Soalan
Bagaimana status nikah sesuatu pasangan yang melakukan akad nikah sebanyak dua kali? Pertama kali secara sembunyi, dan kali kedua secara terangan dan rasmi? Mohon Pencerahan
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Nikah menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud sebuah akad (perjanjian) yang mengandungi lafaz ijab dan kabul yang menghalalkan pasangan lelaki dan perempuan untuk melakukan persetubuhan.[1]
Lafaz nikah ada disebut di dalam firman Allah SWT:
فَانْكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَاءِ
Maksudnya: “…maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain)…”
( Surah Al-Nisa’: 3)
Islam menggalakkan umatnya supaya berkahwin kerana perbuatan itu merupakan Sunnah Baginda Nabi SAW. Selain itu perkahwinan juga terdapat pelbagai kebaikan dan faedah, sama ada kepada individu mahupun masyarakat. Hal ini seperti yang disebut di dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abu Ayyub RA, Sabda Nabi SAW:
أَرْبَعٌ مِنْ سُنَنِ الْمُرْسَلِينَ: الْحَيَاءُ، وَالتَّعَطُّرُ، وَالسِّوَاكُ، وَالنِّكَاحُ
Maksudnya: Empat perkara yang merupakan sunnah para rasul, iaitu sifat malu, berwangi-wangian, bersugi dan nikah.
Riwayat al-Tirmizi (1080) dan Ahmad (23628)
Dalam memenuhi tuntutan perkahwinan, seseorang itu tidak dapat lari dari memenuhi tuntuan syarak agar perkahwinannya itu sempurna. Justeru wajib bagi seseorang yang hendak berkahwin untuk mematuhi rukun dan syarat pernikahan supaya perkahwinannya itu menjadi sah. Dr Muhammad Zuhaili menyebut tidak sempurna akad nikah melainkan dengan terlaksana rukunnya dan melengkapi segala syarat bagi rukun tersebut. ( Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh a-Syafi’e, 4/53)
Menurut pendapat majoriti ulama, akad nikah kedua tidak merosakkan akad nikah yang pertama. Hal ini sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Salamah R.Anha, katanya:
بَايَعْنَا النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَحْتَ الشَّجَرَةِ، فَقَالَ لِي: يَا سَلَمَةُ أَلاَ تُبَايِعُ؟، قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، قَدْ بَايَعْتُ فِي الأَوَّلِ، قَالَ: وَفِي الثَّانِي
Maksudnya: “Kami melakukan bai’ah kepada Nabi SAW di bawah pokok. Ketika itu, Nabi SAW bertanya kepadaku: “Ya Salamah, kamu tidak melakukan bai’ah?. Aku menjawab: “Ya Rasulullah, aku sudah melakukan bai’ah ketika kali pertama dulu.” Nabi SAW bersabda: “Sekarang kali kedua.”
Riwayat Al-Bukhari (7208)
Ibn Hajar al-Asqalani di dalam Fath al-Bari menukilkan pandangan Ibn al-Munir: “Faedah yang boleh diambil daripada hadith ini bahawa ulangan daripada lafaz akad nikah dan selainnya tidak membatalkan akad yang pertama sebagaimana khilaf yang terdapat dalam sebahagian dalam kalangan mazhab Syafi’ie yang menyatakan bahawa ianya membatalkan akad yang pertama” ( Lihat Fath al-Bari, 13/199)
Ibn Hajar menyatakan lagi: Yang sahih dalam kalangan mazhab Syafi’ie adalah akad yang pertama tidak batal sebagaimana pandangan jumhur ulama’. (Lihat Fath al-Bari, 13/199)
Berdasarkan persoalan di atas, status perkahwinan mereka tidak terjejas dengan akad yang kedua disebabkan oleh sahnya akad yang pertama. Namun begitu, perbuatan tersebut sebaiknya ditinggalkan. Hal ini kerana, setiap pernikahan itu cukup dengan satu akad sahaja melainkan jika berlaku penceraian berserta dengan tamat iddahnya.
Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman di dalam memahami agama ini. Amin. Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.
Wallahua`lam.
Bertarikh: 21 Februari 2022 bersamaan 19 Rejab 1443H
[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=nikah