#5476: Status Talak: “Kalau Awak Tak Bagitahu Saya Perkara Sebenar sebelum Pukul 12, Awak Jatuh Talak Satu”

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Tahun lepas seorang kawan telah bergaduh dengan suaminya, maka suami pun mengatakan bahawa jika sampai pukul 12, isteri tidak memberitahu perkara yang ingin diketahuinya maka jatuhlah talaq. Ini diikuti pula dengan e-mail oleh si suami kepada kawan-kawannya mengatakan bahawa jatuhlah talaq ke atas isterinya setelah pukul 12. Tetapi sampai sekarang mereka masih hidup sebagai suami  isteri sama seperti pasangan yang lain. Kemusykilannya adakah jatuh talaq kerana kawan-kawan menjadi saksi melalui e-mail suaminya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Talak Ta’liq

Pada asasnya, talak boleh dilakukan secara langsung atau dengan ta‘liq. Talak Ta‘liq bermaksud suami menggantungkan jatuh  isterinya dengan terjadi sesuatu sifat atau syarat yang dikaitkan dengan isteri atau orang lain.

Contohnya, suami menggantungkan jatuh talak isterinya dengan kedatangan seseorang atau dengan perbuatan tertentu yang dilakukan oleh isterinya, atau orang lain.

Contoh talak yang dikaitkan dengan sifat ialah suami berkata kepada isterinya: “Kamu tercerai kerana ayahmu datang” atau “kamu tercerai dalam bulan Ramadhan.”Sehubungan dengan itu, apabila ayahnya datang atau masuk bulan Ramadhan, jatuhlah talak.

Contoh yang dikaitkan dengan syarat ialah suami berkata kepada isterinya: “Kamu tercerai jika keluar dari rumah ini” atau “kamu tercerai jika saudara lelakimu masuk ke dalam rumah ini.” Oleh yang demikian, apabila isteri itu keluar dari rumah atau saudara lelakinya masuk ke dalam rumahnya, maka jatuhlah talak.

Hal ini berdasarkan hadith, Rasulullah SAW bersabda:

الـمُسْلِمُوْنَ عِنْدَ شُرُوْطِهِمْ

Maksudnya: “Orang Islam terikat dengan syarat-syarat yang mereka tetapkan.

Riwayat al-Hakim (2/49)

Kesan daripada Talak Ta‘liq

Talak ta‘liq akan menyebabkan perkara-perkara berikut:

  • Tidak jatuh selagi sesuatu yang disyaratkan belum berlaku.
  • Kehidupan berumah tangga masih kekal dengan segala hukum dan kewajipan selagi syarat yang dikaitkan dengan talak belum terjadi walaupun ia pasti berlaku. Contohnya, suami berkata: “Apabila tiba bulan Ramadhan engkau tercerai.
  • Talak jatuh sebaik-baik sahaja syarat yang berkaitan itu berlaku. Suami tidak perlu melafazkan talak yang baru.

 

Kesimpulan

Justeru, menjawab persoalan di atas, kami nyatakan lafaz yang disebutkan si suami adalah lafaz ta’liq, maka setelah jam menunjukkan pukul 12, ketika itu jatuhlah talak satu. Bahkan, jika dia hanya niat bergurau juga, maka talak tetap jatuh kerana perkara talak tidak boleh dibuat main.

Walau bagaimanapun, kami berpandangan supaya merujuk kepada  mahkamah syariah dan membuat permohonan pengesahan lafaz talak kerana kaedah menyebut :

حُكْمُ الْحـَاكِمِ يَرْفَعُ الخِلَافَ

Maksudnya: “Keputusan hakim (yakni pemerintah) mengangkat khilaf.”

Akhir kalam, semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman yang tepat kepada kita dalam melaksanakan setiap titah perintah-Nya. Amin.

Kami menutup dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *