Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum jika tidak menghabiskan 7 pusingan tawaf sunat?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Syarat tawaf itu mestilah sebanyak 7 kali pusingan, bermula dari rukun al-Hajar al-Aswad dan berakhir di rukun yang sama. Sekiranya berbaki satu pusingan tidak dihabiskan atau tidak dilengkapkan, maka tawaf yang dilakukan tersebut tidak dikira, tanpa mengambil kira sama ada dia akan kekal di Makkah atau terus pulang ke negara asalnya.
Meskipun tawaf tersebut terbatal, dia tidaklah dikenakan dam atau selainnya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 8/21)
Akan tetapi, selama mana tawaf yang dikerjakan itu tidak sempurna, maka dia masih tidak dibenarkan untuk melakukan saie dan kemudiannya bertahallul. Dia perlu terus memelihara pantang larang ihram sehinggalah kesemua rukun umrah dapat disempurnakan.
Adapun semata-mata tawaf sunat sahaja, tetapi tidak menyempurnakannya, maka dianggap tawafnya tidaklah sah kerana tidak cukup syarat tawaf yang memerlukan 7 pusingan. Dalam masalah ini, kami syorkan, lengkapkanlah pusingan 7 walaupun hukum tawaf tersebut adalah sunat.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”