#5214: Hukum Menggugurkan Janin Bagi Penghidap AIDS

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apa hukum menggugurkan janin bagi penghidap penyakit AIDS?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

وَلَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنسَانَ مِن سُلَالَةٍ مِّن طِينٍ (12) ثُمَّ جَعَلْنَاهُ نُطْفَةً فِي قَرَارٍ مَّكِينٍ (13) ثُمَّ خَلَقْنَا النُّطْفَةَ عَلَقَةً فَخَلَقْنَا الْعَلَقَةَ مُضْغَةً فَخَلَقْنَا الْمُضْغَةَ عِظَامًا فَكَسَوْنَا الْعِظَامَ لَحْمًا ثُمَّ أَنشَأْنَاهُ خَلْقًا آخَرَ ۚ فَتَبَارَكَ اللَّهُ أَحْسَنُ الْخَالِقِينَ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah; Kemudian Kami jadikan “pati” itu (setitis) air benih pada penetapan yang kukuh; Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.”

(Surah al-Mukminun: 12-14)

Dalam ayat ini, Allah SWT menyatakan empat peringkat perkembangan yang disebut di dalam hadis di atas dan menambah tiga peringkat yang lain. Dengan ini ia menjadi tujuh peringkat. Ibn Abbas R.Anhuma pernah berkata: “Anak Adam telah diciptakan dari tujuh peringkat kemudian beliau membaca ayat ini.” (Lihat al-Wafi fi Syarh al-Arba‘in al-Nawawiyyah, hlm. 26).

Definisi HIV dan AIDS

HIV adalah kata akronim bagi “Human Immunodeficiency Virus”, merujuk kepada sejenis virus yang menyebabkan AIDS.[1] Dalam Bahasa Melayu, virus ini mengakibatkan kurang daya tahan dalam tubuh manusia.[2] Dengan perkataan lain, HIV ini adalah retrovirus yang menyerang sistem ketahanan penyakit dan memusnahkannya dalam tempoh tertentu. Virus ini hanya menjangkiti manusia dan boleh dikesan melalui ujian antibody HIV. HIV paling banyak terdapat dalam air mani, darah dan bendalir faraj dan sangat sedikit di dalam air mata dan air liur.[3]

Manakala perkataan “AIDS” pula adalah kata akronim bagi “acquired immune deficiency syndrome” (sindrom kurang daya tahan penyakit) iaitu penyakit atau keadaan yang dianggap disebabkan oleh sejenis virus yang menjadikan sel-sel putih dalam tubuh seseorang itu tidak lagi berupaya melindunginya daripada serangan penyakit.[4] Perkataan “acquired” menunjukkan penyakit ini tidak diwarisi. AIDS ini sifatnya adalah jangkitan oportunistik yakni sebarang penyakit yang mengambil kesempatan daripada sistem daya tahan yang lemah.[5]

Orang yang dijangkiti HIV pada awalnya hanya mendapat penyakit yang kurang serius dan seterusnya akan menghidapi penyakit yang serius seperti barah dan pneumonia (radang paru-paru) dan ketika penyakit serius ini berlaku seseorang itu dikatakan menghidapi AIDS. Buat masa sekarang, HIV dan AIDS tidak boleh disembuhkan manakala rawatan dan ubat-ubatan diberi untuk merawat jangkitan oportunistik, dan pencegahan HIV daripada membiak dan memusnahkan sistem imun badan.[6]

Berkenaan isu di atas, terdapat beberapa fatwa ulama’ berhubung isu ini, antaranya:

Fatwa Syeikh Jad al-Haq Ali Jad al-Haq

Dalam Buhuth wa Fatawa Islamiyyah fi Qadhaya Mu’asirah (2/111), beliau berkata: Haram dengan nas yang umum berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah, perlakuan pengguguran selepas ditiupkan roh pada janin dengan sebab aib sama ada pada kecacatan fizikal atau warisan yang telah ditemui oleh pakar perubatan melalui kajian. Ini kerana anak tersebut dianggap terpelihara sebagai manusia dan tidak harus dibunuhnya sebaliknya Islam memberi rahmat kepada kanak-kanak tersebut yang aib dan cacat sebagaimana tuntutan Rasulullah SAW melakukan rahmah berdasarkan banyak hadith.

Walaupun begitu, jika didapati aib yang bahaya memberi kesan kepada kehidupan maka hukumnya harus digugurkan selama mana usia janin tersebut kurang daripada 120 hari.

Fatwa Lajnah al-Da’imah

Mengikut Fatawa Lajnah al-Daimah (no. 11848) menyebut bahawa tidak harus menggugurkan kandungan sekalipun membawa virus Aids. Pihak lajnah ulama’ menasihatkan pasangan suami isteri tersebut supaya husnu al-zan kepada Allah serta memohon `afiat serta kesihatan daripada segala keburukan.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Nota kaki:

[1] Kamus Dewan Edisi Keempat. Rujuk: http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=hiv&d=112592&#LIHATSINI

[2] Istilah MABBIM. Rujuk: http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=hiv&d=228972&#LIHATSINI

[3] Manual Islam & HIV/AIDS. 2009. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Hal. 21.

[4] Kamus Dewan Edisi Keempat. Rujuk: http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=aids

[5] Manual Islam & HIV/AIDS. Ibid.

[6] Manual Islam & HIV/AIDS. Ibid. Hal. 30.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *