#5414: Gaji sebagai Staff dari Syarikat Penerbangan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’. Apakah hukum gaji dari pekerjaan syarikat penerbangan. Hal ini kerana kita sedia maklum di dalam pesawat ada penjualan arak. Adakah pendapatan itu tidak halal?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan  firman Allah SWT:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُلُواْ مِن طَيِّبَٰتِ مَا رَزَقۡنَٰكُمۡ وَٱشۡكُرُواْ لِلَّهِ إِن كُنتُمۡ إِيَّاهُ تَعۡبُدُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya.”

(Surah al-Baqarah: 172)

Syeikh al-Sa’di ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan: Allah SWT memerintahkan kepada keseluruhan umatnya yang beriman untuk mencari sumber rezeki yang paling baik dan halal. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman,1/81)

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda:

أَيُّهَا النَّاسُ، ‌إِنَّ ‌اللهَ ‌طَيِّبٌ ‌لَا ‌يَقْبَلُ ‌إِلَّا ‌طَيِّبًا، وَإِنَّ اللهَ أَمَرَ الْمُؤْمِنِينَ بِمَا أَمَرَ بِهِ الْمُرْسَلِينَ، فَقَالَ: {يَا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلُوا مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوا صَالِحًا، إِنِّي بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ} [المؤمنون: 51] وَقَالَ: {يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ} [البقرة: 172] ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ، يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ، يَا رَبِّ، يَا رَبِّ، وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ، وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ، وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ، وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ، فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ؟ “

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT itu baik, dia tidak menerima kecuali perkara yang baik. Dan sesungguhnyaAllah SWT telah memerintahkan orang-orang mukmin dengan apa yang telah diperintahkan kepada para Rasul, maka Allah SWT bersabda: (Wahai para Rasul! Makan minumlah kamu makanan yang baik-baik dan hendaklah kami beramal soleh). Dan Allah SWT berfirman: (Wahai orang-orang yang beriman! Makan minumlah kamu makanan yang baik-baik yang Kami rezekikan kepada kamu). Kemudian Baginda SAW menyebut perihal seorang lelaki yang bermusafir jauh, yang rambutnya kusut masai dan berdebu, yang menadah tangan kelangit (iaitu berdoa): Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku! Bagaimanakah doanya akan dimakbulkan sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan dia dikenyangkan dengan makanan yang haram?”

Riwayat Muslim (1015)

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa: Sesiapa yang hartanya lebih banyak daripada sumber yang haram, makruh untuk menerima pemberian daripadanya sebagaimana makruh melakukan apa-apa transaksi dengannya.(Lihat Raudhat al-Talibin wa ‘Umdat al-Muftin, 337/7)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan hukum mengambil gaji dari pekerjaan sebagai staf di syarikat penerbangan yang terdapat di dalamnya hidangan arak adalah harus. Hal ini kerana, perlu kita fahami keuntungan utama syarikat adalah melalui perkhidmatan penerbangan dan bukanlah melalui hidangan arak yang merupakan sejuzuk kecil dari keuntungan syarikat. Meskipun begitu, sebaiknya kita mengambil pendekatan yang warak dengan meninggalkan pekerjaan tersebut dan mencari pekerjaan yang tidak terdapat keraguan padanya. Ini sebagaimana sabda Nabi SAW:

دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لاَ يَرِيبُكَ

Maksudnya: “Tinggalkan apa yang kamu ragui kepada apa yang tidak kamu ragui”

Riwayat al-Tirmizi (2442) dan al-Nasa’i (5711)

Semoga Allah membantu anda dalam lebih memahami syariat Allah SWT dan moga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

(Surah Ibrahim: 40)

Wallahua`lam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *