#5502: Tarikh Peristiwa Isra’ dan Mi’raj

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bilakah berlakunya peristiwa Isra’ dan Mi’raj?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami bahagikan perbincangannya kepada dua, iaitu tahun dan bulan:

Pertama: Tahun

Para ulama telah berbeza pendapat berkenaan tahun berlakunya peristiwa Isra’ dan Mi‘raj kepada beberapa pendapat:

  • Ada yang berpendapat, ia berlaku sebelum kenabian (al-Bi‘thah), dan pendapat ini adalah syaz. Menurut al-Suyuti, boleh jadi pendapat ini adalah berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh al-Tabarani. Jelas dinyatakan di dalamnya bahawa ia berlaku sebelum kelahiran Fatimah R.Anha, dan Fatimah R.Anha dilahirkan lebih kurang 7 tahun sebelum kenabian. Akan tetapi hadith tersebut adalah dha‘if dan majoriti ulama berpendapat ia berlaku selepas kenabian.
  • Setahun sebelum Hijrah. Inilah pendapat Ibn Mas‘ud, al-Zuhri, ‘Urwah bin al-Zubair, Ibn Sa‘ad dan Ibn Hazm mendakwa ia adalah ijma‘. Inilah yang ditegaskan oleh Imam al-Nawawi.
  • Berlaku pada tahun Baginda SAW diangkat menjadi nabi. Inilah pendapat al-Tabari.
  • Enam bulan sebelum Hijrah. Inilah pendapat yang dinukilkan oleh Abu al-Rabi‘ bin Salim.
  • Sebelas bulan sebelum Hijrah. Ini merupakan pendapat Ibrahim al-Harbi dan dirajihkan oleh Ibn al-Munir.
  • Lima belas bulan sebelum Hijrah. Inilah pendapat yang dinukilkan oleh Ibn ‘Abd al-Barr.
  • 20 bulan sebelum Hijrah.
  • Dua tahun sebelum Hijrah.
  • Tiga tahun sebelum Hijrah. Inilah yang dinukilkan oleh Ibn al-Athir.
  • Berlaku 27 Rejab tahun kesepuluh kenabian. Inilah pendapat oleh al-‘Allamah al-Mansurfuri.
  • Lima tahun sebelum hijrah. Inilah pendapat al-Zuhri dan dinukilkan daripadanya oleh al-Qadhi ‘Iyadh dan beliau mentarjihkannya dengan sepakat bahawa Khadijah R.Anha pernah solat bersama Nabi SAW selepas difardukan solat. Khadijah R.Anha meninggal dunia tiga atau lima tahun sebelum Hijrah, dan tidak ada khilaf bahawasanya kefardhuan solat pada malam Isra’. Kita dapat menjawab bahawasanya solat yang beliau dirikan bersama Rasulullah SAW pada awal kenabian adalah solat dua rakaat pada waktu pagi dan dua rakaat lagi pada waktu petang.
  • Lima tahun selepas kenabian.
  • Lima belas bulan selepas kenabian.
  • Ada juga yang berpendapat, setahun setengah selepas kenabian.

 

Kedua: Bulan

Berkenaan dengan bulannya pula, ada beberapa pendapat, antaranya:

  • Bulan Rabi’ul Awwal. Syeikh al-Maraghi menyebut: “Peristiwa ini terjadi pada 17 Rabi’ul Awwal, setahun sebelum Hijrah.” Inilah pendapat kebanyakan ahli tahqiq.
  • Bulan Rabi’ul Akhir. Inilah yang ditarjihkan oleh Ibn al-Munir dan pendapat yang ditegaskan oleh Imam al-Nawawi dalam Syarh Muslim.
  • Bulan Rejab. Inilah pendapat yang paling masyhur dalam kalangan orang ramai pada masa ini.

 

Tarjih

Berdasarkan pengamatan para ulama bahawa peristiwa Isra’ dan Mi’raj berlaku pada bulan Rabi’ul Awal sama ada pada 12 Rabi’ul Awal atau 17 Rabi’ul Awal. Hal ini dikuatkan dengan hujah Ibn Kathir dalam kitabnya al-Bidayah wa al-Nihayah berdasarkan athar Jabir dan Ibn Abbas R.Anhum.

Walaupun begitu amalan ramai ulama dan orang ramai yang menyambutnya pada 27 Rejab setiap tahun seperti pendapat al-‘Allamah al-Mansurfuri.

Mereka menamakan bulan Rejab sebagai bulan solat atau bulan penghayatan solat. Kami melihat yang lebih utama mengambil iktibar dan hikmah disebalik peristiwa mukjizat Isra’ dan Mi’raj.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *