#5428: Hadith 40: Adab Makan

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh Dato syarah hadith berkaitan adab makan agar ia dapat dipraktikkan oleh seluruh masyarakat?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Daripada al-Miqdam bin Ma’di Karib R.A, sabda Rasulullah SAW:

مَا مَلَأَ آدَمِيٌّ وِعَاءً شَرًّا مِنْ بَطْنٍ، بِحَسْبِ ابْنِ آدَمَ أَكَلَاتُ يُقِمْنَ صُلْبَهُ، فَإِنْ كَانَ لَا مَحَالَةَ، فَثُلُثٌ لِطَعَامِهِ، وَثُلُثُ لِشَرَابِهِ، وَثُلُثٌ لِنَفَسِهِ

Maksudnya: “Tidaklah seorang anak Adam memenuhi satu tempat yang lebih teruk dari (memenuhi) perutnya. Cukuplah bagi anak Adam makanan yang boleh menegakkan tulang belakangnya, jika boleh (lebih dari itu) maka sepertiga untuk makanannya, sepertiga untuk minumnya dan sepertiga untuk nafasnya.”

Riwayat Ahmad (4/132), al-Tirmizi (2380), al- Nasaie (6769) (6770) dan Ibn Majah (3349). Al- Tirmizi berkata hadith ini hasan.

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan terdapat beberapa istifadah yang boleh kita ambil daripada hadith di atas, antaranya:

Pertama: Umar al-Khattab berkata: “Jauhilah dari membesarkan perut (makan banyak) sesungguhnya ia akan memudharatkan jasad, datangnya penyakit, bermalasan dalam solat. Hendaklah kamu berusaha menjauhinya (makan banyak) kerana dengannya (kurang makan) akan menyihatkan jasad, dan menjauhkan dari sifat melampau. Dan Sesungguhnya Allah tidak suka kepada para rahib gereja dan orang yang gemuk (disebabkan makan).”

Kedua: Seorang doktor perubatan dari Amerika Syarikat telah memeluk Islam. Apabila ditanya sebab beliau memeluk Islam, beliau menjawab: “Aku memeluk Islam kerana satu hadis dan kerana satu ayat al-Quran.” Mereka bertanya: “Apa hadisnya?” Doktor perubatan tersebut menjawab: “laitu hadis yang disabdakan Nabi SAW: “Cukuplah bagi anak Adam makanan yang boleh menegakkan tulang belakangnya, jika boleh (lebih dari itu) maka sepertiga untuk makanannya, sepertiga untuk minumnya dan sepertiga untuk nafasnya.” Beliau berkata: “Ini adalah asas kepada perubatan, kalau semua manusia melakukan sepertimana hadis ini, maka tiada seorang yang akan ditimpa penyakit.” (Lihat al-‘Itidal di al-Tha’am, Maqalah al-‘Ijaz fi al-Sunnah al-Nabawiyyah, Ahmad Nawwaf al-Mawwas).

Ketiga: Hadith ini mengajar bersederhana dalam makanan dan minuman. Islam menerangkan sifat-sifat dan asas kesihatan di dalam hadis ini iaitu tidak melampau. Ini bertepatan dengan Firman Allah SWT:

وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ

Maksudnya: Makanlah serta minumlah dan jangan melampau. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampau.

(Surah al-A’raf. 31)

Ayat ini merangkumi sebahagian daripada asas perubatan, kerana sesungguhnya hampir keseluruhan penyakit disebabkan kekenyangan yang melampau, seperti budayamakan selepas makan, perkara ini dilarang oleh Allah SWT dalam ayat di atas iaitu tidak melampau dalam makan dan minum. Ini kerana berlebihan dalam makan dan minum membawa kepada kebinasaan jasad. Sifat yang melampau tidak disukai Allah SWT. Ini kerana akan membinasakan diri sendiri, menyusahkan orang lain yang bersamanya, akan menyusahkan keluarganya dan para doktor.

Aplikasi Hadith dalam Kehidupan

Makanlah sekadar untuk mengisi perut dan menghilangkan ke-laparan. Makanlah sekiranya lapar dan berhentilah sebelum kenyang.

Bagilah ruang kepada akal dan jiwa dengan mengurangkan makan dan minum yang melampau, kerana jika perut dipenuhi dengan makanan dan minuman maka tiadalah ruang untuk akal dan jiwa.

Sebenarnya hadis di atas mengajar kita adab ketika menghadapi makanan agar ruang perut juga diraikan dan menatijahkan kesihatan.

Semoga Allah menjadikan kita golongan yang sentiasa berniat ke- arah kebaikan. Amin.

Info Lanjut: Bagi kefahaman yang lebih jelas dan menyeluruh berkenaan hadith di atas, anda boleh rujuk di buku kami, “Al-Kafi Syarah Hadis 40 karya Imam Nawawi.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

 اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ketakwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *