Soalan

Apakah dibenarkan solat jenazah ghaib hanya bagi jenazah yang meninggal di luar kawasan sahaja?

Jawapan

Solat jenazah ghaib bermaksud solat yang dilaksanakan di negeri yang lain yang berada jauh dari negeri asalnya. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 385). Pensyariatan solat jenazah ghaib ini dapat dilihat berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم نَعَى النَّجَاشِيَّ فِي الْيَوْمِ الَّذِي مَاتَ فِيهِ، خَرَجَ إِلَى الْمُصَلَّى، فَصَفَّ بِهِمْ وَكَبَّرَ أَرْبَعًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW memberitahu akan berita kematian al-Najasyi ketika hari kematiannya. Baginda SAW keluar ke musolla, membuat saf dan bertakbir sebanyak empat kali.”

Riwayat al-Bukhari (1245) dan Muslim (951)

Imam Al-Nawawi menjelaskan: “Dan mazhab kami adalah keharusan mendirikan solat ke atas mayat yang tidak berada di dalam negeri. Sama ada ia berada di arah kiblat atau selainnya. Akan tetapi orang yang mendirikan solat itu perlu menghadap kiblat. Dan tidak ada beza antara jarak di antara dua negara itu dekat ataupun jauh serta tidak ada khilaf dalam hal ini kesemuanya di sisi kami.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 5/253).

Sekiranya terdapat halangan untuk menunaikan solat jenazah, dibolehkan untuk solat jenazah ghaib walaupun jarak yang berhampiran. Syeikh Zainuddin Al-Malibari berkata: “Sekiranya terdapat keuzuran untuk menghadirinya [solat jenazah] disebabkan terkurung atau sakit, maka ketika ini dibolehkan (untuk melakukan solat jenazah secara ghaib) mengikut pendapat (yang dikemukakan oleh ashab al-wujuh). (Lihat Fath al-Mu’in, hlm. 225).

Justeru, samada jenazah itu di luar kawasan atau dalam kawasan, sekiranya individu yang ingin menunaikan solat jenazah tidak dapat menghadirinya atas pelbagai faktor, dibolehkan untuk solat jenazah ghaib walaupun jaraknya dekat. Wallahu a’lam. 

Bertarikh 4 November 2021 M bersamaan  28 Rabi’ al-Awwal 1443 H

Leave a Reply