Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah Dato jelaskan tentang jenis-jenis air dan pembagiannya agar masyarakat lebih memahaminya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

Maksudnya:Wahai orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian daripada kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.

(Surah al-Ma’idah: 6)

Al-Maraghi menyatakan bahawa makna ayat di atas adalah sekiranya seseorang itu hendak bangun bagi mendirikan solat — dan masih lagi dalam keadaan berhadas. Hal ini kerana seluruh kaum Muslimin menyatakan bahawa bersuci (yakni berwuduk dan mandi wajib) tidak diwajibkan ke atas orang yang ingin mengerjakan solat melainkan dia masih dalam keadaan berhadas. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/61).

Jenis-jenis Air dan Pembahagiannya

Air yang boleh kita gunakan untuk bersuci itu ada tujuh, iaitu:

  1. Air hujan
  2. Air laut
  3. Air Sungai
  4. Air telaga
  5. Air mata air
  6. Air salji
  7. Air embun

Manakala, air itu terbahagi kepada empat bahagian, iaitu:

  1. Air suci dan menyucikan, serta tidak makruh, iaitu air mutlak.
  2. Air suci dan menyucikan, tetapi makruh, iaitu air musyammas.
  3. Air suci, tetapi tidak menyucikan, iaitu air musta’mal dan air yang berubah kerana bercampur dengan benda-benda suci yang lainnya.
  4. Air najis, iaitu air yang terkena najis dan jumlahnya tidak sampai dua kolah, ataupun mencapai dua kolah, tetapi airnya berubah.

Dua kolah adalah kira-kira 500 ritel Baghdad menurut pendapat yang paling tepat. (Lihat Matan Abi Syuja’, hlm. 3)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ

Maksudnya: “Ya Allah, kami berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk.”

Leave a Reply