#5456: Darah Wanita: Haid, Nifas, Istihadah dan Tempohnya

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah Dato jelaskan serba sedikit tentang darah wanita dan tempohnya?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Haid, Nifas, dan Istihadah

Terdapat tiga jenis darah yang keluar dari kemaluan wanita, iaitu:

1)    Darah haid

Darah haid ialah darah yang keluar dari kemaluan wanita dalam keadaan sihat, bukan kerana melahirkan anak. Warnanya merah kehitam-hitaman, panas, dan menimbulkan rasa sakit.

Tempoh haid:

Masa haid yang pendek adalah sehari dan semalam. Manakala masa yang lama adalah 15 hari, dan kebiasaannya adalah enam hari ataupun tujuh hari.

Usia perempuan yang paling muda didatangi haid adalah 9 tahun kebiasaanya.

2)    Darah nifas

Darah nifas ialah darah yang keluar selepas melahirkan anak.

Tempoh Nifas:

Tempoh minimum nifas ialah sekelip mata (لَحْظَة). Kadang-kadang ia berterusan hingga beberapa hari dan biasanya hingga 40 hari. Manakala tempoh maksimumnya pula ialah 60 hari. Berdasarkan kajian Imam al-Syafi’i, darah yang keluar melebihi tempoh tersebut adalah darah penyakit. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/82)

3)    Darah istihadah

Darah istihadah ialah darah yang keluar selain pada hari-hari haid dan nifas.

Istihadah ialah apabila darah keluar melepasi tempoh sebanyak-banyak haid (15 hari 15 malam) kemudian bersambung sehingga hari ke-16 atau dikenali wanita mustahadah yang darah haid bercampur istihadah. Apabila situasi ini berlaku, istihadah dapat ditentukan berdasarkan 7 kategori istihadah iaitu mubtadaah ghairu mumaiyizah, mubtadaah mumaiyizah, mu’taadah ghairu mumaiyizah mu’taadah mumaiyizah, mutahayyirah al-mutlaqah,  mutahayyirah al-dzakirah li-waqt al-nasiah li ‘adad  dan mutahayyirah al-dzakirah li ‘adad al-nasiah  li-waqt.

Dalam situasi ini, sekiranya terdapatnya darah dalam tempoh minimum suci 15 hari, maka ia bukan dikira sebagai darah haid dan ia dikira sebagai darah istihadah. (Lihat Matan Abi Syuja’, hlm. 7)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

  رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *