Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah Dato jelaskan secara ringkas tentang kaedah penyembelihan dalam Islam?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
فَكُلُوا مِمَّا ذُكِرَ اسْمُ اللَّهِ عَلَيْهِ إِن كُنتُم بِآيَاتِهِ مُؤْمِنِينَ
Maksudnya: “Maka makanlah daripada (sembelihan haiwan-haiwan halal) yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya, jika betul kamu beriman kepada ayat-ayatNya.”
Surah al-An’am (118)
Haiwan yang dapat disembelih, sembelihannya adalah di antara leher paling atas dan leher paling bawah. Haiwan yang tidak dapat disembelih, sembelihannya adalah dengan melukainya pada tempat yang dapat dilukai.
Sempurnanya penyembelihan dengan empat perkara berikut:
- Memotong halkum, iaitu saluran pernafasan
- Memotong urat mari’, iaitu saluran makanan
- Memotong urat leher kanan
- Memotong urat leher kiri
Manakala, perkara yang memadai dalam penyembelihan ada dua, iaitu:
- Memotong halkum
- Memotong urat mari’ (Lihat Matan Abi Syuja’, hlm. 42)
Gambar: [1] Saluran pernafasan (halkum) [2] Saluran makanan (mari’) [3] Urat darah carotid dan jugular (wadajain)
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Maksudnya: “Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka”
Wallahu a‘lam