Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah itu Sulh dan jenis-jenisnya?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Definisi Sulh
Sulh atau rundingan ialah usaha untuk menyelesaikan sesuatu perselisihan, mencapai persetujuan antara pihak yang bermusuh dan mewujudkan perdamaian antara mereka.
Menurut syara’, rundingan (sulh) ialah kontrak yang mewujudkan persetujuan dan menghentikan perselisihan.”
Kesahihan Menurut Syara’
Rundingan dibenarkan dan bertepatan dengan syara’. Malah la digalakkan. Al-Quran menyifatkan amalan ini sebagai baik. Firman Allah SWT:
وَالصُّلْحُ خَيْرٌ
Maksudnya: Perdamaian itu lebih baik.
(Surah al-Nisa’: 128)
Ayat ini menjadi dalil kontrak rundingan dibenarkan oleh syara’. Ini kerana semua perkara yang baik sudah tentu bertepatan dengan syara’. Sementara semua perkara yang tidak baik sudah tentu dilarang oleh syariat Allah.
Jenis-jenis Kontrak Rundingan
Menurut syara’, terdapat pelbagai bentuk rundingan dan semua jenis ini dibenarkan oleh syara’.
- Rundingan antara negara Islam dan selain negara Islam. Firman Allah SWT:
وَإِن جَنَحُوا لِلسَّلْمِ فَاجْنَحْ لَهَا وَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
Maksudnya: Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakalah kepada Allah. Sesungguhnya Ia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
(Surah al-Anfal: 61)
- Rundingan antara pihak yang benar dan pihak yang memberontak di kalangan orang Islam (bughah). Firman Allah SWT:
وَإِن طَائِفَتَانِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ اقْتَتَلُوا فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا ۖ
Maksudnya: Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya;
(Surah al-Hujurat: 9)
- Rundingan antara suami isteri ketika berlaku perselisihan, sebagaimana firman Allah SWT:
وَإِنِ امْرَأَةٌ خَافَتْ مِن بَعْلِهَا نُشُوزًا أَوْ إِعْرَاضًا فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا أَن يُصْلِحَا بَيْنَهُمَا صُلْحًا ۚ
Maksudnya: Dan jika seorang perempuan bimbang akan timbul dari suaminya “nusyuz” (kebencian), atau tidak melayaninya, maka tiadalah salah bagi mereka (suami isteri) membuat perdamaian di antara mereka berdua (secara yang sebaik-baiknya).
(Surah An-Nisa’:128)
- Rundingan antara dua pihak yang bertelagah mengenai perkara yang tidak membabitkan harta dan mereka bukan golongan yang memberontak (bughah).
Diriwayatkan daripada Sahl bin Sa’ad RA:
أَنَّ أَهْلَ، قُبَاءٍ اقْتَتَلُوا حَتَّى تَرَامَوْا بِالْحِجَارَةِ، فَأُخْبِرَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم بِذَلِكَ فَقَالَ “ اذْهَبُوا بِنَا نُصْلِحُ بَيْنَهُمْ
Maksudnya: “Penduduk Quba’ bergaduh hingga mereka saling baling- membaling batu. Lalu Rasulullah SAW diberitahu mengenai perkara itu dan Baginda bersabda: “Mari kita pergi damaikan mereka.”
Riwayat al-Bukhari (2547)
- Rundingan dalam aspek muamalat yang membabitkan harta. Inilah yang dimaksudkan oleh para fuqaha dalam tajuk ini. Mereka menamakannya sebagai sulh atau rundingan. Jenis-jenis rundingan yang lain akan dibincangkan dalam tajuknya yang tersendiri. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 6/171)
Akhir kalam, semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا
Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”
Wallahua’lam