#5478: Rukun-Rukun Qiyas (Hasanain)

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Berapakah rukun Qiyas dan boleh Dato nyatakan sedikit contoh?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi al-Qiyas

Definisi al-Qiyas dari sudut istilah sebagaimana yang disebutkan oleh para usuliyyuun adalah: Menghubungkan apa-apa yang tidak warid padanya nas atas hukumnya dengan apa-apa yang telah warid ke atasnya nas hukum disebabkan persamaan illah di antara keduanya. (Lihat Syarah al-Waraqat Fil Usul, hlm. 197-198)

Rukun Qiyas

Rukun Qiyas ini boleh dibahagikan kepada empat bahagian:

  1. ‘Asal’ yang menjadi asas untuk diqiaskan.
  2. Furu’ iaitu perkara baru yang diqiaskan.
  3. Hukum asal yang dinaskan.
  4. ‘Illah iaitu sebab yang menyamakan hukum antara asal dan furu’.

Contoh al-Qias:

Allah SWT mengharamkan arak sebagaimana yang telah dinaskan dalam al-Quran. ‘Illah arak diharamkan kerana ia memabukkan dan boleh menghilangkan akal. Apabila didapati mana-mana minuman yang namanya bukan arak tetapi memabukkan, maka hendaklah dihukumkan haram. Ini kerana ia diqiaskan dengan arak. Sebab illah pengharaman arak terdapat pada minuman tersebut. Oleh itu ia dihukum haram sebagaimana hukum minum arak.

Justeru, dapat kita fahami bahawa al-Qiyas ini merupakan sumber hukum yang disepakati yang keempat selepas al-Ijma’. Qiyas ini secara umumnya diaplikasikan apabila terdapat isu-isu yang baru yang tidak terdapatnya dalil sama ada dari al-Quran ataupun hadith. Maka, ketika itu disamakan dari sudut illah sepertimana contoh di atas.

Akhir kalam, Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *