#5454: Fardhu dan Sunat Wuduk

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya seorang muallaf yang baru perlahan-lahan memahami agama Islam. Persoalan saya adalah bolehkah dato terangkan secara ringkas tentang fardhu dan sunat wuduk agar saya lebih memahaminya. Terima Kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

Maksudnya:Wahai orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian daripada kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.

(Surah al-Ma’idah: 6)

Al-Maraghi menyatakan bahawa makna ayat di atas adalah sekiranya seseorang itu hendak bangun bagi mendirikan solat — dan masih lagi dalam keadaan berhadas. Hal ini kerana seluruh kaum Muslimin menyatakan bahawa bersuci (yakni berwuduk dan mandi wajib) tidak diwajibkan ke atas orang yang ingin mengerjakan solat melainkan dia masih dalam keadaan berhadas. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/61).

Fardhu-Fardhu Wuduk

Terdapat enam fardhu wuduk, iaitu:

  1. Niat ketika membasuh wajah.
  2. Membasuh wajah.
  3. Membasuh dua tangan hingga ke siku.
  4. Mengusap sebahagian kepala.
  5. Membasuh dua kaki hingga buku lali.
  6. Tertib, yakni mengikut turutan seperti yang dinyatakan sebelum ini.

Sunat-sunat Wuduk

  1. Mengucap bismillah
  2. Mmebasuh kedua tapak tangan sebelum memasukkannya ke dalam bejana air.
  3. Berkumur-kumur.
  4. Istinsyaq, iaitu menghirup air ke dalam hidung dan mengeluarkannya semula.
  5. Mengusap seluruh kepala.
  6. Mengusap dua telinga, termasuk bahagian luar dan dalam, dengan air yang baru.
  7. Menyela janggut yang lebat, serta menyela jari-jari tangan dan kaki.
  8. Mendahulukan anggota kanan daripada anggota kiri.
  9. Menyucikan setiap anggota wuduk tiga kali.
  10. Berturut-turut. (Lihat Matan Abi Syuja’, hlm. 4)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin. Kami akhiri dengan doa:

اللهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ

Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefahaman di dalam agama serta ajarkanlah kepada kami takwilan-takwilan.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *