Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah benar Nabi SAW mendengar suara dan menghidu bau syurga dan neraka dan apa status hadisnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat Abu al-‘Aliyah, daripada Abu Hurairah R.A, daripada Nabi SAW, dan di dalamnya disebutkan:

ثُمَّ أَتَى عَلَى وَادٍ فَوَجَدَ رِيحًا بَارِدَةً طَيِّبَةً وَوَجَدَ رِيحَ الْمِسْكِ وَسَمِعَ صَوْتًا، فَقَالَ: يَا جِبْرِيلُ! مَا هَذِهِ الرِّيحُ الْبَارِدَةُ الطَّيِّبَةُ وَرِيحُ الْمِسْكِ؟ وَمَا هَذَا الصَّوْتُ؟ قَالَ: هَذَا صَوْتُ الْجَنَّةِ تَقُولُ: يَا رَبِّ ائْتِنِي بِأَهْلِي وَبِمَا وَعَدْتَنِي فَقَدْ كَثُرَ عَرْفِي، وَحَرِيرِي، وَسُنْدُسِي، وَإِستَبْرَقِي، وَعَبْقَرِيِّ، وَلُؤْلُؤِي، وَمَرْجَانِي، وَفِضَّتِي، وَذَهَبِي، وَأَبَارِيقِي، وَفَوَاكِهِي، وَعَسَلِي، وَخَمْرِي، وَلَبَنِي، فَائْتِنِي بِمَا وَعَدْتَنِي، فَقَالَ: لَكِ كُلُّ مُسْلِمٍ وَمَسْلَمَةٍ، وَمُؤْمِنٍ وَمُؤْمِنَةٍ، وَمَنْ آمَنَ بِي وَبِرُسُلِي، وَعَمِلَ صَالِحًا وَلَمْ يُشْرِكْ بِي شَيْئًا، وَلَمْ يَتَّخِذْ مِنْ دُونِي أَنْدَادًا، وَمَنْ خَشِيَنِي آمَنْتُهُ، وَمَنْ سَأَلَنِي أَعْطَيْتُهُ، وَمَنْ أَقْرَضَنِي جَزَيْتُهُ، ومن توكّل عليّ كَفَيْتُهُ، وَأَنَا اللهُ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنَا لَا أُخْلِفُ الْمِيعَادَ قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ- إلى- فَتَبارَكَ اللَّهُ أَحْسَنُ الْخالِقِينَ قَالَتْ: قَدْ رَضِيتُ. ثُمَّ أَتَى عَلَى وَادٍ فَسَمِعَ صَوْتًا مُنْكَرًا، قَالَ: يَا جِبْرِيلُ! مَا هَذَا الصَّوْتُ؟ قَالَ: هَذَا صَوْتُ جَهَنَّمَ يَقُولُ: ائْتِنِي بِأَهْلِي وَمَا وَعَدْتَنِي فَقَدْ كَثُرَ: سَلَاسِلِي، وَأَغْلَالِي، وَسَعِيرِي، وَزَقُّومِي، وَحَمِيمِي، وَحِجَارَتِي، وَغَسَّاقِي، وَغِسْلِينِي، وَقَدْ بَعُدَ قَعْرِي، وَاشْتَدَّ حَرِّي فَأْتِنِي بِمَا وَعَدْتَنِي، فَقَالَ: لَكِ كُلُّ مُشْرِكٍ وَمُشْرِكَةٍ، وَكَافِرٍ وَكَافِرَةٍ وَكُلُّ خَبِيثٍ وَخَبِيثَةٍ، وَكُلُّ جَبَّارٍ لَا يُؤْمِنُ بِيَوْمِ الْحِسَابِ، قَالَتْ: قَدْ رَضِيتُ. قَالَ: ثُمَّ سَارَ حَتَّى أَتَى بَيْتَ الْمَقْدِسِ

