Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apa hikmahnya, Nabi SAW dipertemukan dengan Nab-Nabi tertentu di setiap langit?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Al-Suyuti menyatakan bahawa para ulama berbeza pendapat dalam menentukan hikmah pertemuan Nabi SAW dengan setiap nabi di langit-langit tertentu. Malah, ada juga yang berpendapat, tidak ada hikmah (tertentu) dalam perkara tersebut, melainkan mereka hanya diperintahkan untuk menemui Nabi SAW. Maka, ada dalam kalangan mereka yang mendahului, dan ada juga dalam kalangan mereka yang terkemudian.

Antara hikmah yang disebutkan ialah:

  • Ada yang berpendapat, ia adalah sebagai isyarat bagi menunjukkan kelebihan kedudukan dan darjat-darjat mereka.
  • Ada juga yang berpendapat, ia adalah sebagai isyarat kepada apa yang akan berlaku ke atas Baginda SAW bersama kaumnya, serupa dengan apa yang sudah berlaku kepada setiap daripada mereka (yakni para nabi tersebut).
    • Adapun Adam, terdapatnya peringatan berkenaan apa yang sudah berlaku kepadanya iaitu keluar dari syurga ke bumi. Maka seolah-olah terdapatnya juga peringatan berkenaan apa yang akan berlaku kepada Nabi SAW iaitu peristiwa hijrah ke Madinah. Begitu juga kedua-duanya adalah sama dari segi apa yang berlaku atau menimpa kepada mereka iaitu menghadapi kesusahan (masyaqqah) dan kebencian untuk berpisah dari tanah air. Kemudian akhirnya setiap daripada mereka akan kembali semula ke tanah airnya, yang dahulunya mereka pernah diusir darinya.

Kami katakan, ada pendapat menunjukkan bahawa kedudukan Nabi Adam di langit yang pertama yang mula-mula ditemui Rasulullah SAW sebagai menghubungkan sifat bunuwwah (anak) kepada ubuwwah (bapa), untuk mengingatkan asal usul manusia kepada Nabi Adam.

Ibn Abi Jamrah menyebutkan, hikmah di sebalik Nabi Adam AS menjadi nabi yang pertama ditemui oleh Baginda SAW kerana Nabi Adam AS ialah nabi yang pertama daripada kalangan para nabi dan bapa yang pertama daripada kalangan manusia. Hal ini kerana dia adalah asal (asal usul kejadian manusia). (Lihat al-Ayatu al-Kubra fi Syarh Qissah al-Isra’, hlm. 61).

    • Nabi Isa dan Yahya sebagai gambaran betapa permulaan awal hijrah Baginda SAW bertembung dengan permusuhan Yahudi dan keinginan mereka untuk berbuat jahat kepadanya.

Kami katakan juga, ia menggambarkan bahawa Nabi Isa dan Yahya adalah rasul yang terakhir sebelum dibangkitkan Rasulullah SAW, dari segi kedekatan zamannya. Di samping itu, Nabi Isa membawa berita gembira berkenaan kedatangan Nabi Muhammad SAW sebagaimana firman Allah SWT:

وَمُبَشِّرًا بِرَسُولٍ يَأْتِي مِن بَعْدِي اسْمُهُ أَحْمَدُ ۖ

Maksudnya:  “Dan memberikan berita gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku – bernama: Ahmad.”

(Surah al-Saff: 6)

Begitu juga, mengikut i’tikad Ahli Sunnah wal Jama’ah bahawa Nabi Isa AS akan kembali ke muka bumi untuk membunuh Dajjal di samping mengikut ajaran Nabi Muhammad SAW.

Menurut Ibn Abi Jamrah, katanya: Kemudian Baginda SAW bertemu dengan Nabi Isa AS di langit kedua kerana dia ialah nabi yang paling dekat dengan zaman Nabi Muhammad SAW. (Lihat al-Ayatu al-Kubra fi Syarh Qissah al-Isra’, hlm. 61).

