#5460: Nafkah kepada Ahli Keluarga

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah wajib bagi kita memberi nafkah kepada ahli keluarga? Mohon pencerahan Dato.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Nafkah kepada Ahli Keluarga

Memberi nafkah kepada dua tonggak keluarga adalah wajib untuk ibu bapa dan anak-anak.

Ibu bapa wajib diberi nafkah dengan dua syarat, iaitu:

  1. Fakir dan lumpuh
  2. Ataupun fakir dan gila

Anak-anak wajib diberi nafkah dengan tiga syarat berikut:

  1. Fakir dan masih kecil
  2. Ataupun fakir dan cacat
  3. Ataupun fakir dan gila

Menafkahi hamba dan haiwan adalah wajib dan tidak boleh membebani mereka dengan pekerjaan yang mereka tidak mampu.

Menafkahi isteri yang menyerahkan dirinya adalah wajib. Pemberian nafkah isteri ditentukan seperti berikut:

  • Sekiranya suaminya adalah orang kaya, nafkahnya adalah dua mud makanan asasi yang umum untuk isteri, dan wajib memberikan makanan dan pakaian yang sesuai dengan kebiasaannya.
  • Sekiranya suaminya adalah orang miskin, nafkahnya adalah satu mud makanan asasi yang umum di daerahnya. Makanan yang dijadikan lauk untuk orang yang tidak mampu dan pakaian yang biasa dipakai oleh mereka.
  • Sekiranya suaminya adalah orang sederhana, nafkahnya adalah satu dan setengah mud makanan asası, lauk, dan pakaian yang sederhana.
  • Sekiranya suami tidak mampu memberikan nafkah, isteri berhak meminta fasakh, iaitu pembatalan akad nikah. Demikian juga, sekiranya suami tidak mampu membayar mas kahwin sebelum menyetubuhinya. (Lihat Matan Abi Syuja’, hlm. 36)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.

Wallahu A’lam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *