#5435: Hikmah Antara Kebergantungan kepada Amal

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah Dato jelaskan hikmah dari kitab al-Ihkam Syarh al-Hikam berkaitan tanda kebergantungan kepada amal?

Jawapan:

Ibn Ajibah Rahimahullah mengungkap: “Hubungan Ilmu Tasawuf antaranya melahirkan amalan yang tulus dan buah-buah hal yang suci, hikmah berbunyi:

مِنْ عَلَامَةِ الاعْتِمَادِ عَلَى العَمَلِ نَقْصَانُ الرَّجَاءِ عِنْد وُجُودِ الزَّلَل

Maksudnya: “Diantara tanda seseorang yang hanya bergantung kepada amalannya ialah kurang pengharapan kepada Allah SWT ketika sedang dalam kegelinciran dosa”.

Mafhum Hikmah

  • Awasi diri daripada hanya bergantung kepada reda Allah SWT dengan balasan yang dijanjikan kepadamu seperti solat, puasa, zakat dan lain-lain. Akan tetapi, kebergantunganmu kepada rahmat Allah SWT dengan mengharapkan rahmat-Nya serta kemuliaan- Nya. Mafhum daripada hikmah ini ialah semakin besar harapan ketika dihiasi dengan amalan ketaatan dan dapat menyelamatkan diri daripada maksiat.
  • Ibn Abbad Rahimahullah berkata: “Bergantung kepada Allah merupakan sifat orang arifin yang bertauhid, sebaliknya bergantung kepada yang lain merupakan sifat orang jahil yang lalai.
  • Mengikut Syeikh Ahmad Zarruq Rahimahullah, beliau mengatakan bahawa manusia dibahagikan kepada tiga golongan:
  • Yang bergantung kepada amalan, iaitu maqam al-Islam (kedudukan).
  • Yang bergantung kepada kelebihan Allah, iaitu maqam al-Iman.
  • Yang bergantung kepada pendahuluan dan hukum, iaitu luh mahfuz qada’ dan qadar iaitu maqam al-Ihsan.

Dengan sebab itu sebahagian ahli tahqiq berkata: “Siapa yang sampai kepada hakikat Islam nescaya tiada mampu untuk berpisah dengan amalan. Sesiapa yang sampai kepada hakikat iman nescaya tiada mampu berpaling kepada amal. Dan sesiapa yang sampai kepada hakikat ihsan nescaya tiada mampu berpaling kepada yang lain selain Allah SWT.”

Justeru, bergantunglah kepada Allah SWT kerana taufiq, hidayah daripada-Nya yang perlu kita mohon. Dengan itu kita tidak lihat kepada diri kita lagi.

Akhir kalam, semoga Allah membantu anda dalam lebih memahami syariat Allah SWT dan moga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ فضْلِكَ وَرَحْمَتِكَ ، فَإِنَّهُ لا يَمْلِكُهَا إِلا أَنْتَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepada-Mu agar diberi kurniaan dan rahmat-Mu. Sesungguhnya tiada yang memilikinya kecuali-Mu.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *