#5509: Bilangan Peristiwa Pembelahan Dada Rasulullah SAW yang Berlaku

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Berapa kalikah berlakunya peristiwa pembedahan dada Rasulullah SAW?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Para ulama berbeza pendapat berkenaan jumlah berapa kali Rasulullah SAW dibelah dadanya. Ada dalam kalangan mereka yang berpendapat, ia berlaku sebanyak dua kali, dan ada juga yang berpendapat sebanyak tiga kali, atau lebih daripada itu.

Dr. Akram Dhiya’ al-‘Umari berpendapat, pembelahan dada Nabi SAW berlaku sebanyak dua kali iaitu ketika berumur 4 tahun dan malam Isra’ dan Mikraj. Namun, terdapat juga sebahagian riwayat menceritakan bahawa peristiwa pembelahan dada berlaku juga ketika Baginda berumur 10 tahun dan ketika diutuskan menjadi Rasul. Akan tetapi riwayat-riwayat ini adalah dha‘if. (Lihat al-Sirah al-Nabawiyyah al-Sahihah, hlm. 103-104).

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan, sebahagian ulama mengingkari berlakunya pembelahan dada pada malam Isra’. Mereka berpendapat, peristiwa tersebut hanya berlaku ketika Baginda masih kecil di perkampungan Bani Sa‘d. Sebaliknya, hal tersebut tidaklah diingkari kerana terdapat beberapa riwayat mengenainya dan thabit pembelahan dada juga ketika dibangkitkan menjadi Rasul sebagaimana riwayat Abu Nu‘aim dalam al-Dala’il. Setiap daripada peristiwa pembelahan dada tersebut mengandungi hikmah.

Hikmah Pembelahan Kali Pertama

Pembelahan dada kali pertama berlaku adalah supaya Baginda membesar dalam keadaan yang sempurna dan terlindungi daripada godaan syaitan. Hal ini adalah jelas melalui kata-kata Jibril AS kepada Baginda, “Ini adalah bahagian syaitan yang terdapat di dalam dirimu.” Lalu Jibril menyucikannya di dalam sebuah bekas yang diperbuat daripada emas dengan menggunakan air zamzam sebagaimana yang dinyatakan dalam riwayat Muslim.

Hikmah Pembelahan Kali Kedua

Pembedahan dada kali kedua terjadi ketika Baginda diutuskan sebagai Rasul. Ini dilakukan untuk menambah kemuliaan Baginda, sehingga beliau dapat menerima segala yang diwahyukan kepadanya dengan hati yang kuat, dalam keadaan suci yang paling sempurna.

Hikmah Pembelahan Kali Ketiga

Seterusnya, pembelahan dada kali ketiga pula berlaku ketika Baginda hendak dinaikkan ke langit, agar Baginda bersiap sedia untuk bermunajat kepada Allah SWT. Boleh jadi juga hikmah daripada penyucian dada Rasulullah SAW adalah agar tercapainya kesempurnaan melalui kali ketiga tersebut sebagaimana diputuskan dalam syariatnya (yakni dianjurkan sebanyak tiga kali bagi mencapai kesempurnaan).

Kemudian, al-Hafiz Ibn Hajar menyatakan, semua riwayat yang menceritakan berkenaan peristiwa pembelahan dada, lalu dikeluarkan hatinya (untuk dibersihkan) dan selain daripada perkara tersebut termasuk dalam perkara-perkara yang mencarik adat yang wajib diyakini tanpa dibantah, sekalipun ia keluar daripada adat kebiasaannya. Hal ini kerana perkara itu boleh berlaku dan tidak mustahil (di sisi Allah SWT). Bahkan al-Qurtubi menyebutkan dalam al-Mufhim bahawa pembelahan dada Nabi SAW yang terjadi pada malam Isra’ tidak dapat diingkari kerana para perawinya adalah thiqah dan masyhur. (Lihat Fath al-Bari, 7/204-205).

Selain daripada itu, di antara hikmahnya juga, peristiwa pembelahan dada ini dilihat bertepatan dengan kaedah:

التَّخَلِّي عَنِ الرَّذَائِلِ قَبْلَ التَّحَلِّي بِالفَضَائِلِ

Maksudnya:Membuang sifat-sifat yang tercela sebelum menghiasi dengan sifat-sifat yang terpuji.

Adapun berkenaan persoalan mengapakah penyucian ini tidak berlaku tanpa pembelahan? Jawapannya, Allah SWT menginginkan perkara tersebut berlaku berdasarkan kepada hikmah yang diketahui-Nya, dan tidak sepatutnya ditanya tentang apa yang dilakukan-Nya. Begitu juga tidak ditemui kalam para ulama yang menjelaskan berkenaan hikmah perkara ini. Berkemungkinan hikmahnya adalah untuk menzahirkan karamah Nabi yang mulia ini di sisi Allah SWT dan penjagaan-Nya terhadapnya. Kalaulah ‘alaqah yakni gumpalan darah (iaitu merujuk kepada ibu segala kerosakan dan maksiat dalam hati) dihilangkan tanpa perlu melalui pengutusan malaikat dan pembelahan dada, maka boleh jadi tersembunyilah karamah ini (yakni pembersihan tersebut) daripada diketahui oleh orang ramai.

Berkenaan malaikat yang membelah dada Rasulullah SAW, berdasarkan riwayat-riwayat yang sahih, jelas menunjukkan bahawa malaikat yang ditugaskan untuk membelah dada Rasulullah SAW dan membasuhnya dengan air zamzam ialah Jibril AS.

Manakala berkenaan air yang digunakan, sebahagian riwayat tidak menyebutkan jenis air yang digunakan. Akan tetapi dalam riwayat yang lain menyebutkan dengan jelas bahawa air yang digunakan untuk membasuh ialah air zamzam. Justeru, kami cenderung kepada pendapat bahawa air yang digunakan untuk membasuh ialah air zamzam kerana riwayat air zamzam adalah ithbat dan kaedah menyatakan, ithbat itu didahulukan daripada penafian.

Kami akhiri dengan doa:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *