#5477: Faedah Mempelajari Sirah Nabi SAW

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah faedah mempelajari sirah Nabi Muhammad SAW?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Beriman kepada rasul adalah suatu tuntutan syarak dan menjadi salah satu daripada rukun-rukun iman yang enam. Beriman dengan para nabi dan rasul membawa maksud beriman dengan rasul yang Allah SWT sebutkan nama mereka dalam al-Quran. Hikmah perutusan rasul ini adalah untuk menyempurnakan panduan yang diperlukan oleh manusia bagi menyusun sistem hidup mereka dan menjamin kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. (Lihat al-‘Aqidah al-Islamiyyah wa Mazahibuha,hlm.  444-448).

Syeikh Muhammad Said Ramadhan al-Buti menjelaskan bahawa tujuan atau objektif mempelajari sirah Nabi SAW terbahagi kepada beberapa bahagian:

  • Memahami peribadi Nabi Muhammad SAW menerusi kehidupan dan suasana hidup Baginda sendiri. Ini adalah untuk menentukan Muhammad SAW itu bukan sebagai manusia pintar tetapi ianya adalah pesuruh Allah SWT yang menerima wahyu dan taufiq dari-Nya.
  • Supaya manusia seluruhnya dapat meniru dan mengikut suatu contoh yang unggul dalam segenap lapangan hidup yang harmoni, dan dari itu juga ia dapat dijadikan sebagai dasar-dasar hidupnya.
  • Andaikata manusia ingin mencari suatu contoh terbaik bersifat universal, mereka akan mendapati kesemuanya di dalam kehidupan Muhammad SAW. Maka tidak hairanlah mengapa Allah SWT menjadikan Muhammad SAW itu sebagai contoh kepada umat manusia. • Lantaran itu, Allah SWT menegaskan dalam kitab suci- Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari Kiamat dan dia banyak menyebut Allah.”
  • Kupasan tentang kehidupan Nabi Muhammad SAW boleh menolong manusia memahami dan mengecapi isi kandungan al-Quran lantaran banyaknya ayat-ayat al-Quran yang dihurai dan ditafsirkan oleh kejadian dan peristiwa-peristiwa sejarah hidup Nabi Muhammad SAW.
  • Agar setiap muslim dapat mengumpulkan seberapa banyak perbendaharaan kebudayaan dan pengetahuan Islam yang sebenar, sama ada pengetahuan bersangkutan dengan aqidah kepercayaan, hukum hakam dalam Islam atau tatasusilanya.
  • Lebih tegas lagi kehidupan Rasulullah SAW adalah satu gambaran dengan dimensinya yang jelas bagi prinsip dan hukum-hukum Islam.
  • Membolehkan para pendidik dan pendakwah Islam mencontohi serta mengajar mengikut sistem pendidikan dan pengajaran yang sihat kerana Nabi Muhammad SAW sendiri adalah seorang pendidik, penasihat, guru dan petunjuk yang utama, tidak pernah membuang masa begitu sahaja malah sentiasa mencari dan menyiasat jalan-jalan dan sistem-sistem pengajaran yang terbaik semasa Baginda SAW berdakwah. Antara faktor yang menjadikan sejarah Nabi Muhammad SAW ini mampu dan berupaya untuk sampai ke matlamat- matlamat tadi ialah kerana sejarahnya lengkap meliputi segenap bidang kehidupan sama ada dari segi kemanusiaan mahupun kemasyarakatan. Sama ada ianya sebagai seorang individu yang bebas dan faham pembawaannya atau sebagai seorang anggota masyarakat yang cergas dan terpengaruh oleh unsur-unsur yang terdapat di dalam masyarakatnya.

Suka kami kongsikan, kami juga telah menerbitkan sebuah buku bertajuk, “Garis Masa Hayat Al-Rasul SAW.” Di dalam buku ini diceritakan dari awal kelahiran Nabi Muhammad SAW hingga wafatnya baginda. Keunikan buku ini adalah ia dijelaskan dengan cara timeline di atas dan penerangan di bawah beserta gambar dan sumber rujukan. Maka, buku ini sesuai untuk dibaca untuk semua lapisan Masyarakat agar lebih mengenali baginda SAW. Bak kata pepatah,” Tak kenal, Maka tak cinta.”

Maka, untuk maklumat lanjut berkenaan buku, “Garis Masa Hayat Al-Rasul SAW”, anda boleh rujuk link kami di bawah:

https://pck.onpay.my/order/form/Garismasabaru/188

Akhir kalam, cinta kepada Rasulullah SAW hendaklah disemai dan dibajai dengan cinta kepada Sunnah atau risalah yang ditinggalkan oleh Nabi SAW, bukan sekadar cinta kepada jasad dan keturunan Baginda.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *