#5457: Tatacara Solat Secara Baring

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimanakah cara solat secara baring? Mohon penjelasan Dato.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Allah SWT berfirman:

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya: “Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu.”

(Surah al-Taghabun: 16)

Ayat ini merupakan ayat nasakh bagi ayat ke-102 surah Ali ‘Imran yang dahulunya syadid dalam melakukan ibadah dan juga taat kepada perintah Allah, maka ayat ini diturunkan sebagai keringanan kepada umat Islam supaya beribadah kepadaNya sesuai dengan kemampuan mereka. [Lihat: Tafsir al-Baghawi; 8/144]. Imam al-Mawardi di dalam tafsirnya, mengatakan bahawa pada ayat ini terdapat tiga sudut makna dan salah satunya ialah kesungguhan kamu (menurut Abu al-‘Aliah). (Lihat Tafsir al-Mawardi, 6/26)

Begitu juga, sabda Nabi SAW:

 صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ

Maksudnya: “Bersolatlah secara berdiri, jika tidak mampu lakukanlah secara duduk dan jika tidak mampu juga lakukanlah secara mengiring.”

Riwayat al-Bukhari (1117)

Syeikh Abdullah al-Bassam berkata: Hadith menunjukkan tahap-tahap solat bagi orang yang sakit yang ditetapkan. Oleh itu, jika dia mampu, dia wajib berdiri kerana itu merupakan salah satu rukun solat yang ditetapkan, walaupun dia bergantung pada tongkat, dinding, atau seumpamanya.

Jika dia tidak dapat berdiri atau sukar untuk berdiri, dia wajib duduk, walaupun dengan bersandar, dan melakukan rukuk serta sujud jika mampu. Jika dia tidak mampu duduk atau sukar untuk duduk, dia solat dalam keadaan berbaring, dengan sisi kanan lebih disukai. Jika dia solat terlentang menghadap kiblat, solat itu sah. Jika dia tidak mampu, dia boleh mengisyaratkan dengan kepala, dan isyarat untuk sujud perlu lebih rendah daripada isyarat untuk rukuk, untuk membezakan di antara kedua-dua rukun tersebut dan kerana sujud lebih rendah daripada rukuk.

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan tatacara solat dalam keadaan baring adalah seperti berikut:

  1. Baring menelentang dengan dada menghadap kearah kiblat.
  2. Takbiratul ihram beserta niat solat.
  3. Membaca al-Fatihah.
  4. Rukuk dilakukan dengan membengkokkan sedikit kepala seperti hendak tunduk.
  5. Iktidal
  6. Sujud dilakukan dengan merendahkan kepala lebih sedikit daripada rukuk bagi membezakan antara rukuk dan sujud.
  7. Membaca tasyahud awal.
  8. Memberi salam (Lihat Matan Abi Syuja’, hlm. 10)

Justeru, jagalah solat dengan sebaik mungkin, kerana ia merupakan suatu ibadat yang pertama yang akan disoal oleh Allah SWT di akhirat kelak.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

 رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

(Surah Ibrahim:40-41)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *