Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah anak li’an berhak mendapatkan harta pusaka?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Li’an

Al-Li’an dari sudut  berasal dari kalimah arab   لاَعَنَ-يَلَاعِنُ yang membawa maksud buang dan menjauhkan contohnya seperti “لَعَنَهُ الله ” iaitu Allah SWT membuang dan menjauhkannya.

Dari segi syara’ pula li’an bermaksud: Sementara dari segi syara’, li’an bermaksud perkataan-perkataan yang dijadikan hujah oleh suami yang terpaksa menuduh isterinya kerana mencemari rumahtangga dan menyebabkan `aib kepada suami. Perkataan tertentu ini dinamakan li’an kerana ia mengandungi perkataan al-La’nu (اللَّعْنُ). Begitu juga kerana suami isteri yang berli’an akan berjauhan antara satu sama lain. (Lihat Fiqh al Manhaji, 4/150)

Dalil Li’an

Firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ يَرْمُونَ أَزْوَاجَهُمْ وَلَمْ يَكُن لَّهُمْ شُهَدَاءُ إِلَّا أَنفُسُهُمْ فَشَهَادَةُ أَحَدِهِمْ أَرْبَعُ شَهَادَاتٍ بِاللَّهِ ۙ إِنَّهُ لَمِنَ الصَّادِقِينَ (6) وَالْخَامِسَةُ أَنَّ لَعْنَتَ اللَّهِ عَلَيْهِ إِن كَانَ مِنَ الْكَاذِبِينَ

Maksudnya: Dan orang-orang yang menuduh isterinya berzina, sedang mereka tidak ada saksi-saksi (yang mengesahkan tuduhannya itu) hanya dirinya sendiri, maka persaksian (sah pada syarak) bagi seseorang yang menuduh itu hendaklah ia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa sesungguhnya ia dari orang-orang yang benar; – (6) Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata): Bahawa laknat Allah akan menimpa dirinya jika ia dari orang-orang yang dusta.

(Surah al-Nur: 6-7)

Begitu juga hadith, daripada Sahl bin Sa’d RA bahawa:

أَنَّ رَجُلاً مِنَ الأَنْصَارِ جَاءَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ أَرَأَيْتَ رَجُلاً وَجَدَ مَعَ امْرَأَتِهِ رَجُلاً، أَيَقْتُلُهُ أَمْ كَيْفَ يَفْعَلُ؟ فَأَنْزَلَ اللَّهُ فِي شَأْنِهِ مَا ذَكَرَ فِي الْقُرْآنِ مِنْ أَمْرِ الْمُتَلاَعِنَيْنِ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: قَدْ قَضَى اللَّهُ فِيكَ وَفِي امْرَأَتِكَ. قَالَ: فَتَلاَعَنَا فِي الْمَسْجِدِ وَأَنَا شَاهِدٌ

Maksudnya: “Seorang lelaki daripada kaum Ansar telah menemui Rasulullah SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah! Apakah pendapatmu jika seseorang mendapati isterinya bersama-sama lelaki lain? Adakah perlu dibunuh lelaki itu atau bagaimana?” Maka Allah menurunkan ayat al-Quran berkenaan dengan masalahnya tentang perkara li’an. Nabi SAW bersabda: “Allah telah menurunkan hukum tentang engkau dan isteri engkau.” Sahl bin Sa’ad berkata: “Lelaki Ansar dan isterinya pun melakukan li’an di dalam masjid dan aku menyaksikannya.”

Riwayat al-Bukhari (5003) dan Muslim (1492)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, bagi hak pusaka untuk anak Li’an, kami nyatakan li’an ialah seseorang suami menafikan anak yang dilahirkan oleh isterinya adalah anak mereka hasil benihnya melalui sumpah yang tertentu.

Sumpahnya ialah dengan suami berkata sebanyak empat kali dengan lafaz: “Saya bersaksi demi Allah bahawa saya benar-benar jujur dengan segala tuduhan zina yang saya lemparkan ke atas isteri saya. Anak yang dia lahirkan ini adalah hasil daripada zina dan bukannya daripada benih saya.”

Pada kali kelima pula suami berkata: “Sesungguhnya laknat Allah akan menimpa saya sekiranya saya menipu dalam tuduhan zina yang dilemparkan dan saya menafikan anak tersebut daripada benih saya.”

Dalil tentang li’an ini ialah berdasarkan firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ يَرْمُونَ أَزْوَاجَهُمْ وَلَمْ يَكُن لَّهُمْ شُهَدَاءُ إِلَّا أَنفُسُهُمْ فَشَهَادَةُ أَحَدِهِمْ أَرْبَعُ شَهَادَاتٍ بِاللَّهِ إِنَّهُ لَمِنَ الصَّادِقِينَ (3) وَالْخَامِسَةُ أَنَّ لَعْنَتَ اللَّهِ عَلَيْهِ إِن كَانَ مِنَ الْكَذِبِينَ

Maksudnya: Dan orang-orang yang menuduh isteri berzina, sedang mereka tidak ada saksi-saksi melainkan dirinya sendiri, maka persaksian bagi seseorang yang menuduh itu hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa sesungguhnya dia dari orang-orang yang benar. Dan sumpah yang kelima (hendaklah dia berkata): Bahawa laknat Allah akan menimpa dirinya jika dia dari orang-orang yang dusta.

(Surah al-Nur: 6-7)

Setelah dilangsungkan proses li’an, hubungan anak ini dengan si suami akan ternafi dan terputus. Dengan ini juga, hubungan waris di antara mereka terputus (tidak boleh waris mewarisi) dan hukumnya ketika itu sama sepertimana hukum anak zina.

Hubungan anak ini dengan ibunya akan kekal dan hukumnya samalah sepertimana anak zina. Apabila mati dia diwarisi oleh ibu dan ahli keluarga ibunya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 5/63)

Akhir kalam, semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *