Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Dalam peperangan al-Qadisiyyah, nyata kehebatan al-Khansa’. Boleh terangkan kepada kami?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Para Muslimat bukan sahaja menjadi jururawat, malah mereka juga menunjukkan semangat kepahlawanan yang tinggi. Antaranya ialah penyair al-Khansa’ yang memberikan semangat kepada empat orang anak lelakinya dengan menegaskan:

“Wahai anak-anakku, sesungguhnya kamu semua memeluk agama ini tanpa sebarang paksaan. Kamu telah berhijrah dengan kehendak diri sendiri. Demi Allah, tiada Tuhan selain-Nya. Sesungguhnya, kamu ialah putera-putera daripada seorang lelaki dan daripada seorang perempuan yang sama. Tidak patut bagiku untuk mengkhianati bapamu, atau memalukan bapa saudaramu, atau menconteng arang ke muka keluargamu. Jika kamu telah melihat medan perang, singsingkanlah lengan baju dan berangkatlah, majulah ke barisan paling depan dengan harapan kamu beroleh syahid dalam peperangan yang pertama dan terakhir buat kamu ini.” (Lihat Tarikh al-Rusul wa al-Muluk, 3/544)

Akhirnya, keempat-empat orang anaknya gugur syahid, dan beliau bersyukur kerana anak-anaknya menerima kelebihan syahid di medan perang. Namun begitu, beliau bersedih kerana sudah tiada anak untuk ditugaskan berjihad dan berdoa supaya dapat bersama anak-anaknya ke syurga.

Benarlah firman Allah SWT:

مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ ۖ فَمِنْهُم مَّن قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُم مَّن يَنتَظِرُ ۖ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا

Maksudnya: “Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.

Surah al-Ahzab (23)

Imam al-Tabari berkata: Maksud ayat ini adalah, di antara orang-orang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, terdapat orang-orang yang menepati janjinya kepada Allah, iaitu sabar terhadap pelbagai kesusahan dan mudharat. Antara mereka ada yang menyelesaikan pekerjaan yang dijanjikannya kepada Allah dan diwajibkannya kepada dirinya sendiri bagi Allah, sehingga sebahagian dari mereka mati syahid dalam Perang Badar, sebahagian mati syahid dalam perang Uhud, dan sebahagian lagi mati syahid di tempat lain. Tetapi, di antara mereka ada yang menanti qadha dan penyelesaian dari Allah sebagaimana di antara mereka ada yang ditetapkan memenuhi janji kepada Allah, serta memperoleh pertolongan dari Allah dan kemenangan atas musuhnya. (Lihat Jami’ al-Bayan, 21/50)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُـمَّ اغْفِـرْ لَهم ، وَارْحَمْـهم ، وَعَافِهم ، وَاعْفُ عَنْـهم ، وَأَكْـرِمْ نُزُلَـهم ، وَوَسِّـعْ مُدْخَـلَهم ، وَاغْسِلْـهم بِالْمَـاءِ وَالثَّـلْجِ وَالْبَـرَدِ ، وَنَقِّـهم مِنَ الْخَطَـايَا كَمَا نَـقَّيْتَ الـثَّوْبَ الأَبْيَـضَ مِنَ الدَّنَـسِ، وَأَبْـدِلْهم دَارًا خَـيْرًا مِنْ دَارِهم، وَأَهْلًا خَـيْرًا مِنْ أَهْلِـهم ، وَزَوْجًا خَـيْرًا مِنْ زَوْجِهم ، وَأَدْخِـلْهم الْجَـنَّةَ ، وَأَعِـذْهم مِنْ عَذَابِ الْقَـبْرِ وَعَذَابِ النَّـارِ

Maksudnya: “Ya Allah ampunlah mereka, rahmati, afiat dan terimalah keampunan mereka, muliakan tempat mereka, luaskanlah tempat masuk mereka, basuhlah mereka dengan air salji dan air sejuk, sucikanlah mereka dari sebarang kesalahan sebagaimana Kamu sucikan baju putih dari sebarang kotoran. Gantilah mereka tempat tinggal yang lebih baik dari tempat tinggal mereka, keluarga yang lebih baik daripada keluarga mereka, isteri yang lebih baik daripada isteri mereka dan masuklah mereka ke dalam syurga dan jauhlah mereka daripada azab kubur dan azab neraka.”

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا، وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا، وَصَغِيْرِنَا وَكَبِيْرِنَا، وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا، اللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى اْلإِسْلاَمِ، وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى اْلإِيْمَانِ

Maksudnya: “Ya Allah ampunilah orang yang masih hidup di antara kami dan orang yang sudah meninggal, orang yang sekarang ada dan orang yg tidak hadir,  anak kecil di antara kami dan orang dewasa,  lelaki  dan perempuan  dari kalangan kami. Ya Allah siapa yang Engkau hidupkan di antara kami maka hidupkanlah ia di atas Islam dan siapa yang Engkau wafatkan di antara kami maka wafatkanlah dia di atas iman.”

Leave a Reply