#5475: Tawaf Ifadhah bagi Perempuan Haid

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Perlukah perempuan haid melakukan tawaf Ifadhah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Tawaf ifadhah adalah di antara rukun-rukun haji sebagaimana firman Allah SWT:

وَلْيَطَّوَّفُوا بِالْبَيْتِ الْعَتِيقِ

Maksudnya: “Dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu.

(Surah al-Hajj: 29)

Di antara syarat sah tawaf tersebut, seseorang itu hendaklah menyempurnakan tawafnya sebanyak tujuh kali pusingan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/141).

Tawaf Perempuan yang Didatangi Haid

Majoriti ulama sama ada ulama terdahulu mahupun terkemudian meletakkan syarat bagi perempuan yang sedang haid dan nifas untuk suci terlebih dahulu sebelum mengerjakan ibadah tawaf. Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat al-Qasim bin Muhammad yang mengatakan bahawa beliau mendengar Aisyah R.Anha berkata:

خَرَجْنَا لاَ نَرَى إِلَّا الحَجَّ، فَلَمَّا كُنَّا بِسَرِفَ حِضْتُ، فَدَخَلَ عَلَيَّ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَنَا أَبْكِي، قَالَ: مَا لَكِ أَنُفِسْتِ؟ قُلْتُ: نَعَمْ، قَالَ: إِنَّ هَذَا أَمْرٌ كَتَبَهُ اللهُ عَلَى بَنَاتِ آدَمَ، فَاقْضِي مَا يَقْضِي الحَاجُّ، غَيْرَ أَنْ لاَ تَطُوفِي بِالْبَيْتِ

Maksudnya: “Kami keluar tanpa memikirkan kecuali untuk mengerjakan haji. Apabila kami berada di Sarif, aku kedatangan haid. Rasulullah SAW masuk menemuiku ketika aku sedang menangis. Baginda bertanya: “Kenapa dengan kamu, adakah kamu telah kedatangan haid?” Aku menjawab: “Ya.” Nabi SAW bersabda: “Ini adalah suatu perkara yang telah ditentukan oleh Allah kepada wanita-wanita dalam kalangan anak-anak Adam. Lakukan sepertimana orang-orang haji tunaikan, cuma kamu jangan bertawaf di Baitullah.”

 Riwayat al-Bukhari (294)

Menurut Ibn Hajar al-‘Asqalani, hadith di atas menunjukkan larangan perempuan haid melakukan tawaf sehingga darahnya terhenti dan melakukan mandi wajib. Hal ini kerana suatu larangan dalam melakukan perkara ibadat menunjukkan rosaknya ibadat yang dilakukan itu. Dalam erti kata lain, tawaf dilakukan oleh perempuan haid terbatal (Lihat Fath al-Bari, 3/505).

Kesimpulan

Justeru, menjawab persoalan di atas, kami nyatakan tawaf Ifadhah adalah rukun haji yang wajib ditunaikan oleh semua orang yang melakukan haji, termasuk perempuan yang berhaid.

Walau bagaimanapun, jika sekiranya waktu sucinya itu datang lewat, dan dalam masa yang sama, jika dia menunggu sehingga suci akan menyebabkan dia terlepas rombongan pulang atau tiket penerbangannya hangus, maka dibolehkan baginya untuk melakukan ibadah tawaf dengan bertaqlid kepada pendapat ulama mazhab Hanafi dan dia dikenakan dam seekor unta.

Ataupun dia boleh menggunakan pendapat lain dalam mazhab Syafi‘i iaitu fatrah al-Naqa’ (yakni tempoh rahim bersih daripada darah) dianggap sebagai waktu suci. Justeru, ibadah solat, tawaf dan seumpamanya yang dilaksanakannya pada tempoh tersebut dikira sebagai sah. Perkara ini kami telah bahaskan secara panjang lebar dalam Ahkam Syar‘iyyah Siri ke-171.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen. Wallahua‘lam.

 Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *