#5497: Status Jamak Qasar: Mempunyai Dua Rumah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Mak saya dalam proses ingin jadikan rumah di kampung sebagai homestay. Cuma mungkin 5 bulan ke setahun lagi baru mula buat homestay. Sementara ini rumah tersebut menjadi tempat emak saya menginap jika balik kampung sambil-sambil mengemas untuk persiapan homestay. Adakah dalam tempoh proses persediaan homestay ni emak saya boleh jamak qasar? Atau hanya bila homestay sudah mula berjalan baru emak saya boleh jamak qasar?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Solat jamak dan qasar adalah merupakan rukhsah yang diberikan oleh Allah SWT. Ia merupakan kemudahan yang dianugerahkan kepada umat Islam agar mereka boleh menunaikan ibadat solat di mana sahaja mereka berada. Perkara ini dinyatakan oleh Allah SWT di dalam firmannya:

وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ

Maksudnya: “Dan jika kamu bermusafir di muka bumi ini, maka tidak berdosa ke atas kamu untuk memendekkan solat (solat empat rakaat dijadikan kepada dua rakaat).”

(Surah al-Nisa’:101)

Syarat-syarat yang perlu dipenuhi untuk melakukan solat jamak dan qasar. Antara syarat-syarat tersebut:

  • Mestilah berada dalam keadaan bermusafir, iaitu perjalanan ke destinasi yang sekurang-kurangnya dua marhalah, iaitu sekitar 81 km. Kadar 2 marhalah ini yang ditetapkan berdasarkan taqribi (lebih kurang/anggaran) bukan tahdidi (tepat).
  • Perjalanan musafir tersebut telah melepasi sempadan mukim seperti kawasan kampung, taman perumahan atau daerah mengikut uruf setempat.
  • Dia tidak mengikuti imam yang menunaikan solat sempurna empat rakaat jika dia ingin mengqasarkan solat.
  • Dia tidak berniat menetap selama empat hari atau lebih di tempat yang dituju, selain hari mula dia sampai dan hari dia akan keluar dari destinasi. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/186)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan dalam isu ini ia bergantung kepada beberapa keadaan seperti mana syarat-syarat yang telah dijelaskan di atas. Oleh itu, sekiranya rumah kedua tersebut menjadi rumah yang ibu anda bermastautin, maka tidak boleh untuknya jamak qasar di rumah tersebut. Akan tetapi, jika rumah kedua tersebut hanya rumah persinggahan maka, dibolehkan untuk jamak qasar di sana.

Selain itu, perjalanan juga mesti melebihi 2 marhalah yakni dalam anggaran 81 km. Sekiranya tidak sampai, maka tidak boleh melakukan jamak qasar. Begitu juga, tidak boleh untuk jamak qasar sekiranya ibu anda menetap di situ, melebihi 3 hari 3 malam (tidak termasuk hari sampai dan hari pulang). Namun, sekiranya dia hanya menetap 3 hari 3 malam sahaja, maka tidak menjadi masalah untuk melaksanakan jamak qasar tersebut.

Justeru itu, dalam isu ini ia melibatkan beberapa perkara seperti 2 marhalah perjalanan, tidak melebihi 3 hari 3 malam di rumah kedua, rumah kedua tersebut bukan rumah dia bermastautin. Sekiranya ia sudah menetap di situ melebihi 3 hari 3 malam, maka dia sudah dikira bermastautin di situ dan tidak boleh untuknya jamak solat.¡

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *