Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh jelaskan, apa hakikat dan makna yang sebenar di sebalik peristiwa Isra’ dan Mi’raj?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

Maksudnya: “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram (di Makkah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

 (Surah al-Isra’: 1)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan kenyataan ‘Allamah Abu al-Hasan ‘Ali al-Nadwi berkata: Peristiwa Isra’ bukanlah semata-mata peristiwa peribadi yang ringkas sekadar Rasulullah SAW melihat ayat-ayat yang besar dan bertajallinya kerajaan langit dan bumi secara musyahadah tetapi sebenarnya jauh daripada itu. Ia mengandungi rehlah nabawiyah yang mempunyai makna mendalam lagi seni yang banyak. Isyarat kemuliaan amat jauh.

Peristiwa Isra’ telah dikemukakan melalui dua surah: Surah Isra’ dan Surah al-Najm. Di mana Muhammad SAW adalah nabi dua kiblat, imam timur dan barat, pewaris nabi sebelumnya, pemimpin generasi selepasnya. Sahsiah Baginda SAW bertemu dalam peristiwa Isra’nya Makkah dengan Baitul Maqdis, Masjidil Haram dengan Masjidil Aqsa, di mana para nabi solat di belakangnya. Hal ini sebagai pemberitahuan dengan umum risalahnya, kepimpinannya, kemanusiaan dan ilmunya.

Ini juga menunjukkan kesesuaian syariatnya di sepanjang zaman dan tempat, di samping itu surah yang mulia ini dengan jelas menunjukkan sahsiah nabi, sifat kepimpinannya dan ditentukan kedudukan ummah yang dibangkitkannya merentasi seluruh dunia, bangsa dan umat manusia.

Isra’ datang sebagai garis pemisah antara kesempitan tempat yang terhad dengan sahsiah Nabawiyah yang bersifat kekal dan universal atau ‘alamin. Jika Rasulullah SAW sebagai pemimpin umat atau tempat, sudah pasti tiada keperluan untuk Isra’ dan Mi’raj. Begitu juga tiada keperluan untuk berkelana pada alam malakut. Samalah juga tiada perlu hubungan antara bumi dan langit dengan cara yang baru kerana di bumi tempat dia hidup di sekelilingnya tempat dia mencari rezeki dan dalam masyarakatnya dia segera untuk menyenangkan dan membahagiakan kehidupan ini. Justeru, tidak perlu berfikir lebih daripada itu sementelahan ke langit yang tinggi, sidratul muntaha, masjidil Aqsa yang jauh dari negerinya dan juga sudah berada dalam agama masihi.

Peristiwa Isra’ datang untuk mengiklankan Muhammad SAW bukan termasuk dalam barisan kepimpinan yang tidak melampau kurniaan kehebatan mereka di kalangan rakyat dan negeri. Dan tidak pasti membawa kebahagiaan kecuali masyarakat yang melahirkannya, suasana yang menumbuhkannya. Itulah dia nabi berhimpun dari kalangan para nabi dan rasul yang sama-sama membawa ajaran khaliq kepada makhluk dan berbahagialah keinsanan walaupun berlainan bangsa, darjat kedudukan dan generasi.

Kami akhiri dengan doa:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”

Leave a Reply