#5498: Solat Sunat Sebelum Asar

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum solat sunat sebelum asar?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Daripada Ibnu Umar RA katanya, bahawa Nabi SAW bersabda:

رَحِمَ اللهُ امْرَءًا صَلَّى قَبْلَ العَصْرِ أَرْبَعًا

Maksudnya: “Semoga Allah merahmati seseorang yang bersolat empat rakaat sebelum solat fardhu Asar.”

Riwayat Abu Daud (no: 1273), al-Tirmizi (no: 430), dan katanya, “Hadis hasan gharib”, al-Baihaqi (no: 4267), dan Ibnu Hibban (no: 2453)

Begitu juga, daripada Ali RA katanya:

كَانَ النَّبِي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمْ صَلَّى قَبْلَ الْعَصْرِ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ يَفْصِلُ بَيْنَهُنَّ بِالتَّسْلِيمِ

Maksudnya: “Adalah menjadi rutin bahawa Nabi SAW solat sunat sebelum solat fardhu Asar sebanyak empat rakaat dan memisahkan antaranya dengan salam.”

Riwayat al-Tirmizi (no: 429). Katanya, “Hadis hasan”.

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan disunatkan untuk melaksanakan solat sunat sebelum Asar sebanyak 2 atau 4 rakaat sebelum solat fardhu Asar. Walaupun begitu, ia termasuk dalam sunat-sunat yang bukan sunat-sunat mu’akkad.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Surah Ibrahim (40-41)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *