#5434: Menolak Vaksin Bayi

Soalan:

Adik saya baru melahirkan bayi sulung, namun suaminya telah menanda tangani akuan kebenaran tidak vaksin anak mereka dengan alasan ibu suaminya melarang cucunya divaksin. Suami adik bimbang ditimpa balasan jika melawan perintah ibunya. Mohon pencerahan dari Datuk tentang hukum melawan dua jenis perintah ibu tersebut. Kami sangat dilema.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Definisi Imunisasi

Imunisasi merupakan satu proses memberi vaksin kepada bayi bertujuan untuk mencegah penyakit-penyakit berjangkit. Vaksin ialah virus atau bakteria yang mati atau dilemahkan. Imunisasi boleh diberi secara suntikan (melalui otot atau di bawah kulit) atau melalui mulut. (Lihat Portal Kementerian Kesihatan Malaysia[1])

Hukum mengambil vaksin imunisasi bayi adalah wajib. Hal ini kerana ia sesuatu yang penting dalam menjaga kesihatan bayi dan mencegah dari perkara yang boleh memudaratkan bayi tersebut. Antara penyakit yang dapat dicegah oleh bayi yang telah menerima vaksin adalah Tuberkulosis (TB), Hepatitis B, difteria, tetanus (kancing gigi), batuk kokol, polio, campak, beguk dan rubella serta yang terkini bermula tahun 2020, terdapat penambahan imunisasi kanak-kanak iaitu pneumonia (radang paru-paru) (Lihat Unit Sumber Pendidikan Kanser Dan Klinikal (Ccare)[2].

Dengan pelbagai jenis penyakit yang mungkin boleh terkena kepada bayi, di samping Kementerian Kesihatan sebagai wakil rasmi kerajaan Malaysia untuk memberi nasihat serta panduan terkait dengan kesihatan bayi seperti vaksin, maka sayugialah kita semua mematuhinya agar perjalanan kesihatan bayi sentiasa dijaga sejak kecil sehingga dewasa.

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan dalam isu ini sebaiknya vaksin itu diambil kerana di situ terdapat banyak maslahat kepada bayi tersebut di kemudian hari. Begitu juga, apabila pemerintah telah mewajibkan untuk vaksin, sekiranya tiada sebab yang munasabah, maka wajib untuk kita mengikutnya kerana pemerintah atau kerajaan tidak akan membenarkan  sesuatu perkara melainkan dengan adanya maslahah. Kaedah fiqh menetapkan:

تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ

Maksudnya: “Polisi pemerintah itu hendaklah berasaskan maslahah terhadap rakyat.

Begitu juga, firman Allah SWT:

فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.”

(Surah an-Nahl: 47)

Mengenai tafsir bagi ayat di atas, Abu Hayyan menukilkan daripada al-Zajjaj, katanya: “(Ahli Zikri) adalah umum pada setiap orang yang disandarkan dengannya ilmu.” (Lihat al-Bahr al-Muhit, 6/533)

Justeru, sebaiknya kita mencegah dari awal, agar tidak berlaku musibah ke atas bayi yang tidak bersalah itu. Hal ini juga bertepatan dengan maqasid syariah iaitu hifz nafs (diri) dan hifz nasl (keturunan).

Semoga Allah membantu anda dalam lebih memahami syariat Allah SWT dan moga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhir dengan doa:

 للَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

Wallahua`lam.

Nota hujung:

[1] http://www.myhealth.gov.my/pengenalan imunisasi/#:~:text=Imunisasi%20merupakan%20satu%20proses%20memberi,bawah%20kulit)%20atau%20melalui%20m

[2] https://care.upm.edu.my/article/kepentingan_imunisasi_dan_vaksin-62530

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *