Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh ceritakan tentang sifat-sifat Buraq yang dinaiki oleh Rasulullah SAW semasa Isra’ Mi’raj?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Buraq ialah tunggangan yang dinaiki oleh Rasulullah SAW ketika Isra’ dan Mi‘raj. Imam al-Nawawi menukilkan daripada ulama bahasa, katanya: Al-Buraq ialah tunggangan yang dinaiki oleh Rasulullah SAW ketika malam Isra’. Ibn Duraid berkata: Al-Buraq ialah kata terbitan bagi al-Barq (kilat) iaitu disebabkan oleh kelajuannya. Dikatakan juga, dinamakan begitu kerana warnanya sangat berkilat, menyilaukannya, dan cepatnya. Dikatakan juga kerana warnanya yang sangat putih. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 2/210).

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan, dinamakan demikian (Buraq) adakalanya kerana kecepatannya seperti “بَرْقٌ” iaitu kilat, dan  adakalanya dinamakan Buraq kerana warna badannya yang putih. (Lihat Fath al-Bari, 1/78).

Sifat-Sifat Buraq

Diceritakan berkenaan sifat-sifat Buraq yang dinaiki oleh Rasulullah SAW sebagaimana riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim. Daripada Malik bin Sa‘sa‘ah R.A, Rasulullah SAW bersabda dalam hadith berkenaan malam Isra’:

وَأُتِيتُ بِدَابَّةٍ أَبْيَضَ، دُونَ البَغْلِ وَفَوْقَ الحِمَارِ: البُرَاقُ

Maksudnya:Didatangkan kepadaku haiwan putih yang lebih kecil daripada baghal dan lebih besar daripada keldai. (Haiwan itu ialah) Buraq.”

Riwayat al-Bukhari (3207)

Dalam riwayat Muslim, daripada Anas bin Malik R.A, Rasulullah SAW bersabda:

أُتِيتُ بِالْبُرَاقِ وَهُوَ دَابَّةٌ أَبْيَضُ طَوِيلٌ فَوْقَ الْحِمَارِ وَدُونَ الْبَغْلِ يَضَعُ حَافِرَهُ عِنْدَ مُنْتَهَى طَرْفِهِ قَالَ فَرَكِبْتُهُ حَتَّى أَتَيْتُ بَيْتَ الْمَقْدِسِ قَالَ فَرَبَطْتُهُ بِالْحَلْقَةِ الَّتِي يَرْبِطُ بِهِ الْأَنْبِيَاءُ

Maksudnya:Aku telah didatangi Buraq. Iaitu seekor binatang yang berwarna putih, lebih tinggi daripada keldai tetapi lebih kecil daripada baghal. Satu langkah kakinya berada di hujung pandangannya. Baginda bersabda lagi: ‘Maka aku segera menungganginya sehingga sampai ke Baitul Maqdis.’ Baginda bersabda lagi: ‘Kemudian aku mengikatnya pada tiang masjid sebagaimana yang biasa dilakukan oleh para Nabi.’

Riwayat Muslim (162) dan Ahmad (12527)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani bmenyatakan, maknanya ialah Buraq itu meletakkan kakinya sehingga ke hujung pandangan yang dilihatnya. (Lihat Fath al-Bari, 7/206).

Dalam riwayat al-Tirmizi, daripada Anas bin Malik R.A, katanya:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أُتِيَ بِالْبُرَاقِ لَيْلَةَ أُسْرِيَ بِهِ مُلْجَمًا مُسْرَجًا فَاسْتَصْعَبَ عَلَيْهِ فَقَالَ لَهُ جِبْرِيلُ أَبِمُحَمَّدٍ تَفْعَلُ هَذَا فَمَا رَكِبَكَ أَحَدٌ أَكْرَمُ عَلَى اللَّهِ مِنْهُ قَالَ فَارْفَضَّ عَرَقًا

Maksudnya:Nabi SAW diberikan Buraq pada malam Baginda diisra’kan, lengkap dengan tali (kendali) dan pelana, tetapi Buraq itu memayahkan Baginda (iaitu tidak mahu ditunggangi), lalu Jibril berkata kepadanya: ‘Patutkah kamu lakukan ini pada Muhammad, padahal belum ada yang menunggangimu yang paling mulia di sisi Allah selain Muhammad?’ Baginda bersabda: ‘Lantas mengalirlah keringat Buraq itu dek kerana malu.’

Riwayat al-Tirmizi (3131) dan beliau menilainya sebagai Hasan Gharib. Al-Munawi dalam Takhrij Ahadith al-Masabih (5/223) menilai sanad hadith ini sebagai sahih.

Hal ini menunjukkan bahawa apabila Rasulullah SAW bersabda: “Kemudian aku mengikatnya pada tiang masjid sebagaimana yang biasa dilakukan oleh para Nabi,” menunjukkan bahawa Buraq ini pernah dinaiki oleh Nabi-nabi sebelum Baginda SAW.

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata: Dalam riwayat al-Nasa’i dan Ibn Mardawaih daripada jalur Yazid bin Abu Malik, daripada Anas, pada hadith tersebut terdapat lafaz “Buraq ini pernah ditunggangi oleh Nabi-nabi sebelum Baginda SAW” dan seumpamanya sebagaimana yang terdapat dalam hadith Abu Sa‘id di sisi Ibn Ishaq. Hal ini menunjukkan bahawa Buraq ini telah disediakan untuk tunggangan para nabi. (Lihat Fath al-Bari, 7/207).

Justeru, dapat disimpulkan bahawa sifat Buraq yang dinaiki oleh Rasulullah SAW adalah sebagaimana berikut:

  • Bentuknya seperti binatang tunggangan yang berwarna putih
  • Ukurannya lebih tinggi daripada keldai dan lebih rendah daripada baghal.
  • Selangkah kakinya, adalah sejauh hujung pandangannya.
  • Boleh diikat sebagaimana haiwan tunggangan yang lain.
  • Tunggangan yang pernah dinaiki oleh para nabi A.S.
  • Buraq mempunyai empat kaki.
  • Buraq diberi sifat malu seperti manusia sehingga keluar peluhnya.

Manakala riwayat yang menceritakan bahawa Buraq mempunyai dua sayap sebagaimana yang didengari adalah tidak sahih dan tidak boleh dijadikan hujah disebabkan sanad yang lemah.

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan, dalam riwayat Ibn Sa‘ad, daripada al-Waqidi dengan sanadnya menyebutkan bahawa Buraq mempunyai dua sayap dan aku tidak melihat sanad selainnya. (Lihat Fath al-Bari, 7/206).

Al-Waqidi atau namanya Muhammad bin Umar ditinggalkan oleh Imam Ahmad dan selainnya. Abu Dawud berkata: “Aku tidak menulis hadithnya”. Ishaq bin Rahawaih berkata: “Dia di sisiku ialah orang Yangon memalsukan hadith.” (Lihat Tahzib al-Tahzib, 323-326).

Kami akhiri dengan doa:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”

Leave a Reply