    • Manakala Nabi Yusuf pula, sebagai gambaran apa yang berlaku kepada Baginda SAW daripada perbuatan saudara-saudaranya daripada kalangan Quraisy, yang memeranginya dan menginginkan kebinasaan buat dirinya. Itulah akibat yang terpaksa ditanggung oleh Baginda SAW (kerana dakwah yang disampaikan). Perkara itu dapat dilihat melalui perkataannya kepada kaum Quraisy pada hari pembukaan kota Makkah:

أَقُولُ كَمَا قَالَ أَخِي يُوسُفُ {لَا تَثْرِيبَ عَلَيْكُمُ اليَوْمَ}

Maksudnya:Aku katakan sebagaimana saudaraku Yusuf pernah berkata: ‘Kamu pada hari ini tidak akan ditempelak atau disalahkan (tentang perbuatan kamu yang telah terlanjur itu).’

Antara kelebihan Nabi Yusuf, diberi keilmuan dalam menta’bir mimpi sebagaimana Rasulullah SAW juga dikurniakan Allah untuk menta’bir mimpi.

Ibn Abi Jamrah berkata: Seterusnya Baginda SAW bertemu pula dengan Nabi Yusuf AS kerana umat Nabi Muhammad SAW akan memasuki syurga mengikut rupa parasnya. (Lihat al-Ayatu al-Kubra fi Syarh Qissah al-Isra’, hlm. 62).

    • Nabi Idris sebagai gambaran kedudukannya yang tinggi di sisi Allah SWT. Firman Allah SWT:

وَرَفَعْنَاهُ مَكَانًا عَلِيًّا

Maksudnya: “Dan Kami telah mengangkatnya ke tempat yang tinggi darjatnya.”

 (Surah Maryam: 57)

Begitu juga yang terjadi kepada Nabi kita Muhammad SAW bila mana janji Allah untuk mengangkatkannya. Firman Allah SWT:

وَرَفَعْنَا لَكَ ذِكْرَكَ

Maksudnya:Dan Kami telah meninggikan bagimu: sebutan namamu (dengan mengurniakan pangkat Nabi dan berbagai kemuliaan)?

(Surah al-Insyirah: 4)

Ibn Abi Jamrah berkata: Kemudian Baginda SAW bertemu pula dengan Nabi Idris AS, dikatakan kerana dia ialah orang pertama yang berperang kerana (menegakkan) agama. Justeru, boleh jadi munasabah (perkaitan atau hubung kait) mengenainya adalah keizinan kepada Nabi SAW untuk berperang (bagi menegakkan agama), dan ditinggikan kedudukannya dengan mi’raj. Selain itu, langit keempat adalah pertengahan daripada tujuh langit dan menunjukkan kedudukan yang adil (terbaik dan sederhana). (Lihat al-Ayatu al-Kubra fi Syarh Qissah al-Isra’, hlm. 62).

    • Nabi Harun sebagai gambaran kaumnya kembali mengasihinya selepas mereka menyakitinya.

Kami katakan, sifat lemah lembutnya itu dalam menghadapi karenah kaumnya, begitulah yang terjadi kepada Rasulullah SAW. Benarlah sabda Rasulullah SAW:

إِنَّمَا أَنَا رَحْمَةٌ مُهْدَاةٌ

Maksudnya: “Aku adalah rahmat yang dihadiahkan.”

Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (100). Syeikh Syu’aib al-Arnaut dalam takhrij Syarh al-Sunnah (13/213) menilainya sebagai sahih.

Ibn Abi Jamrah berkata: Kemudian Nabi Harun AS (berada di langit kelima) disebabkan oleh dekatnya dia dengan saudaranya, Nabi Musa AS. (Lihat al-Ayatu al-Kubra fi Syarh Qissah al-Isra’, hlm. 62).

