkatan dari bumi akan keluar.
  • Beliau akan menanam satu batang kayu di atas tanah yang kering lalu ia akan menjadi hijau dan berdaun. ( Lihat al-Sa’ah li Asyrat al-Sa’ah, oleh Abu Nu’aim al-Asfahani, hlm. 85)

Waktu Kemunculan al-Mahdi

Dalam kitab al-Fitan wa al-Malahim, Ibn Kathir berkata: Aku mengira bahawa keluarnya al-Mahdi berlaku sebelum turunnya Nabi Isa AS. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdillah R.A beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda:

فَيَنْزِلُ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ صلى الله عليه وسلم فَيَقُولُ أَمِيرُهُمْ تَعَالَ صَلِّ لَنَا ‏.‏ فَيَقُولُ لاَ ‏.‏ إِنَّ بَعْضَكُمْ عَلَى بَعْضٍ أُمَرَاءُ ‏.‏ تَكْرِمَةَ اللَّهِ هَذِهِ الأُمَّةَ

Maksudnya: “Isa bin Maryam SAW turun, lalu pemimpin mereka (al-Mahdi) berkata: ‘Marilah, solatlah mengimami kami.’ Lalu Isa berkata: ‘Tidak, sesungguhnya sebahagian kamu menjadi pemimpin atas sebahagian yang lain, sebagai kemuliaan yang Allah berikan kepada umat ini.”

Riwayat Muslim (247)

Syeikh al-‘Azim Abadi berkata: Pada hadis-hadis ini, telah datang riwayat dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim yang menunjukkan dua perkara:

  • Pertama: Bahawa ketika turunnya Isa AS dari langit, maka orang yang memerintah urusan umat Islam ketika itu adalah seorang lelaki dari kalangan mereka.
  • Kedua: Beliau hadir memimpin mereka untuk solat dan mengimami solat kepada seluruh umat Islam. Ini adalah permintaan daripada Nabi Isa AS ketika turunnya untuk menjadi imam solat, lalu ditunjuk kepada lelaki ini kerana kesesuaiannya. Sekalipun tidak dinyatakan dengan jelas lafaz al-Mahdi, tetapi ia menunjukkan sifat lelaki soleh yang menjadi imam bagi umat Islam ketika itu.

Tempat Keluar al-Mahdi

Al-Mahdi akan keluar dari arah timur. Hal ini berdasarkan hadith daripada Thauban R.A, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

يَقْتَتِلُ عِنْدَ كَنْزِكُمْ ثَلاَثَةٌ؛ كُلُّهُمْ اِبْنُ خَلِيْفَةٍ، ثُمَّ لاَ يَصِيْرُ إِلَـى وَاحِدٍ مِنْهُمْ، ثُمَّ تَطْلُعُ الرَّايَاتُ السُّوْدُ مِنْ قِبَلِ الْمَشْرِقِ، فَيَقْتُلُوْنَكُمْ قِتْلاً لَمْ يَقْتُلْهُ قَوْمٌ… (ثُمَّ ذكر شَيْئًا لاَ أَحْفَظُهُ، فَقَالَ:) فَإِذَا رَأَيْتُمُوْهُ؛ فَبَايِعُوْهُ، وَلَوْ حَبْوًا عَلَى الثَّلْجِ؛ فَإِنَّهُ خَلِيْفَةُ اللهِ اَلْمَهْدِيُّ.

Maksudnya: “Ada tiga orang yang akan saling membunuh di sisi simpanan kamu; mereka semua adalah putera khalifah, kemudian ia tidak akan kembali kepada salah seorang dari mereka. Akhirnya, muncullah bendera-bendera hitam dari arah timur, lalu mereka akan memerangi kamu dengan peperangan yang tidak pernah dilakukan oleh satu kaum pun.. (lalu Baginda menuturkan sesuatu yang tidak aku fahami, kemudian bersabda): Jika kamu melihatnya, maka bai’ahlah dia. Walaupun dengan merangkak di atas salji, kerana sesungguhnya dia ialah khalifah Allah, al-Mahdi.”

