Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimana keadaan para Nabi A.S di dalam kubur mereka?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Daripada Anas bin Malik R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الأَنبِيَاءُ أَحْيَاءٌ فِي قُبُورِهِم يُصلُّونَ

Maksudnya: “Para nabi itu hidup dalam kubur-kubur mereka dalam keadaan mereka bersolat.”

Riwayat al-Bazzar (6888), Abu Ya‘la (3425) dan Ibn ‘Adi dalam al-Kamil fi al-Dhu‘afa’ (2/327). Al-Haithami dalam Majma‘ al-Zawa’id (214/8) menyatakan para perawi daripada sanad Abu Ya’la kesemuanya adalah thiqah.

Begitu juga terdapat hadith lain, juga riwayat daripada Anas R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَتَيْتُ لَيْلَةَ أُسْرِيَ بِي عَلَى مُوسَى عِنْدَ الْكَثِيبِ الْأَحْمَرِ، وَهُوَ قَائِمٌ يُصَلِّي فِي قَبْرِهِ

Maksudnya:  “Pada malam aku diisra’kan, aku telah melalui kubur Nabi Musa di al-Kathib al-Ahmar (timbunan pasir berwarna merah) dan beliau sedang berdiri sembahyang dalam kuburnya.”

Riwayat Muslim (2375), al-Nasa’i (1631)

Hadith ini menjadi dalil kepada kehidupan para anbiya’ selepas kematian mereka, serta mereka mendapat kelebihan berbanding semua orang yang mati kecuali para syuhada’. Hal ini kerana Allah menghidupkan mereka dengan kehidupan khas yang terdapat nikmat dan karamah padanya.

Ulama’ berbeza pendapat berkenaan di mana terletaknya al-Kathib al-Ahmar (الْكَثِيبِ الْأَحْمَرِ). Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani berkata: Ibn Hibban menyatakan bahawa Kubur Nabi Musa terletak di Madyan antara Madinah dan Baitul Maqdis dan pernyataan ini dijawab oleh Dhiya’ al-Maqdisi bahawa bumi Madyan tidaklah dekat dengan Madinah dan juga dengan Baitul Maqdis. (Lihat Fath al-Bari, 6/442)

Abu al-Abbas al-Qurtubi berkata dalam kitabnya  al-Mufhim lima Asykala min Kitab Talkhis Muslim (6/192): Al-Kathib adalah timbunan pasir, dan timbunan pasir ini berada dalam perjalanan ke Bait al-Maqdis.

Beliau berkata lagi: Hal ini menunjukkan bahawa Kubur Nabi Musa A.S disembunyikan daripada makhluk, dan tidak dimasyhurkan dalam kalangan mereka, supaya mereka tidak menyembahnya. Wallahu a’lam. (Lihat al-Mufhim, 6/222; lihat juga ‘Umdah al-Qari oleh al-’Aini, 12/474)

Imam Abu al-Abbas al-Qurtubi menyatakan, hadith ini menunjukkan pada zahirnya bahawa Rasulullah SAW melihat Nabi Musa dalam keadaan sedar dengan pandangan yang hakikat. Nabi Musa hidup di dalam kuburnya dan mendirikan solat di dalamnya sebagaimana solatnya ketika masih hidup. Hal ini tidak mustahil walaupun sedikit. Dan benar, para syuhada’ juga hidup dan diberi rezeki kepada mereka. Didapati dalam kalangan mereka tidak berubah sedikit pun jasad mereka walaupun bertahun-tahun di dalam kubur. Sekiranya para syuhada’ pun sudah dijaga jasad mereka, apatah lagi bagi para anbiya’, mereka adalah lebih utama dalam hal ini. (Lihat al-Mufhim lima Asykala min Kitab Talkhis Muslim, 6/192).

Selain itu, Ibn al-Qayyim juga ada menyatakan, ruh-ruh para Nabi berada di langit setelah berpisah daripada jasad, manakala ruh Rasulullah SAW naik ke langit dalam keadaan Baginda hidup kemudian dikembalikan semula ke jasad Baginda sebagaimana dalam peristiwa Isra’ dan Mi‘raj. Selepas Baginda wafat, ruh Baginda bersama dengan al-Rafiq al-A‘la bersama dengan ruh-ruh para anbiya’. Hal ini merupakan kemuliaan kepada jasad Baginda. Disebabkan ini Baginda boleh melihat Nabi Musa mendirikan solat di dalam kuburnya, dan melihatnya di langit keenam. Sudah diketahui bahawa Nabi Musa tidak dimi’rajkan ke langit daripada kuburnya tetapi ia merupakan kedudukan ruhnya di langit. Kuburnya pula terletak jasadnya sehingga tibanya hari ruh dikembalikan ke jasadnya. Oleh itu, Nabi SAW dapat melihat Nabi Musa di kuburnya dan juga di langit keenam. (Lihat Zad al-Ma‘ad, 3/40-41).

Persoalan yang timbul, bagaimana mereka (para anbiya’) mendirikan solat di dalam kubur sedangkan solat ini hanya untuk orang yang masih hidup yang mukallaf. Imam Abu al-Abbas al-Qurtubi menjawab dalam al-Mufhim lima Asykala min Kitab Talkhis Muslim (6/192): Sesungguhnya perkara itu bukanlah termasuk kewajipan yang dibebankan kepadanya (taklif) tetapi untuk kemuliaan (tasyrif). Hal ini kerana mereka ketika hidup di dunia sentiasa melakukan ibadah kepada Allah dalam keadaan mereka melazimi solat. Maka Allah mewafatkan mereka dan memuliakan mereka setelah kematian mereka dengan mengekalkan apa yang mereka cintai. Apa yang diketahui, ibadah mereka adalah ibadah Ilhamiyyah seperti ibadah Malaikat, bukan ibadah taklifiyyah. Hal ini sebagaimana kisah yang berlaku kepada al-Thabit al-Bunani[1] Rahimahullah, di mana beliau sangat suka untuk mendirikan solat dan berdoa:

اللهُمَّ إِنْ كُنْتَ أَعْطَيْتَ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ أَنْ يُصَلِّيَ لَكَ فِي قَبْرِهِ فَأَعْطِنِي ذَلِكَ

Maksudnya:Ya Allah, jika engkau memberikan kepada seseorang daripada ciptaan-Mu untuk solat di dalam kuburnya maka berikanlah kepadaku (untuk solat di kuburku).” (Lihat Hilyah al-Auliya’ wa Tabaqat al-Asfiya’ oleh Abu Nu‘aim al-Asfahani, 2/319).

Setelah beliau meninggal dunia, salah seorang sahabatnya bermimpi bertemu dengannya dalam keadaan dia solat di dalam kuburnya. Dari sini dapat diketahui bahawa doanya dikabulkan oleh Allah SWT. Maka benarlah apa yang dikhabarkan oleh Nabi SAW berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

يُبْعَثُ كُلُّ عَبْدٍ عَلَى مَا مَاتَ عَلَيْهِ

Maksudnya:Dibangkitkan setiap hamba itu menurut apa yang dia mati atasnya.”

Riwayat Muslim (2878)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

 

Nota kaki:

[1] Thabit ibn Muslim al-Bunani, seorang hafiz hadith, alim, tabi`i, meriwayatkan hadith daripada Anas, Syaddad, Ibn ‘Umar, Ibn al-Zubair R.Anhum dan lain-lain. Lahir sekitar  tahun 41 H.

Syu`bah berkata, Thabit mengkhatamkan al-Quran setiap malam dan berpuasa sepanjang hayatnya. Menurut Sahl ibn Aslam, Thabit solat setiap malam 300 rakaat. Apabila tiba waktu Subuh ia berkata, “Aaah, aku ditewaskan oleh para abid….” Thabit banyak menangis ketika solat, tazkirah dan solat.

Thabit Rahimahullah telah melakukan qiyamullail selama 50 tahun. Beliau meninggal dunia pada tahun 127 H pada usia 86 tahun, pada tahun yang sama dengan kewafatan Malik Dinar, dan Muhammad ibn Wasi’. Dikatakan juga pada tahun 123 H. Semoga Allah meredhainya.

Leave a Reply