    • Nabi Musa pula sebagai gambaran apa yang berlaku kepada Baginda SAW berhubung perlakuan atau tindakan kaumnya. Perkara itu dapat dilihat melalui perkataan Baginda SAW:

لَقَدْ أُوذِيَ مُوسَى بِأَكْثَرِ مِن هَذَا فَصَبرَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Musa telah disakiti lebih banyak lagi daripada ini, tetapi Baginda tetap bersabar.

Riwayat al-Bukhari (3150) dan Muslim (1062)

Begitu juga Nabi Musa AS menghadapi firaun, di mana Rasulullah SAW menghadapi pembesar-pembesar Quraisy yang bersekutu menentangnya.

Ibn Abi Jamrah berkata: Kedudukan Nabi Musa AS lebih tinggi daripada Nabi Harun (iaitu di langit keenam) kerana kelebihan berbicara secara langsung kepada Allah (yang diberikan kepadanya). (Lihat al-Ayatu al-Kubra fi Syarh Qissah al-Isra’, hlm. 63).

Ujian yang dihadapi oleh Nabi Allah Musa amatlah banyak. Sejak daripada kecil lagi cubaan untuk dibunuh oleh konco-konco Firaun. Begitulah Rasulullah SAW sejak kecil lagi diuji dengan keyatiman, bahkan datuknya juga meninggal dunia.

    • Nabi Ibrahim yang bersandar kepada Baitul Makmur sebagai gambaran dengan apa akan ditutup atau disudahi pada akhir hayat Baginda SAW iaitu melaksanakan ibadat haji dan membesarkan Baitullah. Hal ini telah dinyatakan oleh al-Suhaili dan dipersetujui oleh Syaikh al-Islam Ibn Hajar.

Selain itu, terdapat juga dalam kalangan ulama yang menyebutkan mengenai munasabah (perkaitan atau hubung kait) pertemuan Nabi Ibrahim di langit ketujuh. Iaitu ia selari dengan perbuatan Nabi SAW memasuki kota Makkah pada tahun ketujuh Hijrah lalu melakukan tawaf di Baitullah, yang mana Baginda tidak berjaya untuk sampai kepadanya (yakni memasuki Makkah) selepas Hijrah pada tahun sebelumnya iaitu tahun keenam Hijrah kerana dihalang daripada memasukinya.

Ibn Abi Jamrah berkata: Nabi Ibrahim AS kerana dia ialah bapa atau nenek terakhir yang dinisbahkan kepada Nabi. Maka sewajarnya diperbaharui buat Nabi SAW dengan bertemunya untuk melahirkan rasa tenang sebagai persediaan selepas itu ke alam yang lain. Selain itu juga kerana kedudukan al-Khalil (Nabi Ibrahim AS) adalah kedudukan yang tinggi, manakala kedudukan al-Habib (Rasulullah SAW) pula adalah lebih tinggi lagi (daripada itu). Maka, oleh sebab itu, diangkat kedudukannya sehingga menjadilah jarak sekadar dua hujung busuran panah, atau lebih dekat lagi. (Lihat al-Ayatu al-Kubra fi Syarh Qissah al-Isra’, hlm. 61-63).

Kami katakan, Rasulullah SAW dalam beberapa riwayat dapat menyifatkan sebahagian para nabi sebagai tanda jelas yang Baginda melihatnya dan bertemu dengannya. Antaranya:

  • Nabi Ibrahim AS – Nabi sifatkannya seperti dirinya dari segi rupa paras
  • Nabi Musa AS – Nabi sifatkannya seperti lelaki Bani Syanudah (kaum Yahudi), yang baru keluar dari bilik mandi.
  • Nabi Isa AS – Nabi sifatkannya seperti ‘Urwah bin Mas‘ud al-Thaqafi.[1]

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

 

Nota hujung:

[1] Ketika dalam perjalanan melaksanakan ibadah umrah dalam peristiwa Perjanjian Hudaibiyah, Urwah bin Mas’ud al-Thaqafi  telah dihantar oleh pihak Quraisy sebagai utusan untuk berunding dengan rombongan Rasulullah SAW.

Urwah bin Mas’ud berasal dari Taif dan beliau telah dilantik sebagai utusan kaum kafir Quraisy untuk mencegah rombongan Rasulullah SAW daripada melaksanakan ibadah umrah dalam peristiwa Perjanjian Hudaibiyah.

Ketika Rasulullah SAW memerintahkan rombongannya untuk beristirahat di Thaniyyatu al-Marar, datanglah Urwah bin Mas’ud lalu duduk di hadapan Baginda dan berkata, “Ya Muhammad, kamu mengumpulkan semua suku sebagai umatmu. Kamu datang kepada suku Quraisy untuk menakut-nakutkan mereka. Suku yang banyak melahirkan pemimpin yang gagah berani. Mereka bersumpah atas nama Allah, agar tidak sejengkal pun yang dapat dimasuki. Demi Allah, mungkin besok kami akan mengizinkanmu untuk memasuki tanah kelahiranmu.”

Seperti kebiasaan bangsa Arab, Urwah berbicara dengan Rasulullah SAW sambil berusaha menggapai janggut beliau. Namun perbuatannya itu telah dihalang oleh al-Mughirah sambil berkata, “Lepaskan tanganmu dari Rasulullah. Jika tidak, tanganmu akan ku potong dan tidak akan ada lagi.”

Rasulullah SAW hanya tersenyum. Kemudian Urwah bertanya, “Siapa dia ini, ya Muhammad?” Rasulullah SAW menjawab, “Ini adalah putera saudaramu, al-Mughirah bin Syu’bah.”

Urwah berkata, “Gurau apakah ini Muhammad? Bukankah aku telah membelamu atas pengkhianatanmu itu?” ujar Urwah merujuk kepada tragedi pembunuhan yang dilakukan al-Mughirah di Busaq. ‘Urwah adalah bapa saudara al-Mughirah yang turut membelanya atas tragedi tersebut.

Rasulullah SAW kemudian menjawab, “Aku telah menerima keislamannya. Begitu juga akan menyelesaikan urusan harta yang kau bicarakan itu.” Mendengar pembelaan Rasulullah SAW tersebut, Urwah pun berhenti mengadili Al-Mughirah.

Urwah lantas menyaksikan betapa setianya para sahabat kepada baginda. Jika Rasulullah berwuduk, mereka segera ikut berwuduk. Ketika Rasulullah SAW meludah, mereka segera membersihkannya. Tidak ada sehelai rambut baginda yang jatuh melainkan mereka pasti memungutnya.

Lalu Urwah pun kembali kepada kaum Quraisy lalu berkata, “Wahai orang-orang Quraisy, sesungguhnya aku telah berkunjung kepada Kisra, Parsi, dan al-Najasyi di istana-istana mereka, tapi tak kudapati seorang raja pun yang sayangnya melebihi sayangnya Muhammad terhadap pengikutnya, sehingga pengikutnya menyerahkan apa saja yang diminta olehnya. Buanglah prasangka buruk kamu semua.”

Urwah menyebut demikian kerana kaum kafir Quraisy menyangka kedatangan Rasulullah SAW adalah untuk berperang, tetapi setelah melihat bagaimana para sahabat melayan Nabi SAW, dia tahu Baginda SAW adalah seorang yang berakhlak mulia. Urwah telah menyaksikan betapa hormat dan setianya para sahabat terhadap Nabi SAW. Kata Urwah:

“Demi Allah, tidaklah Rasulullah SAW membuang ludah kecuali jatuh pada telapak tangan salah seorang di antara mereka, maka ia mengusapkannya ke wajah dan kulitnya sendiri. Jika Rasulullah SAW memerintahkan mereka, maka mereka bersegera melakukannya. Jika ia berwuduk, maka mereka hampir-hampir berkelahi kerana berebut bekas air wuduknya. Jika ia berbicara, maka mereka merendahkan suara mereka dan mereka tidak berani menatap wajahnya secara langsung kerana begitu hormat kepadanya.” (Riwayat al-Bukhari, no. 1255)

Leave a Reply