Soalan:

Apakah hukum memberi salam kepada berlainan jantina seperti lelaki yang sudah berkahwin dengan perempuan yang sudah berkahwin? Atau duda dengan janda?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَإِذَا حُيِّيتُم بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّوا بِأَحْسَنَ مِنْهَا أَوْ رُدُّوهَا ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ حَسِيبًا

Maksudnya: “Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu.”

(Surah al-Nur: 86)

Hukum memberi salam asalnya ialah sunat yang sangat dituntut. Adapun menjawabnya adalah wajib. Imam al-Nawawi Rahimahullah berkata: “Hukum memulakan salam itu adalah sunat muakkadah. Berkata ashab mazhab kami, ia adalah sunat kifayah jika sekolompok jamaah lalu di hadapan seorang lelaki atau jamaah lain kemudian salah seorang daripada kelompok pertama memberikan salam maka terhasil hukum sunat. Adapun hukum menjawab salam adalah fardu atau wajib secara ijma’. Sekiranya seseorang memberi salam kepada seseorang yang lain maka yang kedua itu wajib menjawabnya sebagai fardu ain. Manakala sekiranya diberi salam kepada sekelompok manusia, maka menjawabnya menjadi fardu kifayah.” (Lihat  Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/493-494)

 

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami membahagikan jawapan kami kepada beberapa bahagian:

  • Seorang Lelaki dan Seorang Perempuan

Jika seorang lelaki memberi salam ke atas seorang perempuan atau perempuan memberi salam kepada lelaki, sekiranya di antara mereka berdua terdapat hubungan mahram atau perkahwinan, atau hamba, maka hukumnya adalah sunat dan menjawabnya adalah wajib.

Sekiranya tiada hubungan mahram atau perkahwinan, maka tidak wajib menjawabnya. Wanita asing yang tiada bersama dia wanita lain maka haram dia menjawab salam lelaki asing dan memulakan salam. Begitu juga makruh baginya untuk menjawab salam wanita itu dan haram bagi lelaki itu untuk memulakan salam.” (Lihat Fath al-Muin (ms. 274)

Sekiranya wanita tersebut sudah tua renta, maka boleh kerana dia keluar daripada punca fitnah. (Lihat al-Majmu`, 4/601-602)

  • Sekelompok lelaki dan Sekelompok perempuan

Hukumnya sunat jika tidak ada sebarang fitnah. Hal ini sebagaimana hadith Asma’ bin Yazid R.anha yang berkata:

 مَرَّ عَلَيْنَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي نِسْوَةٍ فَسَلَّمَ عَلَيْنَا

Maksudnya: “Nabi SAW berjalan berhampiran kami dan mengucapkan salam kepada kami.”

Riwayat Abu Daud dan al-Tirmidhi. Kata al-Tirmidhi: “Hadisnya hasan”.

Begitu juga hadis Sahl bin Sa`d RA berkata:

كَانَتْ فِينَا امْرَأَةٌ وَفِي رِوَايَةٍ كَانَتْ لَنَا عَجُوزٌ تَأْخُذُ مِنْ أُصُولِ السَّلْقِ فتطرحه في القدر وتكركر حبات من شعير فَإِذَا صَلَّيْنَا الْجُمُعَةَ انْصَرَفْنَا نُسَلِّمُ عَلَيْهَا فَتُقَدِّمُهُ إلَيْنَا

Maksudnya: “Dalam kalangan kami ada seorang wanita tua yang selalu mencabut pokok Silq daripada akarnya lalu memasukkannya ke dalam periuk dan menambahkan serbuk barli ke dalamnya. Apabila kami selesai solat Jumaat, kami beredar dan memberi salam kepada wanita tersebut dan beliau memberi kami makanan yang dimasaknya.”

Riwayat al-Bukhari (2349) (5403)

  • Memberi Salam dan Jawab Salam dalam Konteks Semasa

Terdapat bentuk-bentuk memberi salam yang dibenarkan jua ialah apabila berkait dengan keperluan atau hajat yang tidak membawa kepada syahwat. Contohnya, anak murid perempuan memberi salam kepada guru lelaki, pekerja di kaunter, meminta fatwa daripada seorang alim dan lain-lain.

Semoga Allah membantu anda dalam lebih memahami syariat Allah SWT dan moga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhir dengan doa:

 رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku – dengan limpah rahmat-Mu – dalam kumpulan hamba-hamba-Mu yang soleh.”

Surah al-Naml (19)

Leave a Reply