Riwayat Ibn Majah (4084), al-Hakim dalam al-Mustadrak (4/464) dan beliau berkata: “Hadith ini sahih dengan syarat al-Syaikhan.” Hal ini disepakati oleh al-Zahabi. Ibn Kathir berkata: Sanadnya kuat dan sahih. (Lihat al-Fitan wa al-Malahim, 1/29)

Menurut Ibn Kathir, yang dimaksudkan dengan simpanan pada lafaz tersebut ialah simpanan Ka’bah. Tiga orang putera-putera khalifah akan saling berbunuhan di sisinya untuk merebutkannya hingga tiba akhir zaman. Kemudian, keluarlah al-Mahdi dan beliau datang dari arah timur. Beliau didokong oleh orang-orang dari timur yang menolongnya, menegakkan kekuasaannya, memperkuat sendi-sendinya, dan bendera mereka ketika itu juga berwarna hitam yang melambangkan ketenangan, sebagaimana bendera Rasulullah SAW di mana ia juga berwarna hitam dengan sebutan al-‘Uqab. Dia akan dibai’ah di Masjidil Haram (berhampiran Ka’bah) sebagaimana diisyaratkan oleh sebahagian hadith. ( Lihat al-Nihayah fi al-Fitan wa al-Malahim, 1/16)

Beza Antara Imam Mahdi Ahli Sunnah dan Syiah

Mengikut kepercayaan Syiah Imamiyyah, bahawa al-Mahdi di sisi mereka ialah imam mereka yang terakhir, iaitu imam yang ke-12, yang digelar Muhammad bin al-Hasan al-Askari. Dan dia di sisi mereka adalah anak kepada al-Husain bin Ali, bukan daripada anak al-Hasan. Antara iktikad mereka bahawa Muhammad bin al-Hasan al-Askari telah masuk ke dalam Gua Samira’ sejak lebih seribu seratus tahun dalam usianya ketika itu 5 tahun.

Antara iktikad mereka bahawa ia hadir di banyak tempat walaupun ghaib pada mata kasar. Dia lah Imam Mahdi yang mereka nantikan kembalinya. Sedangkan tiada dalil demikian itu dalam kitab Allah atau Sunnah Rasulullah SAW. Dan tidak terdapat satu riwayat pun daripada ulama kita Ahli Sunnah sependapat dengan pendapat ini.

Imam Ibn Kathir membantah Imam Mahdi versi Syiah ini dengan katanya: “Masalah Imam Mahdi yang akan muncul pada akhir zaman, yang menjadi seorang daripada khalifah-khalifah yang lurus dan imam-imam yang mendapat petunjuk, beliau bukanlah Imam Mahdi golongan Syiah yang mereka harap akan muncul dari Gua Samira. Ini kerana, semua itu tidak sesuai dengan realiti, tidak terlihat wujudnya, dan tidak pula ada tanda-tandanya. Mereka menganggap Imam Mahdi itu adalah Muhammad bin al-Hasan al-Askari yang masuk ke gua.

Kemudian beliau turut berkata: “Al-Mahdi akan keluar dari arah masyriq, bukan dari Gua Samira seperti anggapan orang-orang bodoh dalam kalangan Rafidhah (Syiah Imamiyyah Ithna Asyariyyah). Mereka menganggapnya sudah ada pada waktu sekarang dan mereka terus menunggu waktu keluarnya al-Mahdi pada akhir zaman. Sungguh, ini adalah cakap-cakap kosong dan kehinaan yang dilemparkan oleh syaitan. Ini kerana, tidak ada dalil, bukti daripada al-Quran dan al-Sunnah, serta tidak juga daripada akal yang sihat. Tidak juga daripada istihsan.” (Lihat al-Nihayah fi al-Fitan wa al-Malahim, 1/29)

Bolehkah Seseorang itu mengaku sebagai Imam Mahdi?

Berdasarkan nas dan hujjah daripada syara’, Sesungguhnya Imam Mahdi yang sebenar yang ditunggu ini tidak tahu bahawa dia adalah al-Mahdi yang ditunggu sehinggalah Allah mengehendaki untuk mendedahkannya, iaitu ketika turunnya Nabi Isa AS. Sekiranya seseorang itu mendakwa bahawa dia adalah Imam Mahdi dan meminta manusia untuk berbaiah secara paksa kepadanya dan mengancam untuk membunuh manusia jikalau tidak berbaiah kepadanya, maka telah jelaslah penyelewangan yang dilakukan dan ia bercanggah dengan hadith-hadith Nabi SAW sebagaimana yang baginda terangkan mengenai Imam Mahdi.

Dalam sejarah Islam, telah terlalu banyak golongan pendusta yang mendakwa mereka adalah al-Mahdi al-Muntazar (yang dinantikan). Justeru, tidak pelik jika terdapat mana-mana individu dari yang mengeluarkan dakwaan seperti ini.

Antara individu yang telah direkodkan membuat dakwaan batil tersebut adalah:

  • Ubaidullah bin Maimun al-Qaddah. Lahir pada tahun 259 H dan meninggal pada tahun 322 H. Datuknya merupakan seorang Yahudi yang dinisbahkan kepada keluarga Majusi. Dinisbahkan secara palsu dan jahat bahawa mereka dari keturunan Rasulullah SAW. Mereka adalah pembesar Rafidhah al-Qaramithah al-Bathiniyah yang memusuhi agama yang berselindung di sebalik penisbahan kepada keluarga Rasulullah.  Dia juga merupakan pengasas Daulah Fathimiyah. (Lihat Minhaj al-Sunnah, 49/318)
  • Muhammad bin Tumart. Lahir pada tahun 485 H dan meninggal dunia pada tahun 524 H. Seorang lelaki munafik lagi pembohong. Dia membuat dakwaan jahat lagi dusta bahawa dirinya adalah al-Mahdi al-Muntazar. Dia juga merupakan seorang yang sangat zalim.[1]
  • Mahdi kelompok Kaisan.Mereka menyangka bahawa al-Mahdi adalah Muhammad bin al-Hanafiah. Dia dikatakan sedang hidup dan bermukim di bukit Radhwa. Dia juga dikatakan berada di tengah-tengah dua ekor singa yang menjaganya. (Lihat al-Manar al-Munif, hlm. 153)

Malangnya, ada juga umat Islam di nusantara ini yang mengaku sebagai Imam Mahdi. Dalam situasi di Malaysia juga, bukan seorang yang mengaku Imam Mahdi, bahkan seorang lelaki bernama Mat Alimin Abdullah mengaku dirinya sebagai Imam Mahdi dan Nabi Muhammad. Ia berlaku sekitar bulan April 2016. Hal ini membawa kepada pendakwaan di Mahkamah Syariah dan akhirnya dia mengaku bersalah dan dijatuhi hukuman.

Fatwa Institusi Agama di Malaysia Tentang Dakwaan Sebagai Imam Mahdi

Antara fatwa yang pernah dikeluarkan berkaitan isu ini ialah:

  • Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali Ke-81 pada 19 April 2012 telah membincangkan dan memutuskan bahawa ciri-ciri ajaran sesat yang disenaraikan di bawah ini adalah merupakan amalan, upacara dan adat istiadat yang bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Ia adalah sesat dan menyeleweng dari akidah Islam yang sebenar serta haram dilakukan. Antaranya ialah: Mendakwa sebagai Imam Mahdi.
  • Di Malaysia, setiap individu yang mendakwa dirinya sebagai Imam Mahdi telah difatwakan sebagai ajaran sesat. Ini boleh dilihat dalam kes pengharaman ajaran sesat Qadiani[2], al-Arqam atau Rufaqa[3], dan juga kelompok Syiah yang mengatakan Muhammad bin Hasan al-Askari sebagai Imam Mahdi.[4]

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami nyatakan bahawa tidak ada seorang pun boleh mengaku bahawa dia merupakan Imam Mahdi yang ditunggu tersebut. Bahkan, jelas menunjukkan kepada kita bahawa mana-mana individu yang mendakwa sebagai Imam Mahdi adalah tertolak dan tidak benar sama sekali berdasarkan hujjah dan nas syara’. Hal ini kerana, segala muwasafat berasaskan kepada nas-nas nabawi yang telah dibincangkan amat menyeleweng daripada yang terdapat pada watak, syakhsiah, nama, fizikal, serta bangsa yang dimiliki oleh orang yang mendakwa bahawa dia merupakan Imam Mahdi.

Justeru, kami menyeru kepada sesiapa yang mendakwa bahawa dia merupakan imam mahdi supaya kembali kepada Islam yang sebenar tanpa membuat sebarang dakwaan yang menyeleweng. Begitu juga kepada masyarakat Islam di Malaysia agar tidak terpengaruh dengan dakwaan seperti ini. Sebaliknya, rujuklah kepada sumber yang sahih lagi benar iaitu Kitabullah dan Sunnah Rasulullah SAW serta melihat kepada tafsir-tafsir dan syarahan para ulama yang Rabbani lagi mendalam ilmu mereka. Kami juga telah menjawab berkenaan hakikat sebenar Imam Mahdi di dalam Artikel #521 Hakikat Sebenar Imam Mahdi.

Akhir kalam, marilah sama-sama kita perbaharui tekad dan azam kita untuk mempelajari ilmu dan beriltizam dengan syariat Islam yang sebenar. Kami menutup perbincangan ini untuk sama-sama mengajak semua bagi mengangkat tangan memohon doa kepada Allah SWT:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa.”

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 21 Februari 2022 bersamaan 19 Rejab 1443H

[1] Lihat kajian ilmiah tulisan Fadhilat al-Syeikh Hamud bin Abd Allah al-Tuwaijiri edaran Idarah al-Buhuuth al-Ilmiyyah.

[2] http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-negeri/fatwa-tentang-ajaran-ahmadiahqadiani

[3]http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-negeri/usaha-usaha-menghidupkan-semula-al-arqam-melalui-syarikat-rufaqa-corporation-sdn-bhd

[4] http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-negeri/fatwa-tentang-fahaman-syiah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *