Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimana kematian Firaun pada zaman Nabi Musa AS? Benarkah dikatakan jasad Firaun tidak tenggelam?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Allah SWT berfirman:

فَالْيَوْمَ نُنَجِّيكَ بِبَدَنِكَ لِتَكُونَ لِمَنْ خَلْفَكَ آيَةً ۚ وَإِنَّ كَثِيرًا مِّنَ النَّاسِ عَنْ آيَاتِنَا لَغَافِلُونَ ‎

Maksudnya: “Maka pada hari ini, Kami biarkan engkau (hai Firaun) terlepas dengan badanmu (yang tidak bernyawa, daripada ditelan laut), untuk menjadi tanda bagi orang-orang yang di belakangmu (supaya mereka mengambil itibar). Dan (ingatlah) sesungguhnya kebanyakan manusia lalai daripada (memerhati dan memikirkan) tanda-tanda kekuasaan Kami!

(Surah Yunus: 92)

Ibn Kathir menyebut: Ibnu Abbas dan selainnya mengatakan: Sebahagian dari kalangan Bani Isra’il masih meragui akan kematian Firaun. Bahkan ada sebahagian dari kalangan mereka yang mengatakan bahawa Firaun belum mati. Maka Allah memerintahkan laut untuk mengangkat jasad Firaun ke permukaan. Ada yang mengatakan bahawa jasad Firaun terapung di atas air. Ada yang mengatakan: Di pesisir pantai. Ia dikenali dengan pakaian perang yang dikenakan oleh Firaun. Hal ini agar mereka yakin bahawa Firaun telah mati dan mengetahui ke-Maha Kuasaan Allah. Oleh kerana itu, Allah SWT berfirman: “Maka pada hari ini kami selamatkan badanmu.” Yakni dengan disertai baju perang yang kamu kenakan. Firman Allah SWT: “Supaya kamu dapat menjadi pelajaran bagi orang-orang yang datang sesudahmu.” Iaitu pelajaran bagi orang-orang Bani Israil dan sebagai bukti Kekuasaan Allah yang telah membinasakan Fir’aun. (Lihat Qasas al-Anbiya’ oleh Ibn Kathir, 3/90-99)

Berkenaan kematian Firaun, Ibn Kathir dalam kitabnya, Qasas al-Anbiya’ (3/90-99) menceritakan: Setelah Musa dan pengikutnya pergi melalui laut yang telah terbelah, sedangkan Fir’aun telah sampai di laut tersebut, maka dia melihat pemandangan yang menakjubkan. la menyedari seperti hal-hal sebelumnya bahawa itu semua yang melakukan adalah Allah, pemilik al-‘Arsy yang mulia. Dia pun mundur dan tidak berani maju. Dalam dirinya ada rasa penyesalan kenapa dia harus keluar mengejar Bani Israil sedangkan keadaannya seperti yang dia lihat, di mana tidak bermanfaat lagi rasa penyesalan. Namun, dia berpura-pura menampakkan di hadapan bala tenteranya bahawa dia adalah seorang yang tegar dan menganggap mereka sebagai musuh.

Jiwanya yang kafir dan fajir telah menyeretnya untuk mengatakan kepada orang-orang yang dia perdaya dan tunduk kepadanya serta mengikuti kebathilan: “Lihatlah oleh kamu semua, bagaimana lautan ini terbelah supaya aku dapat menyusul para hambaku yang melarikan diri, yang keluar dari ketaatan dan negeriku?” Dalam dirinya dia ingin sekali pergi menyusul mereka dan berharap dapat selamat. Namun hal itu sangat jauh daripada kenyataan. Terkadang ia ingin maju namun terkadang pula ia mundur!

Para ulama menyebut bahawa Jibril menampakkan dirinya dalam wujud seorang penunggang kuda yang berada di atas kudanya. Jibril berjalan di hadapan Fir’aun -la’anahullah- Kuda tersebut meringkik dan menuju ke laut. Jibril bergegas berjalan di hadapan Fir’aun dan segera menembus lautan. Jibril mendahului Fir’aun. Setelah itu, Fir’aun bergegas menyusulnya. Fir’aun tidak dapat menolong dirinya sendiri. Ia tidak dapat memberikan manfaat ataupun mudharat pada dirinya. Setelah bala tenteranya melihatnya berjalan di lautan, maka mereka segera mengikuti di belakangnya dengan bersegera. Setelah semuanya masuk ke dalam laut, maka Allah memerintahkan kepada Musa untuk memukulkan tongkatnya ke laut. Musa pun memukulkan tongkatnya lantas lautan kembali seperti semula. Tidak ada seorang pun (dari pasukan Fir’aun) yang selamat.

Firman Allah SWT:

وَأَنجَيْنَا مُوسَىٰ وَمَن مَّعَهُ أَجْمَعِينَ (65) ثُمَّ أَغْرَقْنَا الْآخَرِينَ (66) إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَةً ۖ وَمَا كَانَ أَكْثَرُهُم مُّؤْمِنِينَ (67) وَإِنَّ رَبَّكَ لَهُوَ الْعَزِيزُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: “Dan Kami selamatkan Nabi Musa serta orang-orang yang bersama dengannya, semuanya. Kemudian Kami tenggelamkan golongan yang lain (yang mengejarnya). Sesungguhnya pada peristiwa yang demikian, terdapat satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah); dan (dalam pada itu), kebanyakan mereka tidak juga mahu beriman. Dan sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad), Dia lah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.”

(Surah al-Syu’ara’: 65-68)

Iaitu dalam menyelamatkan para wali-Nya. Tidak ada seorang pun (dari kalangan Musa) yang tenggelam. Dan Allah menenggelamkan musuh-musuh-Nya sehingga tidak ada seorang pun yang selamat. Sesungguhnya, ia menjadi sebuah bukti yang sangat agung. Sungguh benar apa yang disampaikan Musa dari Rabbnya berupa syari’at yang mulia dan manhaj yang lurus.

Allah SWT berfirman:

وَجَاوَزْنَا بِبَنِي إِسْرَائِيلَ الْبَحْرَ فَأَتْبَعَهُمْ فِرْعَوْنُ وَجُنُودُهُ بَغْيًا وَعَدْوًا ۖ حَتَّىٰ إِذَا أَدْرَكَهُ الْغَرَقُ قَالَ آمَنتُ أَنَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا الَّذِي آمَنَتْ بِهِ بَنُو إِسْرَائِيلَ وَأَنَا مِنَ الْمُسْلِمِينَ ‎﴿٩٠﴾‏ آلْآنَ وَقَدْ عَصَيْتَ قَبْلُ وَكُنتَ مِنَ الْمُفْسِدِينَ ‎﴿٩١﴾‏ فَالْيَوْمَ نُنَجِّيكَ بِبَدَنِكَ لِتَكُونَ لِمَنْ خَلْفَكَ آيَةً ۚ وَإِنَّ كَثِيرًا مِّنَ النَّاسِ عَنْ آيَاتِنَا لَغَافِلُونَ

Maksudnya: “Dan Kami bawakan Bani Israil ke seberang Laut Merah, lalu dikejar oleh Firaun dan tenteranya, dengan tujuan melakukan kezaliman dan pencerobohan, sehingga apabila Firaun hampir tenggelam berkatalah ia (pada saat yang genting itu): “Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israil, dan aku adalah dari orang-orang yang berserah diri (menurut perintah)”. (Allah berfirman): “Adakah sekarang (baharu engkau beriman), padahal sesungguhnya engkau dari dahulu telah kufur derhaka, dan engkau telahpun menjadi dari orang-orang yang melakukan kerosakan?. “Maka pada hari ini, Kami biarkan engkau (hai Firaun) terlepas dengan badanmu (yang tidak bernyawa, daripada ditelan laut), untuk menjadi tanda bagi orang-orang yang di belakangmu (supaya mereka mengambil itibar). Dan (ingatlah) sesungguhnya kebanyakan manusia lalai daripada (memerhati dan memikirkan) tanda-tanda kekuasaan Kami!”

(Surah Yunus: 90-92)

Allah SWT mengkhabarkan bagaimana Dia menenggelamkan Fir’aun, pemimpin orang-orang kafir Qibti. Iaitu ketika ombak lautan mengombang-ambingkannya, sedangkan Bani Israil melihat dirinya dan bala tenteranya seksaan yang pedih yang ditimpakan oleh Allah SWT kepada mereka. Supaya hati Bani Israil merasa senang. Setelah Fir’aun merasa bahawa dirinya akan binasa dan sakaratul maut menyapanya, maka dia pun bertaubat dan kembali kepada Allah serta beriman kepada-Nya. Namun, saat itu tidak lagi bermanfaat imannya, sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah Ta’ala:

إِنَّ الَّذِينَ حَقَّتْ عَلَيْهِمْ كَلِمَتُ رَبِّكَ لَا يُؤْمِنُونَ (96) وَلَوْ جَاءَتْهُمْ كُلُّ آيَةٍ حَتَّىٰ يَرَوُا الْعَذَابَ الْأَلِيمَ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang telah ditetapkan atas mereka hukuman Tuhanmu (dengan azab), mereka tidak akan beriman: Walaupun datang kepada mereka segala jenis keterangan dan tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah dan kebenaran Rasul-rasulNya), sehingga mereka melihat azab yang tidak terperi sakitnya.”

(Surah Yunus: 96-97)

Allah SWT berfirman:

فَلَمَّا رَأَوْا بَأْسَنَا قَالُوا آمَنَّا بِاللَّهِ وَحْدَهُ وَكَفَرْنَا بِمَا كُنَّا بِهِ مُشْرِكِينَ (84) فَلَمْ يَكُ يَنفَعُهُمْ إِيمَانُهُمْ لَمَّا رَأَوْا بَأْسَنَا ۖ سُنَّتَ اللَّهِ الَّتِي قَدْ خَلَتْ فِي عِبَادِهِ ۖ وَخَسِرَ هُنَالِكَ الْكَافِرُونَ

Maksudnya: Maka ketika mereka melihat azab Kami, mereka berkata: “Kami beriman kepada Allah semata-mata, dan kami kufur ingkar kepada benda-benda yang dengan sebabnya kami menjadi musyrik”. Maka iman yang mereka katakan semasa melihat azab Kami, tidak berguna lagi kepada mereka; yang demikian adalah menurut “Sunnatullah” (undang-undang peraturan Allah) yang telah berlaku kepada hamba-hambaNya. Dan pada saat itu rugilah orang-orang yang kufur ingkar.

(Surah Ghafir: 84-85)

Demikianlah, Musa mendoakan kehancuran bagi Fir’aun dan para pengikutnya, iaitu agar dibinasakan harta benda mereka, dan dikunci matilah hati mereka, maka mereka tidak beriman hingga mereka melihat seksaan yang pedih. Iaitu ketika tidak bermanfaat lagi keimanan mereka, sehingga hal itu merupakan kerugian bagi mereka.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, bahawa Rasulullah bersabda:

لَمَّا قَالَ فِرْعَوْنُ { آمَنْتُ أَنَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا الَّذِي آمَنَتْ بِهِ بَنُو إِسْرَائِيلَ } قَالَ قَالَ لِي جِبْرِيلُ يَا مُحَمَّدُ لَوْ رَأَيْتَنِي وَقَدْ أَخَذْتُ حَالًا مِنْ حَالِ الْبَحْرِ فَدَسَّيْتُهُ فِي فِيهِ مَخَافَةَ أَنْ تَنَالَهُ الرَّحْمَةُ

Maksudnya: Ketika Firaun berkata: “Saya percaya bahawa tidak ada Tuhan melainkan Tuhan yang dipercayai oleh Bani Israil.” (Surah Yunus: 90) maka Jibril berkata kepadaku: “Wahai Muhammad, sekiranya engkau melihatku ketika aku di laut, nescaya (engkau akan melihatku) menginjak mulut (Fir’aun). Kerana aku khuatir apabila dia mendapat rahmat.”

Riwayat al-Tirmizi (3108), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (11238) dan Ahmad (2820). Syeikh Ahmad Syakir menyatakan isnadnya sahih dalam takhrijnya terhadap Musnad Ahmad (4/295)

Ibn Abi Hatim berkata: Daripada Said bin Jubair, daripada Ibnu Abbas, dia berkata: Ketika Allah menenggelamkan Firaun, maka Firaun mengangkat jarinya dan mengeraskan suaranya: “Saya percaya bahawa tidak ada Tuhan melainkan Tuhan yang dipercayai oleh Bani Israil.” (Surah Yunus: 90). Ibn Abbas berkata: Jibril khuatir rahmat Allah mendahului murka-Nya. Kemudian Jibril membentangkan sayapnya dan memukul wajah Firaun dengan sayap tersebut sehingga Fir’aun tenggelam (ke dalam lautan).” (Lihat Tafsir Ibn Abi Hatim, 8/90 dan Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/293)

Ibnu Jarir telah meriwayatkannya daripada jalur Kathir bin Zadan, seorang yang tidak dikenali, daripada Abu Hazim, daripada Abu Hurairah. Ia juga diriwayatkan oleh Ahmad dan al-Tirmizi dan sanadnya ada yang dhaif. Yang benar bahawa hadis ini mauquf dan merupakan ungkapan Ibn Abbas berkata: Rasulullah bersabda: “Jibril berkata kepadaku: “Wahai Muhammad, sekiranya engkau melihatku ketika aku di laut, nescaya (engkau akan melihatku) menginjak mulut Firaun. Kerana aku khuatir apabila rahmat Allah diberikan kepadanya sehingga dia diampunkan.” Iaitu Firaun. Hadith di atas dinyatakan sebagai hadits mursal oleh sejumlah ulama salaf seperti Ibrahim al-Taimi, Qatadah, dan Maimun bin Mahran.

Dikatakan bahawasanya al-Dahhak pernah menyampaikannya dalam khutbah di tengah-tengah orang ramai. Dalam sebahagian riwayat, Jibril mengatakan: “Aku belum pernah marah seperti kemarahanku kepada Firaun, ketika dia berkata: “Akulah tuhanmu yang paling tinggi” (Surah al-Nazi’at: 24). Aku telah menginjak mulutnya ketika ia berkata ketika hendak tenggelam).”

Firman Allah SWT:

آلْآنَ وَقَدْ عَصَيْتَ قَبْلُ وَكُنتَ مِنَ الْمُفْسِدِينَ

Maksudnya: “Adakah sekarang (baharu engkau beriman), padahal sesungguhnya engkau dari dahulu telah kufur derhaka, dan engkau telahpun menjadi dari orang-orang yang melakukan kerosakan?”

(Surah Yunus: 91) 

Ayat di atas bentuk istifhaam inkari (pertanyaan untuk mengingkari). Nas di atas menunjukkan bahwa Allah SWT tidak menerimanya, sebab -Wallahu a’lam.-sekiranya ia dikembalikan ke dunia ini seperti semula, nescaya dia akan kembali melakukan kerosakan seperti sebelumnya. Sebagaimana yang telah dikhabarkan oleh Allah SWT tentang orang-orang kafir ketika melihat neraka, mereka berkata:

يَا لَيْتَنَا نُرَدُّ وَلَا نُكَذِّبَ بِآيَاتِ رَبِّنَا وَنَكُونَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya: “Wahai kiranya kami dikembalikan ke dunia, dan kami tidak akan mendustakan lagi ayat-ayat keterangan Tuhan kami, dan menjadilah kami dari golongan yang beriman.”

(Surah al-An’am: 27)

(Lihat Qasas al-Anbiya’ oleh Ibn Kathir, 3/90-99)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”

Leave a Reply