Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah anak zina mempunyai hak dalam mendapat pusaka?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Hukum pusaka ini telah disyariatkan dalam Islam dan telah dinaskan oleh al-Quran, al-Sunnah serta ijma’ ulama’. Orang-orang yang mengingkari pensyariatan hukum pusaka adalah kafir dan keluar daripada Islam. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ مِمَّا قَلَّ مِنْهُ أَوْ كَثُرَ ۚ نَصِيبًا مَّفْرُوضًا
Maksudnya: “Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).”
(Surah al-Nisa’: 7)
Para ulama ketika menerangkan sebab penurunan ayat ini menyatakan bahawa ketika zaman sebelum datangnya Islam (zaman jahiliyyah), wanita dan kanak-kanak tidak berhak mendapat sedikit pun daripada harta pusaka yang ditinggalkan ahli keluarga mereka. Ini adalah kerana pada ketika itu, hanya lelaki yang boleh mempertahankan kabilah dan keluarga sahaja mewarisi harta pusaka. Hal ini dapat dilihat dalam satu kisah yang direkodkan bahawa ada seorang lelaki dari kaum Ansar meninggal dunia sebelum diturunkan ayat ini, dalam masa yang sama dia meninggalkan empat orang anak perempuan. Namun, kesemua harta yang ditinggalkan diambil oleh sepupunya. Oleh kerana itu, Allah SWT menurunkan ayat ini yang menyatakan bahawa wanita juga berhak mendapat sebahagian daripada harta pusaka dan sekali gus memuliakan wanita. (Lihat Tafsir Muqatil Bin Sulaiman, 127/5; Tafsir al-Tabari, 597/7; Tafsir al-Maturidi, 28/3; al-Mufassal fi Tarikh al-Arab Qabla al-Islam, 237/10)
Para ulama’ juga telah menyebutkan 4 sebab yang mengharuskan seseorang itu untuk menerima hak pewarisan harta pusaka:
- Al-Nasab (pertalian darah): iaitu kaum kerabat.
- Al-Nikah: iaitu akad perkahwinan yang sah, sekali pun tidak pernah berlaku persetubuhan dalam perkahwinan tersebut.
- Al-Wala’ (perhambaan): iaitu hamba yang telah dibebaskan. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:
الوَلَاءُ لُحْمَةٌ كَلُحْمَةِ النَّسَبِ
Maksudnya: “Al-Wala’ ini adalah suatu pertalian seperti pertalian al-Nasab”
Riwayat Ibn Hibban (4950) dan al-Hakim (7990)
- Al-Islam: Harta peninggalan muslim yang tidak mempunyai ahli waris dengan 3 sebab di atas, hartanya akan diberikan ke Baitulmal.
Manakala, tiga perkara yang menghalang seseorang itu daripada mewarisi harta peninggalan warisnya adalah:
- Perhambaan
- Seorang waris membunuh warisnya yang lain tanpa hak
- Berbezanya agama seseorang dengan warisnya. (Lihat Kitab al-Faraid, hlm.19 )
Kesimpulan
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan bagi hak pusaka anak zina, para ulama’ bersepakat, keturunan anak zina dinisbahkan kepada ibunya dan tidak dinisbahkan kepada bapanya.
Ini kerana hubungannya dengan bapanya tidak disahkan disebabkan syara’ tidak menganggap zina sebagai satu cara perhubungan yang sah di antara lelaki dan perempuan atau satu cara untuk mengesahkan keturunan. Atas alasan ini, tiada hubungan waris antara anak zina dan bapa atau ahli keluarga bapanya.
Berkenaan ibunya, jumhur ulama’ bersetuju bahawa adanya hubungan waris antara anak zina dengan ibunya dan ahli keluarga ibunya.
Jika anak zina ini mati, pusakanya akan diwarisi oleh ibunya dan ahli keluarga ibu. Dia juga akan mewarisi pusaka ibunya dan pusaka ahli keluarga ibunya. Ini kerana hubungan anak zina dengan ibunya adalah sah tanpa sebarang keraguan.
Walaupun kelahirannya tidak melalui cara yang diterima syara’, hubungan keibuan tetap wujud di antara anak zina dan ibunya. Hubungan inilah yang membolehkan mereka saling mewarisi. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 5/63)
Akhir kalam, semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
Wallahu a‘lam