Maksudnya:Kemudian Baginda sampai di sebuah lembah dan mendapati adanya angin yang sejuk dan menyenangkan, serta adanya bau kasturi, dan Baginda juga mendengar satu bunyi. Lalu Baginda bertanya: ‘Wahai Jibril, angin sejuk dan menyenangkan, serta bauan kasturi apakah ini? Begitu juga bunyi apakah itu?’ Jibril menjawab: Inilah bunyi syurga yang berkata: ‘Wahai Tuhanku, berikan kepadaku apa yang Engkau janjikan kerana banyaknya bilikku, suteraku sama ada sutera yang halus dan tebal mahupun ‘Abqari,[1] mutiaraku, batu marjanku, perakku, emasku, cerek-cerekku, buah-buahanku, maduku, arakku, dan susuku, maka berikanlah kepadaku apa yang telah Engkau janjikan kepadaku.’ Maka Allah SWT berfirman: ‘Bagi kamu hai Syurga setiap Muslim dan Muslimah, Mukmin dan Mukminah, orang yang beriman kepada-Ku dan para rasul-Ku, mengerjakan amalan soleh dan tidak mensyirikkan-Ku dengan sesuatu apa pun, juga tidak menjadikan buat-Ku sekutu daripada kalangan makhluk. Sesiapa yang takut kepada-Ku, maka Aku akan berikan keamanan buatnya, sesiapa yang meminta kepada-Ku, maka Aku akan berikan (tunaikan) permintaannya, sesiapa yang memberi pinjam kepada-Ku, maka Aku akan berikan balasannya (pahalanya) dan sesiapa yang bertawakal kepada-Ku, maka sudah cukup baginya. Akulah Allah, tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Aku, dan Aku tidak memungkiri janji. (Firman-Nya lagi yang bermaksud), Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman — sehinggalah — (firman-Nya yang bermaksud), Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta. (Surah al-Mukminun: 1-14).’ Syurga berkata: ‘Sesungguhnya aku telah redha.’ Kemudian Baginda datang ke suatu lembah, lalu Baginda mendengar suara yang tercela. Baginda bertanya: ‘Wahai Jibril, suara apakah ini?’ Jibril menjawab: Inilah suara neraka Jahannam yang berkata: ‘Bawakan kepadaku pendudukku yang Engkau telah janjikan buatku kerana sesungguhnya telah banyak rantai-rantaiku, belenggu-belengguku, nyalaan apiku, buah zaqqumku, air panasku (yakni air yang mendidih lagi sangat panas),[2] batu-batuku, ghassaq,[3] dan kotoranku. Sesungguhnya telah jauh kedalamanku dan semakin bertambah kepanasanku, maka berikanlah kepadaku apa yang telah Engkau janjikan kepadaku.’ Maka Allah SWT berfirman: ‘Bagimu setiap orang musyrik dalam kalangan lelaki dan perempuan, orang kafir dalam kalangan lelaki dan perempuan, setiap orang yang keji dalam kalangan lelaki dan perempuan, dan setiap pemerintah yang zalim lagi kejam yang tidak beriman dengan hari perhitungan.’ Neraka berkata: ‘Sesungguhnya aku telah redha.’” Perawi berkata: “Kemudian Baginda meneruskan perjalanan sehingga sampai di Baitul Maqdis.

Riwayat al-Bazzar (9518); Riwayat al-Baihaqi dalam Dala’il al-Nubuwwah (2/399); al-Tabari dalam tafsirnya (15/6)

Ibn Kathir dalam tafsirnya (5/31) menyatakan, padanya terdapat keganjilan (gharabah). Di dalamnya juga terdapat perawi bernama Abu Ja‘far al-Razi, dan dia dinilai sebagai dha‘if oleh ramai ulama. Begitu juga al-Suyuti dalam al-Ayatu al-Kubra fi Syarh Qissah al-Isra’ (hlm. 37-38) menyatakan, perawi-perawinya dinilai sebagai thiqah kecuali Abu Ja‘far al-Razi dinilai thiqah oleh sebahagian ulama, manakala sebahagian ulama yang lain menilainya sebagai dha‘if. Abu Zur‘ah menyebutkan, dia banyak waham. Manakala Ibn Kathir pula menyebutkan, pendapat yang kuat (azhar), hafalannya adalah buruk. Menurut Ibn Kathir lagi, hadith ini sebahagian lafaznya adalah tersangat ganjil dan mungkar. Di dalamnya terdapat sesuatu daripada hadith yang panjang berkenaan mimpi Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada jalur Samurah, dan berkemungkinan besar ia adalah himpunan berbagai hadith atau daripada mimpi Baginda SAW dan kisah-kisah lain selain peristiwa Isra’. (Lihat juga Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/36).

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Nota Hujung:

[1] iaitu dibaj, pakaian yang diperbuat daripada sutera kasar.

[2] Hamim ialah air yang mendidih. Ia juga boleh merujuk kepada besi cair yang mendidih.

[3] Ghassaq ialah bahan yang terhimpun padanya nanah, peluh, air mata dan luka ahli neraka.

Leave a Reply