Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah orang tidak solat memukul kepala sendiri dengan batu dan apa status hadisnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat Abu Hurairah R.A, daripada Nabi SAW, dan di dalamnya disebutkan:

ثُمَّ أَتَى عَلَى قَومٍ تُرضَخُ رُؤُوسُهُم بِالصَّخْرِ، كُلَّمَا رُضِخَتْ عَادَتْ كَمَا كَانَت، لَا يُفَتَّرُ عَنْهُمْ مِن ذَلِكَ شَيْءٌ، فَقَالَ:  يَا جِبْرِيلُ! مَنْ هَؤُلَاءِ؟ قَالَ: هَؤلَاءِ الَّذِينَ تَتَثَاقَلُ رُؤُوسُهُمْ عَنِ الصَّلاةِ

Maksudnya:Kemudian Baginda SAW datang kepada suatu kaum yang menghancurkan kepala mereka dengan batu. Setiap kali kepala mereka dihancurkan ia kembali semula seperti sedia kala dan mereka sedikitpun tidak mahu berhenti daripada (melakukan) perkara tersebut. Maka Baginda bertanya: ‘Wahai Jibril, siapakah mereka?’ Jibril menjawab: ‘Mereka ialah golongan yang berat kepalanya (cuai dan lalai) daripada mendirikan solat fardhu.’

Riwayat al-Bazzar (9518); Riwayat al-Munziri dalam al-Targhib wa al-Tarhib (4/454); Riwayat al-Baihaqi dalam Dala’il al-Nubuwwah (2/399); al-Tabari dalam tafsirnya (15/6)

Riwayat ini dinilai sebagai dha‘if dalam Dha‘if al-Targhib wa al-Tarhib (2122). Ibn Kathir dalam tafsirnya (5/31) menyatakan, padanya terdapat keganjilan (gharabah). Di dalamnya juga terdapat perawi bernama Abu Ja‘far al-Razi, dan dia dinilai sebagai dha‘if oleh ramai ulama. Begitu juga al-Suyuti dalam al-Ayatu al-Kubra fi Syarh Qissah al-Isra’ (hlm. 37-38) menyatakan, perawi-perawinya dinilai sebagai thiqah kecuali Abu Ja‘far al-Razi dinilai thiqah oleh sebahagian ulama, manakala sebahagian ulama yang lain menilainya sebagai dha‘if. Abu Zur‘ah menyebutkan, dia banyak waham. Manakala Ibn Kathir pula menyebutkan, pendapat yang kuat (azhar), hafalannya adalah buruk. Menurut Ibn Kathir lagi, hadith ini sebahagian lafaznya adalah tersangat ganjil dan mungkar. Di dalamnya terdapat sesuatu daripada hadith yang panjang berkenaan mimpi Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada jalur Samurah, dan berkemungkinan besar ia adalah himpunan berbagai hadith atau daripada mimpi Baginda SAW dan kisah-kisah lain selain peristiwa Isra’. (Lihat juga Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/36).

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Surah Ibrahim (40-41)

Leave a Reply