Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Anjing Ashab al-Kahfi akan berada di syurga?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Mengenai hal ini, disebutkan dalam kitab al-Asybah wa al-Naza’ir bahawa tidak ada haiwan yang akan memasuki syurga melainkan lima haiwan iaitu anjing Ashab al-Kahfi, kibas Isma‘il, unta Soleh, himar ‘Aziz dan Buraq Nabi SAW. (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh Ibn Nujaim, hlm. 331).

Abu al-Abbas al-Hamawi menyebutkan bahawa maknanya ialah haiwan yang tidak boleh berkata-kata kerana jika tidak manusia juga termasuk dalam jenis haiwan. Dinyatakan dalam Syarh Syir‘ah al-Islam, Muqatil mengatakan bahawa terdapat sepuluh haiwan yang akan memasuki syurga iaitu unta Muhammad SAW, unta Soleh A.S, anak lembu Ibrahim A.S, kibas Isma‘il A.S, lembu Musa A.S, ikan paus Yunus A.S, himar ‘Aziz, semut Sulaiman A.S, hudhud Balqis dan anjing Ashab al-Kahfi, kesemuanya akan dibangkitkan. (Lihat Ghamz ‘Uyun al-Basa’ir, 4/131).

Namun, soalan yang sama juga pernah diajukan kepada Fatawa al-Syabakah al-Islamiyyah dan mereka menjawab bahawa mereka tidak mengetahui adanya dalil yang mensabitkan bahawa anjing Ashab al-Kahfi itu berada di dalam syurga. Begitu juga tidak diketahui bahawa perkara itu diambil daripada Isra’iliyyat ataupun tidak. Sedangkan urusan mengenai syurga ini termasuk dalam perkara ghaib, yang tidak mungkin diketahui secara pasti siapakah yang akan memasukinya melainkan dengan dalil bersumberkan wahyu. (Lihat juga Fatawa al-Syabakah al-Islamiyyah, 1/2262) Begitu juga Syeikh Mustafa al-‘Adawi pernah menyatakan bahawa ia sesuatu yang pelik dan ganjil ketika ditanya mengenai adakah anjing Ashab al-Kahfi dan unta Soleh masuk syurga kerana tiada dalil yang menunjukkan perkara tersebut.[1]

Sebagai kesimpulannya, oleh sebab ia berkaitan dengan perkara ghaibiyyat, maka kami memilih untuk bertawaqquf dalam isu ini sehinggalah kami menemui hadith sahih yang menyatakan perkara tersebut — yakni anjing Ashab al-Kahfi itu berada di dalam syurga. Hal ini kerana para ulama’ yang menukilkan bahawa anjing Ashab al-Kahfi ini berada di dalam syurga, tidak menyebutkan bersama apa-apa dalil mahupun nas yang menunjukkan perkara itu. Sedangkan sebarang kenyataan berhubung perkara ghaibiyyat mestilah disertai dengan hujah yang sahih bagi menyokongnya. Lebih-lebih lagi, terdapat sebuah athar yang menjelaskan bahawa segala haiwan akan menjadi tanah pada Hari Kiamat sebagaimana dinukilkan daripada Abu Hurairah R.A, beliau berkata:

إنَّ اللهَ يحشرُ الخلقَ كلَّهم كلَّ دابةٍ وطائرٍ وإنسانٍ يقول للبهائم والطيرِ: كونوا ترابًا، فعند ذلك يقول الكافرُ: يا لَيْتَنِي كُنْتُ تُرابًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah akan menghimpunkan seluruh makhluk (pada hari akhirat kelak), iaitu setiap haiwan, burung-burung, dan juga manusia. Lalu Allah berfirman kepada haiwan-haiwan dan juga burung: ‘Jadilah kamu tanah.’ Lalu pada saat itulah orang kafir berkata: ‘Alangkah baiknya kalau aku menjadi tanah (seperti haiwan dan burung, supaya aku tidak dibangkitkan untuk dihitung amalku dan menerima balasan).’” (Lihat Tafsir al-Tabari, 24/181).[2]

Bagi mereka yang ingin mendapatkan penerangan yang lebih lanjut, sila rujuk e-Bahth Ilmi kami yang bertajuk: Menelusuri Kisah Ashab al-Kahfi di dalam apps kami, al-Inarah.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”

 

Nota kaki:

[1] Lihat https://www.youtube.com/watch?v=vbzayUxxsTA. Diakses pada 3 Januari 2024.

[2] Pengarang al-Silsilah al-Sahihah (4/607) menilai sanadnya sebagai sahih.

Leave a Reply