#5320: Solat Tahajud 10 Minit Sebelum Masuk Subuh

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah kita tahajud 10 minit sebelum azan subuh ?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Solat sunat Tahajjud, solat ini dilaksanakan, selepas bangun dari tidur dan sebelum masuk waktu subuh. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/217). Daripada Abu Hurairah RA, sabda Rasulullah:

يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الآخِرُ يَقُولُ: مَنْ يَدْعُونِي، فَأَسْتَجِيبَ لَهُ مَنْ يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ، مَنْ يَسْتَغْفِرُنِي فَأَغْفِرَ لَهُ

Maksudnya: “Tuhan yang Maha Berkat dan Maha Tinggi turun setiap malam ke langit dunia sewaktu masa berbaki sepertiga malam terakhir dan berfirman: Barangsiapa yang berdoa kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan baginya. Baransiapa yang meminta kepada-Ku nescaya aku akan memberikan (apa yang dipinta) kepadanya. Barangsiapa yang meminta pengampunan daripada-Ku, nescaya Aku akan mengampuninya.”

Riwayat al-Bukhari (1145)

Syeikh Mustafa al-Bugha berkata: (termasuk) yang dikehendaki dengan “turun” ialah turunnya Ketetapan—Nya, Rahmat-Nya, Kelembutan-Nya dan Pengampunan-Nya.

Solat Tahajjud memiliki kelebihan yang besar, sepertimana disebut hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

وَأَفْضَلُ الصَّلَاةِ بَعْدَ الْفَرِيضَةِ؛ صَلَاةُ اللَّيْلِ

Maksudnya: “Sebaik-baik solat setelah solat fardhu ialah solat malam.”

Riwayat Muslim (1163)

Ibn Rajab berkata: “Waktu tahajud di malam hari adalah sebaik-baik waktu pelaksanaan solat sunat. Ketika itu hamba semakin dekat dengan Tuhannya. Waktu tersebut adalah saat dibukakannya pintu langit dan terkabulnya doa. Saat itu juga adalah waktu untuk mengemukakan pelbagai hajat kepada Allah SWT.” (Lihat Lata’if al-Ma’arif, hlm. 77).

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan tidak menjadi masalah untuk solat Tahajud 10 minit sebelum subuh. Pembahagian malam ini hanyalah bersifat taqribi (lebih kurang/anggapan paling hampir) bukannya tahdidi (secara tepat). Terpulang kepada masing-masing untuk berqiamullail mengikut keselesaan dan kemampuan.

Semoga Allah kurniakan kepada kita cintakan solat malam dan Tahajjud dan melayakkan kita mendapat kedudukan yang terpuji pada hari Akhirat kelak. Firman Allah SWT:

‏ وَمِنَ اللَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِ نَافِلَةً لَّكَ عَسَىٰ أَن يَبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَّحْمُودًا

Maksudnya: Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah (sembahyang tahajjud) padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.

(Surah al-Isra’: 79)

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Surah Ibrahim (40-41)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *