Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya bolehkah Dato jelaskan secara ringkas tentang kiraan iddah kerana saya amat keliru? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Hukum-Hukum Iddah
Wanita yang beridah itu terbahagi kepada dua, iaitu:
- Wanita yang beriddah kerana kematian suami.
- Wanita yang beriddah disebabkan selain daripada kematian suami.
Wanita yang beridah kerana kematian suami
- Sekiranya dia hamil, iddahnya adalah sehingga melahirkan anaknya.
- Sekiranya dia tidak hamil, iddahnya selama empat bulan 10 hari.
Wanita yang mengalami idah disebabkan selain daripada kematian suami
- Sekiranya dia hamil, iddahnya sehingga melahirkan anaknya.
- Sekiranya dia tidak hamil dan wanita yang masih mengalami haid, iddahnya selama tiga quru’, iaitu tempoh suci.
- Sekiranya dia adalah wanita kecil ataupun wanita yang tiada lagi haid, iaitu menopaus, iddahnya selama tiga bulan.
- Wanita yang dicerai sebelum disetubuh, tiada iddah padanya.
- Iddah hamba wanita adalah:
- Sekiranya hamil, iddah seperti wanita merdeka, iaitu sehingga melahirkan anaknya.
- Sekiranya dihitung dengan quru’, iddahnya adalah dua quru’.
- Sekiranya dihitung dengan bulan:
- Iddahnya adalah dua bulan lima hari sekiranya kematian suaminya.
- Sekiranya dia dicerai, iddahnya adalah sebulan setengah. Apabila dia menjalani iddah selama dua bulan, itu adalah lebih utama. (Lihat Matan Abi Syuja’, hlm. 35)
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.
Wallahu A’lam