Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, bagaimana gambaran fizikal Abu Hanifah dan akhlaknya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pujangga Arab menyebut:

فَتَشَبَّهُوا ﺇنْ لَمْ تَكُوْنُوا مِثْلَهُمْ                            فإنَّ التَّشَبُّهَ باِلْكِرَامِ فَلاَحٌ

“Contohilah sekalipun kamu tidak setara dengan mereka,

            Kerana mencontohi orang yang mulia itu membawa kemenangan.

 Imam Abu Hanifah seorang yang berkulit sedikit gelap kemerahan dan keputih-putihan. Beliau sederhana tinggi, baik wajahnya dan tampak kehebatan. Mempunyai janggut yang panjang serta dalam keadaan tenang. Baik tutur percakapannya, seorang yang fasih dan banyak memakai wangian apabila keluar dari rumahnya. Seorang yang kurus, disebabkan kerana takutnya kerana Allah, banyak muraqabah dan ibadah kepada Tuhannya. Hal ini diakui oleh al-Soimari dengan sanadnya kepada Abi Yusuf.

Abu Nu’aim berkata: “Abu Hanifah adalah seorang tampan. Wajahnya bersih dan baik janggutnya. Begitu juga pakaian dan sepatunya. Banyak berkorban kepada manusia.

Abdullah bin al-Mubarak berkata: “Kami pernah berkata di Masjid Jami’. Kemudian, terjatuh seekor ular atas ribaan Abu Hanifah dan manusia lain lari daripadanya, sedangkan aku lihat dirinya cukup tenang.

Anaknya, Hammad berkata: “Abu Hanifah suka memakai pakaian yang mahal dan indah kerana menzahirkan nikmat Allah ke atasnya dan memuliakan ilmu yang dimilikinya.

Hal ini bertepatan dengan sebuah hadith Nabi SAW yang menasihatkan sahabatnya yang kaya, seraya bersabda:

فَإِذَا آتَاكَ اللهُ مَالاً فَلْيُرِ أَثَرَ نِعْمَةِ اللهِ عَلَيْكَ وَكَرَامَتِهِ

Maksudnya: “Jika Allah mengurniakan kepada kamu harta, maka perlihatlah kesan nikmat Allah ke atas kamu dan kemuliaannya.

 

Sifat dan Perwatakan Imam Abu Hanifah

Imam Abu Hanifah adalah sebaik-baik manusia dalam bahasa dan tutur percakapan, bentuk badannya cantik dan pakaiannya selalu berbau harum sehinggakan beliau dikenali dengan baunya di kala keluar dari rumahnya.

Beliau amat gemar kepada bau-bauan yang harum dan seorang yang sangat pemurah. Terdapat juga pakaiannya yang berharga tiga puluh dinar.

Beliau sangat suka menjaga pakaian sehingga Abu Yusuf pernah menceritakan tentang kasutnya: “Beliau sangat menjaga kebersihan kasutnya sehingga tidak ternampak sedikit pun kotoran.”

Oleh kerana Imam Abu Hanifah sangat mengambil berat serta menjaga kedudukan dan pakaian, beliau juga sering memberi kata-kata semangat kepada orang-orang lain supaya mengikutinya.

Pada suatu hari di satu majlis perhimpunan, ada di antara para hadirin yang berpakaian tidak senonoh, lalu beliau meminta orang itu menemuinya di luar majlis, lalu menghadiahkan kepadanya sebanyak seribu dirham untuk membeli pakaian yang baru. Orang itu berkata kepadanya: “Aku adalah seorang kaya dan aku tidak berkehendak kepada sebarang pertolongan.

Imam Abu Hanifah menjawab: Tidakkah kamu mendengar sabda Rasulullah SAW yang berbunyi:

إنَّ اللهَ يُحِبُّ أَن يَرَى أَثَرَ نِعْمَتِهِ عَلَى عَبْدِهِ

Maksudnya: “Bahawa Allah SWT suka melihat kesan, nikmat yang diberi kepada hamba-hamba-Nya oleh itu hendaklah engkau mengubah kedudukan engkau supaya orang lain tidak akan jemu kepada engkau.”

Ini adalah di antara sifat-sifat lahiriah. Manakala tentang peribadi dan jiwa pula, Imam Abu Hanifah seorang yang bijak dan pintar. Dengan kebijaksanaan akal fikiran, beliau dapat membuat pelbagai kesimpulan hukum dan berbahas dengan baik serta dapat menghilangkan kekeliruan.

Beliau juga seorang yang berwibawa dan tidak banyak bercakap kecuali menjawab pertanyaan yang dilontarkan. Selain itu dia tidak mahu mencampuri persoalan yang bukan urusannya (menurut puteranya). (Lihat Min A‘lam al-Salaf oleh Syeikh Ahmad Farid, 1/222)

Akhlak Imam Abu Hanifah

Akhlak memainkan peranan utama dalam pembentukan sahsiah seseorang. Ia hasil daripada keimanan dan ketakwaan serta kebaikan yang dipupuk dan dibaja. Apabila iman bertambah kuat, sudah pasti dapat menguasai hati, seterusnya dapat memenuhi cahayanya, kemudian dizahirkan melalui segala anggota zahirnya. Begitulah Imam Abu Hanifah yang termasuk di kalangan ulama kurun ketiga, yang sudah tentu memiliki banyak kelebihan hasil daripada pelajarannya yang diambil dari para sahabat, tabiin dan ulama yang masyhur dengan ketinggian akhlaknya, di samping panduan daripada al-Quran dan al-Sunnah.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

Leave a Reply