Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Berapakah jenis ijmak dan penjelasan tentangnya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Definisi al-Ijma’
Imam al-Ghazali Rahimahullah mentakrifkan ijma’ sebagai: Persepakatan umat Muhammad S.A.W ke atas suatu perkara dari perkara-perkara agama. (Lihat Syarah Mukhtasar Ibn Hajib, 1/520).
Manakala, Imam al-Thusi pula mendefinisikan Ijma’ ialah persepakatan para mujtahid pada suatu zaman dari kalangan umat ini di dalam perkara agama. (Lihat Syarah Mukhtasar al-Raudhah, 3/5).
Begitu juga, Imam al-Zarkasyi Rahimahullah mengatakan: Ijma’ itu ialah kesepakatan para mujtahid umat Muhammad S.A.W setelah kewafatan baginda pada sesuatu kejadian di atas suatu perkara dari perkara-perkara di dalam satu-satu zaman. (Lihat Bahrul Muhith, 6/379-380).
Pembahagian al-Ijma’
Ijmak terbahagi kepada dua iaitu:
Ijma’ Sarih: Kesepakatan para mujtahid atas satu-satu hukum yang berlaku dengan setiap di kalangan mereka mengemukakan pendapat secara terang-terangan tentang hukum tersebut.
Kami nukilkan di sini pendapat Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam kitab al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, yang menyebut contoh ijma’ dari kebanyakan bab seperti kenyataan Ibn Hazm antara lain menganggap dalam bab faraid terdapat 110 ijma’. Adapun bab yang lain seperti berikut:
- Kitab Taharah. Mereka bersepakat bahawa air yang tenang jika banyak apabila digerakkan dengan jari pada tengahnya, maka sebelah tepinya tidak bergelombang, maka dia tidak dinajiskan oleh sesuatu.
- Kitab Solat: Mereka bersepakat bahawa solat lima waktu adalah fardu.
- Kitab Jenazah: Mereka bersepakat bahawa mengebumikan mayat orang Islam adalah wajib.
Kitab Zakat: Mereka bersepakat bahawa sesiapa yang menunaikannya dengan suruhan pemerintah, maka dia dianggap telah menunaikannya. (Lihat kitab al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 1/574)
Ijma’ Sukuti: laitu sebahagian para mujtahid mengemukakan pandangan dalam sesuatu isu dan dikaji oleh sebahagian Ahlul Halli wa al-‘Aqdi sedangkan mereka diam daripada mengingkarinya.
Contoh ijma’ sukuti yang paling terkenal adalah keputusan undang-undang yang diberlakukan oleh Amirul Mukminin Umar bin Khattab yang menghukum peminum arak dengan 80 kali sebatan. Asalnya, dalam hadis disebutkan bahawa hukuman bagi peminum arak adalah 40 kali sebatan. Umar menambahkan hukuman tersebut dua kali ganda dengan alasan bahawa 40 kali sebatan adalah hukuman bagi minuman arak dan 40 kali sebatan adalah hukuman kerana peminum arak pasti melakukan tindakan yang mengganggu masyarakat kerana mereka mabuk.
Keputusan undang-undang ini adalah pendapat sendiri Umar yang kemudian dipersetujui oleh para Sahabat lain secara diam-diam. Diamnya para sahabat di sini menunjukkan persetujuan mereka, kerana jika mereka tidak bersetuju, pasti mereka akan mengemukakan bantahan kepada Umar, mengambil kira bahawa para Sahabat pasti tidak akan berdiam diri jika ada perkara yang tidak benar berlaku di hadapan mereka.
Penutup
Justeru, dapat kita fahami bahawa al-Ijma’ merupakan sumber rujukan ketiga daripada sumber- sumber hukum. Apabila tidak terdapat sesuatu hukum di dalam al-Quran dan al-Sunnah, maka hendaklah diselidiki sama ada perkara tersebut telah disepakati oleh para ulama atau pun tidak. Sekiranya telah disepakati, ia merupakan ijma’ ulama yang mesti diterima dan diamalkan.
Akhir kalam, Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”