Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum menggabungkan dua niat mandi hadas dalam jenis yang berbeza?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

 Kami mulakan dengan sabda Nabi SAW:

إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ

Maksudnya: “Sesungguhnya amalan itu adalah dengan niat.”

Riwayat al-Bukhari (1) dan Muslim (1907)

Secara umumnya, mandi wajib ialah mandi yang tidak sah ibadat tanpanya apabila terdapat sebab-sebab yang mewajibkan mandi. Sebab-sebabnya ialah janabah, haidh, bersalin dan mati. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/73).

Seterusnya, para ulama telah menetapkan bahawa syarat fardhu bagi mandi wajib hanya tiga, iaitu:

  • Niat
  • Menghilangkan najis jika sekiranya ada pada badan.
  • Meratakan air ke seluruh rambut (bulu-bulu) dan badan. (Lihat Matan Ghayah wa al-Taqrib, hlm. 21).

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan cukup sekadar satu niat sahaja untuk mandi wajib tersebut bagi dua atau lebih sebab yang mewajibkan mandi bagi seseorang tersebut. Justeru, tidak perlu untuk dia berniat untuk mandi wajib bagi dua hadas seperti hadas jima’ dan keluar darah haid.

Syeikh Hasan al-Kaf menerangkan di dalam kitabnya ini dengan menyebut:

Persoalan: Jika sekiranya berkumpul dua atau lebih sebab yang menyebabkan wajib untuk mandi junub seperti jima’ dan keluar air mani contohnya, adakah memadai dengan satu niat sahaja. Jawapan: Ya, memadai dengan satu niat sahaja bagi kedua-dua sebab tersebut. Sama juga bagi mandi sunat (iaitu memadai satu niat sahaja untuk dua mandi sunat). (Lihat  al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masail al-Mufidah, hlm.  118)

Semoga Allah membantu anda dalam lebih memahami syariat Allah SWT dan moga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

 اللَّهُمَّ إِنَّا نسْأَلُكَ الْهُدَى ، وَالتُّقَى ، وَالْعَفَافَ ، وَالْغِنَى

Maksudnya: “Wahai Allah! Sesungguhnya kami memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, sifat iffah dan kekayaan.”

Wallahua`lam.

Leave a Reply